Sunday, July 3, 2011

Daripada hobi jadi galeri


HIMPUNAN tembaga antara koleksi kesayangan Edwin.


SEMAKIN lama usianya, semakin jarang diperoleh maka semakin tinggilah nilainya. Itulah prinsip yang dipegang seorang anggota tentera, Edwin Mario Christie Netto.

Edwin, 29, tidak pernah menyangka minat mengumpul barang lama secara kecil-kecilan sebagai hobi sewaktu berusia 8 tahun boleh mencetuskan idea untuk mewujudkan sebuah muzium mini di rumahnya di Taman Baru, Jalan Bakar Sampah, Sungai Petani, Kedah.

Bermula dengan menyimpan pinggan mangkuk zaman penjajahan British, lama-kelamaan banyak barang antik menyusul. Edwin tidak lagi mampu menyimpan barangan tersebut di dalam almari perhiasan di rumah. Dia terpaksa meletakkan himpunan koleksinya di ruang tamu dan merebak jauh ke bahagian depan rumah.

"Mula-mula hanya kumpul untuk buat barang perhiasan tapi lama-kelamaan sudah terlalu banyak, terpaksa saya buka satu mini galeri di rumah," katanya.

Edwin yang bertugas di Rejimen 513 Askar Wataniah, Kem Jalan Kolam Air, Sungai Petani mengumpul lebih 1,000 jenis barang antik - paling lama adalah kayu cengal batu landasan kereta api berusia lebih 100 tahun.

Dia sudah menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli barang-barang terbabit tetapi tidak mencatatkan nilai sebenar kerana tidak menyangka ia boleh menjadi banyak sedemikian rupa.

Ada antara barang-barang antik itu diperoleh secara menukar suka sama suka dengan pengumpul barang antik lain. Ada juga sesetengahnya diwarisi oleh mendiang bapanya, Francis Edwin Netto.

Antaranya yang ada dalam simpanannya kini adalah tembikar, periuk tembaga, radio lama, seterika lama, gergaji papan, gantang, sagat ubi, gobek api, kapak Jerman, pemain rekod, televisyen lama, acuan makanan, jam, penimbang padi, radas dan balang perubatan lama dan batu giling.

Dua benda yang paling disayangi Edwin adalah tanduk rusa Raindeer dan kad pengenalan sebelum merdeka milik bapanya.

"Saya juga mempunyai set perabot yang diperbuat daripada kayu landasan kereta api dan meja batu penggiling seberat 700 kilogram. Ia memerlukan hampir 10 orang untuk mengangkatnya," katanya yang memperoleh kayu tersebut melalui tender daripada Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Edwin memberitahu, dia pernah mendapat tawaran untuk menjual kesemua koleksi simpanannya dengan harga RM250,000 tetapi ditolak kerana berpegang kepada prinsip menghargai barangan lama.

Bagi menggalakkan orang ramai mempelajari sejarah dan melihat barangan tersebut, dia membuka muzium mini itu untuk tontonan orang ramai secara setiap hari.

"Saya namakan muzium mini ini sebagai Antique Station dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Saya percaya orang ramai yang mengunjungi akan dapat sedikit sebanyak pengetahuan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: