![]() |
| FRANK dalam salah satu babak klip video Terpesona. |
TEKAD merealisasikan imaginasi yang telah lama terpendam di sanubari membuatkan pendatang baru industri hiburan tanah air ini berani untuk tampil dengan klip video Terpesona yang canggih.
Berbekalkan kreativiti dan bakat yang ada dalam diri serta sandaran dan sokongan kuat daripada rakan-rakan, Frank Scott Hew yakin dirinya mampu untuk mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang penyanyi.
Siapa sangka biarpun namanya masih lagi janggal di pentas seni, Frank berjaya menarik minat penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat untuk berduet bersamanya menerusi single sulungnya, Terpesona.
Ternyata usaha dan semangat yang ditonjolkan oleh anak kelahiran Ipoh, Perak ini, tidak mengecewakan.
Klip video singlenya itu menunjukkan kematangan dan kesungguhan walaupun ia cubaan pertamanya untuk memperkenalkan diri kepada peminat.
Aplikasi teknologi imej janaan komputer (CGI) yang digunakan sewaktu menghasilkan klip video tersebut jelas menunjukkan, Frank begitu komited dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik.
Dia juga mahu lari daripada kebiasaan yang dilakukan oleh penerbit lain apabila klip video Terpesona, memang mempesonakan.
"Saya rasa bertuah kerana dikelilingi oleh mereka yang arif dan pakar untuk bersama-sama menjayakan klip video ini.
"Biarpun mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkannya namun saya amat berpuas hati dengan hasilnya.
"Ternyata kerja keras saya dan semua krew yang terlibat membuahkan hasil yang cukup mempersonakan," ujar Frank ketika berkunjung ke pejabat Mega baru-baru ini.
Tambah penyanyi berbangsa Tiong Hua itu lagi, apa yang ditonjolkan melalui klip video Terpesona itu merupakan khayalan yang sudah lama terpendam dalam dirinya.
Katanya, sebagai seorang lelaki, dia mengimpikan untuk menyelamat dan menempatkan kekasih hatinya di sebuah mahligai indah.
"Itulah yang cuba saya tonjolkan melalui video ini agar ia dapat dikongsi bersama-sama dengan peminat.
"Tambahan pula, sebagai lelaki, pastinya saya mahu melindungi insan yang saya sayangi dan memastikan dia dapat menikmati kehidupan bersama-sama saya," luah Frank.
Tambahnya, Terpesona telah pun diterbitkan pada 26 Jun lalu dan mengharapkan sambutan yang menggalakkan daripada peminat.
Selain itu, apabila ditanya apakah punca yang membuatkan dirinya berani untuk bersaing dengan bakat-bakat baru yang semakin membanjiri industri hiburan tanah air dewasa ini?
Jawapan Frank, "tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk menjadi penyanyi biarpun didedahkan dengan muzik sejak kecil lagi.
"Pada usia lima tahun, saya telah mula mengikuti kelas piano dan minat pada muzik dan seni semakin membuak-buak apabila melangkah ke menara gading.
"Apabila pulang dari England tahun lalu dan berjumpa dengan kawan-kawan, mereka meyakinkan saya untuk cuba mengetengahkan bakat yang ada.
"Dari situlah hati saya mula terbuka dan yakin untuk menghasilkan Terpesona," katanya yang merancang untuk menyiapkan single keduanya, Chase yang akan dirakamkan dalam tiga versi iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: