Friday, July 8, 2011

Indo Pek Untuk Penggemar Drama & Filem Indonesia

Majlis pelancaran Indo Pek yang menawarkan dua saluran program televisyen dan filem Indonesia iaitu Bintang (saluran 141) dan Pelangi (saluran 142).

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen berbayar Astro dengan kerjasama pembekal kandungan Broadway Media Sdn Bhd telah melancarkan dua saluran baru iaitu Bintang (saluran 141) dan Pelangi (saluran 142) dalam pakej Indo Pek untuk penggemar program televisyen dan filem Indonesia bermula 16 Julai ini.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, pengenalan dua saluran yang dikenakan caj RM12 sebulan itu adalah bertujuan untuk menawarkan lebih banyak pilihan kandungan kepada para pelanggan.

"Berdasarkan kajian, kami mendapati terdapat kira-kira 20 juta penonton program berbahasa Melayu di negara ini tetapi kita kekurangan pilihan kandungan program televisyen yang boleh ditawarkan kepada mereka.

"Berbanding dengan penonton Cina dan India yang mempunyai banyak pilihan menerusi pelbagai saluran yang ditawarkan, penonton Melayu di Astro hanya ada beberapa saluran saja seperti Ria, Prima, Oasis, Citra dan Warna saja.

"Kami dedikasikan dua saluran ini agar ia menjadi saluran khusus untuk program berbahasa Melayu dari Indonesia yang sememangnya diminati ramai di sini," katanya yang ditemui pada sidang media selepas pelancaran Indo Pek di Hotel Legend, di sini, Rabu.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh

Tambah Khairul, dua saluran itu akan menjadi platform khusus bagi pelbagai program televisyen dan filem Indonesia yang sebelum ini disiarkan secara rawak di merata saluran Astro.

"Dengan adanya dua saluran ini, kami dapat mengumpul dan menempatkan semua program dan filem Indonesia yang disiarkan secara rawak di pelbagai saluran sebelum ini dalam satu platform.

"Bermula 16 Julai ini, program-program seperti sinetron, bual bicara, sketsa dan filem Indonesia hanya akan bersiaran di dua saluran ini kecuali beberapa program yang akan terus dikekalkan penyiarannya di Astro Ria atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Broadway Media Sdn Bhd, Datuk Syed Ahmad Khalid Syed Mohammed berkata, kewujudan pakej tersebut adalah bagi memenuhi permintaan penonton program-program Indonesia di sini.

Pengerusi Broadway Media Sdn Bhd, Datuk Syed Ahmad Khalid Syed Mohammed

"Selain masyarakat tempatan, di negara kita juga ada banyak pembantu rumah, pelajar dan pekerja dari Indonesia yang dahagakan program-program dari sana.

"Apa yang dipaparkan seperti sinetron di mana-mana stesen televisyen sedia ada adalah tidak memadai kerana kekangan waktu siaran.

"Menerusi dua saluran ini, kita mahu hidangkan lebih banyak program televisyen Indonesia untuk penggemar di sini," katanya.

Saluran Bintang (saluran 141) akan menyiarkan sinetron, berita hiburan, sketsa, program realiti dan bual bicara terbaru manakala saluran Pelangi (saluran 141) pula akan menayangkan filem-filem Indonesia dari era 1970-an hingga hari ini.

Sebagai permulaan, para pelanggan berpeluang untuk menonton dua saluran yang bersiaran selama 24 jam sehari ini secara percuma untuk tempoh sebulan dari 16 Julai hingga 14 Ogos depan.

Pakej Indo Pek boleh dilanggan bermula 15 Ogos melalui dua cara iaitu perkhidmatan butang merah di saluran 130, 141 dan 142 (untuk tempoh 16 Julai hingga 14 Ogos saja) atau hubungi 1300-82-3838.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment