Wednesday, July 13, 2011

Bantuan baiki rumah beri sinar baru


Keluarga Rosilawati Zakaria gembira dengan rumah baru mereka hasil bantuan IRM dan Etiqa Takaful Berhad.


BAITI Jannati sudah merupakan satu bentuk ungkapan yang sering disebut-sebutkan. "Rumahku, syurgaku," begitulah terjemahannya yang membawa maksud bahawa rumah adalah tempat yang membawa kebahagiaan kepada penghuninya.

Hakikatnya, rumah merupakan salah satu di antara nikmat-nikmat Allah SWT, agar hamba-hamba-Nya dapat berlindung daripada cuaca yang tidak menentu serta untuk menyimpan barang-barang miliknya, juga untuk menutup diri dan menjaga keluarganya daripada pandangan manusia.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 80 yang bermaksud: Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal.

Di samping fungsi-fungsi tersebut di atas, masih banyak lagi manfaat-manfaat lain yang diperoleh daripada rumah. Memang sukar untuk dibayangkan seandainya hidup tanpa rumah.

Jika kita amati, mereka yang tidak mempunyai rumah, baik yang tinggal merempat di jalanan atau tinggal di bawah jambatan maka kita akan merasakan betapa besar nikmat sebuah rumah.

Rumah yang ideal dan bahagia adalah rumah yang dibangun di atas dasar ketakwaan kepada Allah SWT. Namun dalam era pembangunan yang semakin maju, masih ada segelintir golongan yang berada dalam kedaifan. Tidak semua insan dikurniakan rumah dan tempat tinggal yang sempurna.

Segelintir golongan yang dihimpit kemiskinan terpaksa akur dengan rumah yang sekadar mempunyai atap dan dinding, kerana bagi mereka apa yang lebih penting adalah mencari sesuap nasi.

Melihat kepada situasi ini, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) dengan kerjasama Syarikat Etiqa Takaful Berhad telah tampil menghulurkan bantuan menerusi program komuniti iaitu 'Projek Pembaikan Rumah', baru-baru ini.

Ia dilaksanakan bagi membela nasib mereka yang dihimpit kemiskinan khasnya bagi memiliki rumah yang lebih sempurna. Kunjungan Pertubuhan IRM dan Syarikat Etiqa Takaful Berhad ke negeri Kelantan dan Kedah telah memberi satu sinar baru kepada golongan ini untuk merealisasikan impian memiliki rumah yang lebih sempurna.

Presiden IRM, Zawahir Abdullah berkata, meskipun pertubuhan ini masih baru, namun pihaknya akan sentiasa peka terhadap isu-isu kemanusiaan dan keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia sendiri.

"Program pembaikan rumah merupakan antara program tempatan yang telah direncanakan oleh pihak IRM untuk tahun 2011 bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang sempurna.

"Yang pastinya, pihak kami akan terus giat untuk mengumpul dana bagi meningkatkan lagi bilangan penerima manfaat untuk program ini.

"Pihak kami juga amat berterima kasih kepada Syarikat Etiqa Takaful Berhad kerana telah memberi kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan projek ini," ujarnya dan berharap keprihatinan ini wajar dicontohi oleh syarikat korporat lain.

Ikutilah beberapa kisah kedaifan rumah insan-insan terpinggir yang dapat dibantu melalui kunjungan singkat ke dua buah negeri berkenaan...

Hidup menumpang

PEMBANTU kedai makan, Rosilawati Zakaria, 44 tahun dari Kampung Binjai Pulau juga turut melahirkan perasaan gembira apabila penantian untuk memiliki sebuah rumah akhirnya tercapai.

Bertahun lamanya mereka lima beranak menumpang di bilik kecil di belakang rumah ibu saudaranya. Di ruang kecil itulah dia dan suami serta tiga orang anaknya yang berumur di antara 12 tahun hingga 18 tahun terpaksa tinggal di dalam keadaan yang serba kekurangan.

Suaminya, Zainuddin Salleh, 51 tahun, yang hanya bekerja sebagai buruh dan menghidap penyakit lelah tidak mampu untuk memiliki dan mendirikan rumah mereka sendiri kerana pendapatan tidak menentu. Apa yang diperoleh hanya cukup untuk perbelanjaan makan dan persekolahan anak-anaknya. Lebih memilukan apabila keadaan mendesak, ada ketikanya terpaksa mendapatkan simpati saudara-mara untuk mendapatkan sesuap nasi.

"Dulu rumah kami sudahlah kecil, tandas pula tidak ada. Berbelas tahun kami hidup begini. Dengan rumah yang bakal siap tidak berapa lama lagi, saya berharap kami dapat hidup dengan lebih selesa dan anak-anak pun akan turut dapat belajar dan membesar dengan selesa," katanya.

Selain Rosilawati dan Ramli, Suriani Yusof, 40 tahun dari Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas turut menerima bantuan pembaikan rumah.

Hasrat baiki rumah tercapai

WALAUPUN mempunyai kepakaran untuk membuat rumah, ia tidak menjanjikan rumah yang didudukinya juga sempurna dan tersergam indah. Dengan kemahiran yang ada pada dirinya, telah banyak rumah banglo dan rumah besar didirikan. Oleh kerana dibelenggu kesempitan dan kemiskinan dia terpaksa reda dengan rumah yang didiaminya sekarang.

Mokhtar Ismail, 47, masih lagi tinggal di rumah berlubang dan bumbungnya bocor. Semuanya kerana pendapatan yang tidak menentu dan tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.

IRM telah membantu dengan membelikan barangan serta peralatan untuk membaiki rumah termasuk simen, batu-bata, pasir dan sebagainya.

Akhirnya, hasrat Mokhtar untuk membaiki rumahnya yang sudah uzur dan semakin reput ini menjadi kenyataan.

"Dalam masa dua minggu sahaja bahagian dapur rumahnya beserta bilik air dapat disiapkan. Sebelum ini dapur rumah ini diperbuat daripada kayu. Bumbungnya pula sudah bocor di sana-sini. Keadaan lebih sukar apabila hujan.

"Kami tinggal tujuh beranak dan tiga daripadanya masih lagi bersekolah. Kami juga turut menjaga emak yang sudah nyanyuk. Kalau diharapkan pada pendapatan saya memang saya tidak berkemampuan, apatah lagi harga barang-barang pembinaan semakin meningkat."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: