Wednesday, July 13, 2011

Hindarkan keegoan, bina kesatuan ummah


Sifat ego yang mendorong kepada marah bukan penyelesaian masalah terutama dalam hal berkaitan menyatupadukan umat.


KEADAAN umat Islam pada masa kini agak mencemaskan terutamanya sejak 100 tahun kebelakangan. Pelbagai bencana menimpa umat Islam. Yang paling menakutkan sekali ialah wujudnya jurang yang jauh antara hubungan umat Islam dengan Allah SWT.

Selain itu terdapat juga masalah-masalah lain yang melanda umat Islam, khususnya berkaitan masalah akhlak dan moral serta masalah ketandusan ilmu pengetahuan selain ketinggalan dari segi kemajuan sains dan teknologi.

Semua penyakit atau masalah tersebut bermula dari gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Masalah-masalah seperti kegelisahan, tidak bersemangat, putus asa, kecewa, tidak mempunyai matlamat dan juga hilang kepercayaan terhadap diri sendiri.

Selain itu, pengaruh kuat terhadap cara hidup seperti orang Barat turut menguasai pemikiran dan tingkah laku anak-anak muda dan juga sebahagian besar masyarakat. Sehingga umat Islam merasakan mereka adalah umat yang kerdil.

Untuk mengatasi masalah ini sewajarnya kita melakukan perubahan dalam diri kita.

Sebabnya, Allah SWT mengingatkan melalui firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (al-Ra'du: 11)

Persoalan pasti timbul di fikiran kita apa dan bagaimanakah bentuk perubahan yang diinginkan?

Jawapan yang pasti adalah perubahan ke arah yang lebih baik.

Untuk mencapai perubahan ke arah yang lebih baik, tindakan yang perlu diambil ialah dengan menghayati kembali ajaran Islam yang suci dan murni seperti umat Islam terdahulu yang pernah mencapai kegemilangan kerana menghayati Islam.

Apabila sesuatu umat atau bangsa selain dari umat Islam menghadapi keadaan yang sama seperti umat Islam, sudah pasti umat atau bangsa tersebut akan lenyap, tetapi tidak bagi umat Islam.

Walaupun umat Islam menghadapi pelbagai masalah dan cabaran, namun Islam tetap wujud dan berkembang.

Mengapakah umat Islam sering dalam keadaan yang lemah dan tertekan?

Kita hendaklah merenungi apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT: Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (Apa Yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya), dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang tertindas itu. (al-Qasas: 5-6)

Berdasarkan kisah tersebut, ternyata terdapat golongan yang lemah, tetapi yang sebenarnya Allah ingin meninggikan darjat orang-orang yang lemah itu.

Selain itu, diharap daripada ayat di atas dapat dijadikan pengajaran agar umat Islam dapat memperbaiki keadaan serta berusaha untuk mencapai kegemilangan dan menjadi umat yang terbaik sebagaimana yang pernah disebut oleh sejarah.

Perlu dijelaskan bahawa Islam pernah memerintah dunia selama lebih 1,300 tahun.

Dalam tempoh tersebut dunia berada dalam keadaan aman dan suasana kehidupan yang lebih baik dan makmur.

Oleh yang demikian, marilah kita bangkit dan bersatu membangunkan kembali peradaban umat Islam yang hebat dan cemerlang.

Untuk itu marilah mengubah keadaan dalam diri kita dan berharap dengan usaha atau tindakan tersebut Allah akan mengubah keadaan kita dan akan memberi pertolongan kepada diri umat Islam dan pernah kita membayangkan bahawa umat Islam akan bersatu kembali dan mempunyai kekuatan jiwa yang satu?

Untuk itu kita perlu melakukan perubahan dalam diri kita dan tidak lagi bersikap ego dan mementingkan diri sendiri semata-mata.

Ini kerana Islam merupakan agama yang menyatukan ummah yang berteraskan keesaan dan ketauhidan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: