Memiliki anak mengikut jejak langkahnya dalam industri seni adalah cabaran buat penyanyi Rohana Jalil. Bukan tidak bersyukur dengan populariti diraih, anak bongsunya itu, malah dia berbangga permata hatinya diterima baik oleh penggiat dan peminat seni hiburan tempatan.
Namun sebagai ibu, tiada perkataan bebas untuk anaknya Kilafairy membuat sebarang keputusan. Sudah lebih 20 tahun. Sentiasa memantau pergerakan anaknya, Rohana berharap tiada kata tersilap langkah daripada Kilafairy atau lebih mesra dengan panggilan Kila.
“Pada awalnya dia cakap nak jadi artis, saya tak melarang.Saya beritahu batasan. Perlu ada komitmen dan kena kerja kuat untuk berjaya. Bila dengar macam tu, Kila kata ok. Saya tak sangka, dia betul-betul nak jadi artis.Sejak itu, saya terus mengikuti perkembangannya.
“Tidak mahu orang kata saya tak pandai jaga anak, saya pastikan setiap langkahnya tidak tersasul. Bukan senang nak jadi artis. Sudah macam-macam dilalui. Pesanan saya tak pernah putus buat Kila,” katanya kepada Sinar Harian.
Kila sendiri tidak pernah menganggap dirinya terbaik kerana ibunya juga orang seni, malah Kila sentiasa cuba menjaga namanya dan ibunya agar tidak ada perkara tidak baik berlaku kepadanya.
“Saya akui bukan mudah nak bawa nama saya dan nama mama sekali. Orang pandang mama saya orang lama, jadi sebagai pendatang baru banyak perkara saya masih belum tahu dan berusaha untuk belajar mencari kelemahan diri dan memperbaikinya.
“Tapi, itu bukan alasan untuk saya membuat kesilapan. Saya mahu masyarakat memandang saya kerana bakat. saya memang minat berlakon dan hendak menjadi seorang pelakon yang bagus suatu hari nanti,” katanya.
Tiada rahsia
Anak-beranak ini sebenarnya sangat rapat, apatah lagi Kila adalah anak bongsu Rohana. Sejak dulu lagi kedua-duanya tidak pernah ada rahsia lebih-lebih lagi Kila yang akan berkongsi setiap masalah bersama mamanya.
“Saya anggap anak seperti kawan. Mereka perlu hormat bukan takut dengan saya. Mereka senang dengan cara begini. Sebagai ibu pula, saya tak pernah memukul mereka. Saya lebih gunakan pendekatan memberi nasihat dan menegur dengan baik,” katanya.
Melihat perkembangan Kila yang semakin membesar dalam bidang lakonan, Rohana berkata, ia satu permulaan baik. Namun tidak mahu anaknya berasa gah, Rohana berharap Kila bijak mengurus dirinya.
Biarpun ada yang mengatakan Kila hanyalah popularitinya, Rohana berkata itu semua berkat usaha anaknya sendiri.
“Saya hanya menguruskan jadual Kila kerana dia masih belajar. Misalnya ada pihak sama ada penerbit atau pengarah yang mahu menawarkan Kila berlakon, maka mereka akan menghubungi saya terlebih dahulu,” katanya.
Ibu mana mahukan anaknya terlibat dengan gosip liar. Biar ada yang mengatakan itu sebagai bantuan untuk melonjakkan nama, namun bagi Rohana perkara itu perlu dielakkan.
“Sudah banyak kali saya pesan, jangan sampai terjebak. Tapi, sebagai selebriti, tidak nafkan perkara itu akan menghantui diri. Cuma, biarlah ia berlalu pergi tanpa berlanjutan.
“Lagi pula, orang baru perlukan sokongan bukan cerita mengaibkan. Dengan usia remajanya, saya tahu macam-macam dia mahu. Tapi, apabila memilih jalan ini, seharusnya banyak perkara perlu dihentikan, “katanya.
Tidak hanya boleh berlakon malah Kila juga sebenarnya boleh menyanyi. Bakat nyanyian yang diperoleh daripada ibunya ini sebenarnya sudah lama. Buat masa ini, Kila masih menantikan jawapan daripada pihak KRU Studios mengenai albumnya.
Kila dan Rohana pernah melahirkan pendapat untuk berduet bersama, namun kerana kesibukan masing-masing, hasrat itu terhenti sendiri.
“Saya dan mama memang ada memasang anang-angan nak berduet sama-sama. Tapi, tak tahulah bila agaknya hasrat kami akan terlaksana. Kami berdua sibuk dengan kerja masing-masing.
“Mungkin suatu hari nanti bila ada kelapangan dan ada lagu yang sesuai untuk kami, pasti kami akan usahakan,” katanya yang mula minat menyanyi sejak kecil lagi apabila telah didedahkan dalam dunia nyanyian kerana sering mengikuti ibunya membuat persembahan pentas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: