Monday, July 4, 2011

Bicara bermula


KERATAN Kosmo! 12 September 2010.


SHAH ALAM - Perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan berlangsung selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi di sini bermula hari ini.

Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dengan kira-kira 50 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan.

Kes itu membabitkan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan, yang mengaku tidak bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot No. 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos tahun lalu.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd. Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Kesemua mangsa dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas dikatakan pergi ke Banting atas urusan pembelian tanah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: