Sekitar majlis perkenalkan pelakon.
KECEKAPAN Datin Seri Tiara Jacquelina dalam menyimpan rahsia barisan pelakon utama teater muzikal terbitannya, The Secret Life On Nora memang cukup bijak.
“Bukanlah mahu terlalu berahsia tetapi biarlah selepas kami umumkan senarai pelakon yang sudah disahkan bakal; membintangi teater. Kami cuma tak mahu berlaku perkara yang tidak diingini jika terlalu awal mendedahkan semua maklumat sebelum tiba waktunya.
“Selepas ini kami akan menerangkan watak dan perwatakan mereka dalam teater ini, jadi tidak akan sebarang kekeliruan yang timbul,” kata Tiara sambil tersenyum.
Melihat kepada barisan pelakon yang dipilih, tentu ada yang tertanya apakah kriteria yang dikehendaki wanita ini. Ia sudah menjadi resam Tiara, kebanyakan pelakon yang dipilih bukan calang-calang orangnya.
Selain Tiara sendiri memegang watak sebagai ejen perisik bernama Nora, tiga watak lain yang akan menerajui teater itu ialah Aznil Nawawi, Adibah Noor serta pelakon Broadway, Ryan Silverman. Mereka terpilih untuk disenaraikan sebagai pemegang watak utama pementasan itu.
“Tidak dinafikan, memang pening memilih pelakon untuk membintangi teater Nora ini. Kami memerlukan pelakon yang memang sesuai dengan karakter yang kami cipta. Contohnya, untuk watak Roger, memang agak sukar untuk mencari pelakon yang layak.
“Namanya muncul apabila dicadangkan oleh Azimy dan selepas melihat lakonannya dalam Youtube, kami menawarkan watak itu kepadanya. Pun begitu, kami tetap mengadakan sesi uji bakat. Terima kasih kepada teknologi kerana kami menjalankan uji bakat itu menerusi Skype,” katanya.
Disebabkan tidak mahu media dapat meneka, Tiara juga turut melarang pelakon terbabit menggunakan laman sosial milik mereka untuk bercerita mengenai tawaran yang diterima itu.
“Memang saya sudah berpesan supaya mereka tidak menulis sebarang cerita mengenai watak mereka dalam Facebook, Twitter kerana tidak mahu ia didedahkan sebelum majlis pengumuman yang sebenar.
“Malah saya juga menegah diri saya dari berkawan dengan Ryan di dalam Facebook atau Twitter supaya tak nampak ketara. Hanya selepas ini saja baru kami boleh berkawan di laman sosial,” katanya sambil tertawa.
Cabaran besar Aznil
KALAU diikutkan jadualnya yang ketat, memang Aznil tidak akan sanggup untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Bayangkan, dengan jadual hariannya yang bermula dari jam 4 pagi serta kesibukannya menjalankan tugas harian seperti pengacaraan tentunya amat sukar untuk Aznil memberikan komitmen terhadap teater The Secret Life Of Nora.
Namun, terdetik dalam hatinya kalau jika tawaran ini ditolak, bererti dia menolak rezeki serta peluang yang amat ditunggu-tunggunya sejak dulu lagi.
“Saya memang ada keinginan untuk berlakon di bawah produksi Tiara. Siapa yang tidak mahu beraksi di dalam produksi milik Tiara yang semuanya sudah ketahui cukup hebat. Justeru, apabila telefon bimbit saya dihubungi Tiara, saya terus berkata setuju sebelum Tiara membuka mulut.
“Walaupun terpaksa memberi komitmen yang jitu kerana terbabit dengan bengkel, latihan, dan pementasan tapi saya sanggup kerana saya mahu mencuba dan merasa berlakon di bawah produksi yang cukup gah ini,” katanya.
Mengenai wataknya dalam teater muzikal itu, Aznil berkata sehingga kini dia sendiri masih tidak jelas apakah watak dan perwatakannya dalam teater arahan Steven Dexter ini.
Bagaimanapun, dia berharap dapat membawakan watak sebagai penjahat itu dengan baik tanpa dipengaruhi watak jahat yang pernah dibawanya sebelum ini.
“Apa yang merisaukan saya adalah orang akan tetap menyamakan watak saya dengan Profesor Klon dalam filem Cicakman. Disebabkan itulah saya harap mungkin untuk karakter ini nanti, penampilan fizikal saya diubah supaya nampak perbezaannya,” kata Aznil yang nyata tidak sabar untuk menanti kemunculan teater itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: