Tuesday, July 5, 2011

Di sebalik kontroversi ESQ


Pengacara dan penerbit Halaqah Sentuhan Qalbu, Ahmad Noor Sulaiman.


MULAI hari ini, program bual bicara Islamik terbitan TV9, Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ) disiarkan di saluran tersebut pada pukul 10 malam.

Sebelum ini, HSQ hampir-hampir menerima tempias apabila modul motivasi yang dirangka oleh ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd., (ESQ) dikatakan bercanggah dengan akidah dan syariat Islam memandangkan ESQ bekerjasama dengan TV9 bagi menerbitkan HSQ.

Tidak cukup setakat bertentangan dengan akidah dan syariat, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh turut mengharamkan modul ESQ daripada digunapakai dalam mana-mana pengisian program berbentuk motivasi.

Setelah reda dengan kontroversi tersebut, rakaman musim kedua HSQ diteruskan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen itu untuk berbuat demikian.

Penerbit HSQ, Ahmad Noor Sulaiman ketika ditemui mengakui, dia agak khuatir dengan isu pengharaman tersebut kerana bimbang ia akan memberi kesan terhadap penerbitan rancangannya.

"Bagaimanapun, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan merujuk kepada pihak yang lebih arif mengenai isu terbabit.

"Mujur Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kebenaran bertulis yang mengizinkan rakaman musim kedua HSQ boleh diteruskan.

"Tambahan lagi, isi kandungan rancangan ini juga mendapat pelepasan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) untuk disiarkan kepada khalayak," ulas Ahmad Noor yang juga bertindak selaku pengacara HSQ.

Guna Facebook cari responden

Mengulas mengenai perbezaan yang diketengahkan berbanding musim pertama HSQ, Ahmad Noor menjelaskan, responden untuk musim ini terdiri daripada kalangan penonton setia rancangan tersebut yang mengikutinya sebelum ini.

Musim lalu, menurut Ahmad Noor, para ulama diundang sebagai panel untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan akidah manusia zaman sekarang.

Namun, kali ini HSQ menggunakan teknologi moden dengan mencari responden yang ingin berkongsi kisah hidup mereka melalui laman sosial Facebook.

Katanya, TV9 menguar-uarkan pemilihan melalui laman sosial tersebut yang mempunyai ramai pengikut.

"Kami membuat saringan berdasarkan cerita yang ingin dikongsi oleh mereka yang berminat.

"Selain itu, kami juga bekerjasama dengan alumni ESQ untuk mencari responden bersesuaian yang mempunyai nilai cerita dan boleh dijadikan topik perbincangan," jelas Ahmad Noor mengenai rancangan yang memperoleh rating sebanyak 4.3 juta penonton pada musim lalu.

Konsep syurga dan cakerawala

Pada masa yang sama, Ahmad Noor turut diajukan soalan mengenai konsep rekaan set dan pentas yang diperkenalkan pada musim terbaru HSQ.

Menggunakan pendekatan penceritaan, set direka bak berada di ruang angkasa raya.

Kata Ahmad Noor, ia dibuat sebegitu agar individu yang terlibat dalam rancangan ini berasakan diri mereka berada pada satu tahap yang tinggi dan kemudiannya tunduk ke bawah dan tidak bongkak.

"Kemudian, saya menerapkan elemen syurga dengan meletakkan prop juraian air di skrin kaca yang dipancarkan dengan paparan kalimah Allah SWT.

"Aliran bunyi air yang mengalir di skrin kaca tersebut mewujudkan suasana kedamaian dan ia cukup tenang seumpama berada di syurga idaman," ulas Ahmad Noor sejurus tamat rakaman episod lima HSQ yang diadakan di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: