NAMA Mak Dara yang terkenal dek jamu tradisionalnya sudah tidak asing lagi tetapi ramai yang mungkin tidak mengetahui kisah pahit getir kehidupannya sebelum bergelar usahawan wanita berjaya.
Riwayat hidup Mak Dara atau nama sebenarnya Halimah Shuib diangkat ke pentas teater buat kali pertama dalam pementasan teater berjudul Mak Dara Nyonya yang digabungkan bersama kisah dari Indonesia berjudul Nyonya.
Dia yang mewarisi keturunan Arab dari ibunya, Kamariah Latif dan darah Jawa dari bapanya, Suib Elias dilahirkan pada 1 Oktober 1945 di Rengit, Batu Pahat, Johor.
Berkat dorongan adiknya, Munawwar, dia menyertai pertandingan ratu dan berjaya menyandang takhta Ratu Kebaya sebanyak 12 kali.
Menurut Siti Rohayah Attan selaku penerbit dan penulis skrip Mak Dara, konflik hidupnya bermula apabila mahligai perkahwinan yang dibina bersama suami, Syed Ali diracuni orang ketiga iaitu pembantu rumahnya sendiri.
“Mak Dara menukar hak milik rumah pemberian ibu bapanya kepada nama suami sebagai bukti cintanya namun dijual kepada orang lain.
“Syed Ali kemudiannya berpindah keluar bersama isteri barunya meninggalkan Mak Dara bersama lima anak hasil perkongsian hidup mereka tanpa sebarang nafkah,” ulasnya mengenai jalan cerita Mak Dara.
Bukan sahaja kehilangan kasih sayang suami, dia juga kehilangan harta pusaka dan situlah bermulanya kesengsaraannya Mak Dara membesarkan kesemua enam anaknya termasuk seorang hasil daripada perkahwinan pertama yang hanya mampu bertahan selama setahun.
Kisah Mak Dara diselang-selikan dengan naskhah Nyonya yang berunsurkan komedi sinis yang mengisahkan kehidupan seorang nyonya di Indonesia.
Nyonya terpaksa berperang dengan saudagar antik yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya sepanjang suaminya terlantar di hospital akibat barah lidah.
Dia juga terpaksa berhadapan dengan cucu saudaranya yang menuntut harta pusaka sehingga mengugut ingin membunuhnya.
Tidak dinafikan kedua-dua naskhah tersebut berlainan genre namun menurut pengarahnya, Rosminah Tahir, terdapat keserasian pada kombinasi naskhah tersebut iaitu berperihalkan wanita dan masyarakat.
“Saya cuba cungkil kisah ketabahan dan kejayaan seorang wanita yang disebaliknya terselit kesengsaraan dan duka lara.
“Selain itu, elemen perlakuan wanita Nyonya yang sudah berasimilasi dengan budaya dan norma masyarakat Melayu di Indonesia turut saya garapkan dalam teater ini,” tambahnya lagi.
Bagi penonton yang menyaksikan teater ini, mereka bakal dihidangkan dengan paparan kisah wanita sebagai isteri dan ibu dalam dua situasi yang berbeza yang pasti memberi keunikan dalam teater terbitan CTRA Production ini.
Watak Mak Dara yang diterajui karyawan teater, Juhara Ayob dihayati dengan begitu baik sekali walaupun pada mulanya dia agak takut untuk menjiwai watak orang yang masih hidup kerana bimbang akan disamakan dengan karakter sebenar Ibu Halimah.
Walaupun beraksi secara solo, Juhara bijak menggunakan pentas sebaik-baiknya membuatkan penonton seolah-olah berada dalam peristiwa yang berlaku.
Sementara itu, watak Nyonya pula dijayakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Teater Akademi Seni Kebudayaan dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Sherry Syed Abdullah.
Berbekalkan pengalaman berlakon dalam 23 teater sebelum ini, dia harus menghidupkan watak Nyonya yang bukan sahaja penuh dengan ekspresi malahan memerlukan sedikit penguasaan bahasa Indonesia.
“Syukurlah saya pernah ke Bandung selama dua minggu untuk mempelajari dan mendalami ‘randai’ atau teater tradisional suku Minangkabau yang kaya dengan nilai etika dan estetika.
“Dari situ saya mempelajari sedikit sebanyak bahasa Indonesia daripada segi dialek dan lenggok pertuturannya yang betul,” kata Sherry ketika ditemui wartawan pada majlis previu teater Mak Dara Nyonya di Panggung Eksperimen Aswara baru-baru ini.
Turut sama terlibat ialah Norzizi Zulkafli, Sarimah Ibrahim dan Misha Omar untuk karakter cucu-cucu saudara.
Di samping itu, Zaifri Husin yang memegang watak saudagar bergelar Tuan dan Fara Fauzana sebagai isterinya juga berjaya merealisasikan naskhah Nyonya.
Kemunculan Fara sebagai pendatang baru dalam dunia teater tidak mengecewakan apabila diberi tanggungjawab menggalas watak isteri saudagar antik.
“Dia benar-benar komited terhadap watak yang diberi dan banyak bertanya kepada pelakon lain yang jauh lebih berpengalaman” kata Pengarah Pemasaran CTRA Production, Chloe H.B Siao.
Teater Mak Dara Nyonya dipentaskan dari 6 hingga 12 Julai ini di Auditorium Pusat Perlancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: