|
|
Gelak tawa dan usik-mengusik antara satu sama lain membuatkan mereka kelihatan cukup akrab dan boleh dilabel sebagai 'teman sejiwa'.
Namun, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa salah seorang daripada mereka itu sebenarnya pernah menjadi jurulatih Fitness Centre.
Mendapat perkhabaran itu, S3 tidak menunggu lama untuk mengatur sesi fotografi bersama mereka bagi melihat kehebatan bekas jurulatih berkenaan memberikan tunjuk ajar kepada dua lagi sahabat mereka.
Lantas, bertempat di Celebrity Fitness, One Utama, Bandar Utama, baru-baru ini, Deq Wan menunjukkan skil senamannya disamping membuli rakan-rakan pengacaranya itu.
"Sebenarnya saya sudah lama berhenti menjadi jurulatih tetapi kunjungan ke Fitness Centre ini tidak pernah lenyap dari kamus hidup saya.
"Cuma sekarang ini, saya semakin kurang menjengah gimnasium kerana kekangan masa yang sangat terhad maklumlah kerja tidak tentu masa," ujar Deq Wan memulakan bicara.
Bagaimanapun, jelas Deq Wan, menghabiskan masa di gimnasium membuatkan dirinya merasa lebih segar dan tenang.
Ujar anak kelahiran Pahang itu, apabila membuat senaman di Fitness Centre, dia berjaya menghilangkan tekanan yang menghantui fikirannya.
"Habis mengeluarkan peluh 'jantan' di sini (Fitness Centre) membuatkan badan saya menjadi segar kembali, tambah-tambah lagi segala tekanan kerja dapat dilupakan sementara.
"Lagipun, ini sahaja masa yang boleh saya manfaatkan untuk bersama rakan-rakan dan meluangkan masa dengan mereka," tambah Deq Wan atau nama sebenarnya Tengku Naharuddin Izwan Tengku Nasaruddin.
Sementara itu, satu-satunya pengacara perempuan rancangan yang disiarkan setiap Jumaat pukul 6.30 petang itu, Azura atau nama penuhnya Azura Zulkifli mengakui seronok setiap kali dapat meluangkan masa di gimnasium.
"Bukan mudah untuk dapat bersama dengan kawan-kawan meluangkan masa seperti ini, jadi apabila ada kesempatan, sudah tentu saya tidak melepaskan peluang untuk bersama mereka melakukan senaman.
"Biarpun jarang tetapi dengan adanya Deq Wan sekurang-kurangnya ia menaikkan semangat saya untuk terus menjalankan rutin senaman.
"Maklumlah bekas jurulatih, saya pun seperti anak didik yang perlu dilatihnya," ujar Azura berseloroh.
Bagaimanapun, bagi E'One atau nama sebenarnya Mohd. Syazwan Roslan pula mengikuti rutin di Fitness Centre memberikan kepuasan kepadanya.
"Rutin di sini ada jadualnya dan ia membuatkan senaman kita menjadi teratur selain khidmat nasihat yang diberikan oleh jurulatih yang ada.
"Malah kita juga akan terikat dengan disiplin yang telah digariskan oleh pihak Fitness Centre dan sukar untuk mengelak apabila berhadapan dengan mereka.
"Larat tak larat, hendak tak hendak, kena gagahkan juga untuk menghabiskan sesi senaman kita.
"Lagipun, senaman ini penting untuk menyihatkan badan. Harus diingat, remaja bukan terletak pada usia tetapi pada cara hidup," ujar E'One sebelum menamatkan bicara tengah hari itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: