Friday, July 22, 2011

Digi ingin kekal momentum pertumbuhan

DiGi . Com Bhd (Digi) akan terus mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan prestasi jitu dalam segmen data dan suara dipacu oleh peningkatan penggunaan dan asas langganan yang lebih besar, mencecah 9.3 juta.

Dalam satu kenyataan medianya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Henrik Clausen berkata, fokus syarikat bagi memacu saranan “Internet bagi Semua” telah membantu memacu pertumbuhan datanya yang kukuh.

“Usaha untuk mewujudkan tarikan media sosial melalui inovasi seperti “Opera Mini” dan “Facebook Zero”, peningkatan barisan telefon pintar kami, bersama-sama dengan usaha pintar yang lain, telah merangsang langganan,” katanya.

Clausen berkata, Digi kini mempunyai lebih 5.3 juta pelanggan jalur lebar mudah alih dan Internet mudah alih.

Menurutnya, Digi akan memberi keutamaan kepada inisiatif permodenan rangkaian dan kerjasama serta fokus pada kos, sebagai satu pembinaan jangka panjang yang diperlukan bagi mengekalkan pertumbuhan dan menyediakan jalur lebar mudah alih dan Internet mudah alihnya yang kukuh.

“Kami mencatatkan kemajuan yang baik dalam dua bidang, iaitu inisiatif perkongsian infrastruktur dengan Celcom dan eksersais permodenan rangkaian,” katanya.

Bagi suku tahun yang dikaji, keuntungan pracukai Digi merosot kepada RM325.28 juta daripada RM377.99 juta dalam tempoh sama sebelum ini.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM1.46 bilion daripada RM1.33 bilion sebelum ini, yang disumbang oleh peningkatan 113 peratus oleh Internet mudah alih dan jalur lebar mudah alih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: