Friday, July 8, 2011

Heliza Helmi Utamakan Bidang Perniagaan

Heliza Helmi

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Nur Heliza Helmi, 25, (Heliza) ingin mengurangkan aktiviti seni demi memberikan tumpuan terhadap perniagaan syarikatnya Heliza Helmi Production (HHP) yang kian berkembang.

Kata Heliza, dia lebih selesa untuk mengamalkan sikap memilih terhadap tawaran seni yang diterima kerana kesibukan jadual hariannya.

Ia meliputi bisnes pakaian, penerbitan buku-buku ilmiah dan agama serta aktiviti ceramah motivasi.

"Saya lebih senang untuk menumpukan perhatian pada perniagaan. Kini, saya semakin cenderung untuk memberikan ceramah motivasi dan perbincangan ilmiah.

"Jika diberikan pilihan antara perniagaan dan seni, saya utamakan perniagaan. Sebab itu, saya lebih selektif terhadap tawaran nyanyian. Bukan tidak mahu menyanyi langsung, cuma saya akan terima jika ada kelapangan dan bersesuaian," katanya.

Tambah Heliza, sasarannya pada tahun ini adalah untuk mengembangkan lagi skop perniagaan dan merebut apa jua peluang yang terhidang.

Bagaimanapun, apa jua cabang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikatnya itu haruslah memberikan manfaat kepada masyarakat di dunia dan akhirat.

"Saya ingin meluaskan lagi cabang perniagaan ini dan tidak mahu terhad pada satu-satu jenis produk saja.

"Namun, apa yang penting setiap produk atau perkhidmatan itu mestilah bermanfaat kepada masyarakat di dunia dan akhirat," katanya yang masih belum mempunyai teman lelaki ekoran kesibukan kerja.

Beralih ke perkembangan terbaru, Heliza berkata, dia dan penyanyi Hattan bakal bergandingan dalam projek Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Mengulas tentang projek itu, Heliza tertarik hati untuk menerima jemputan tersebut kerana ia adalah sebuah projek amal yang bermanfaat untuk membantu golongan memerlukan.

"Saya mengakui anak-anak muda dan kanak-kanak sering menjadikan golongan artis sebagai idola mereka.

"Sebagai artis, saya melihat penglibatan dalam aktiviti sebegini sebagai medium terbaik untuk membantu, mendekati dan menggalakkan mereka belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita masing-masing," katanya yang masih belum memutuskan jumlah lagu dan bentuk persembahan pada malam itu kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: