Sunday, July 3, 2011

Hidangan sihat cara Itali


Pai epal dan sos vanila.


APA agaknya rasa masakan tanpa garam, gula atau serbuk perasa? Pasti ramai yang menganggap ia tawar kerana bahan-bahan ini antara yang wajib dan kita sudah terbiasa menggunakannya sejak dulu lagi.

Namun sebenarnya terdapat banyak cara untuk menghasilkan masakan enak tanpa bahan tersebut, kata chef Azizi Abdul Aziz dari Kitchen Art Brasserie, Hotel Empire Subang.

“Paling penting bahan yang digunakan mesti segar dan terdapat banyak rempah yang boleh membantu meningkatkan rasa bahan utama,” kata Eksekutif Chef itu.

Seperti hidangan ikan merah yang disediakannya. Walaupun tanpa garam atau lada sulah, hidangan itu terasa enak dan cukup rasa gabungan bahan-bahan segar yang digunakan.

Chef Azizi memasak ikan tersebut dengan cara pan-fry tanpa menggunakan banyak minyak. Dengan cara itu katanya, kesegaran rasa daging ikan tidak hilang malah ia lebih menyihatkan lagi. Beliau kemudian menumis bawang putih sehingga berbau harum dam kemudian memasukkan tomato segar yang dicincang, cili benggala dan buah zaitun. Tanpa menunggu lama, ia terus dihidang bersama ikan bagi mengekalkan kesegaran hidangan. Hasilnya satu hidangan yang bukan sahaja enak malah berkhasiat dan rendah kalori.

Ingin mencuba? Anda boleh sediakan sendiri di rumah kerana ia tidak sukar atau mahu menikmati suasana yang lebih istimewa, kunjungi Kitchen Art Brasserie sepanjang Julai ini. Melalui hidangan Antipasti Bufffet Dinner yang berharga cuma RM39++ untuk dewasa, bukan sahaja ikan merah sebagai hidangan utama, anda juga boleh menikmati udang cajun berempah (pembuka selera), sup kacang kuda dan rosemary, kaki kambing papilotte serta desert tat epal dan almond bersama sos vanila.

Disediakan dalam hidangan yang kecil, namun ia cukup mengenyangkan tambahan lagi bila dinikmati dalam suasana santai di situ. Panorama indah kawasan Subang Jaya yang pesat membangun menjanjikan satu pengalaman menjamu selera istimewa buat semua pengunjung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: