Ditubuhkan sejak 2000 atas usaha Freddie sendiri dan rakan-rakan artis lain, Karyawan bertujuan memperjuangkan nasib penggiat seni tanah air.
Menurut Freddie, walaupun usaha yang dilakukan tidak dihargai dan sering dipandang sebelah mata, namun berjaya membantu golongan artis yang memerlukan.
“Nampaknya masih ramai yang tidak menyedari perkara yang Karyawan perjuangkan memberi kesan dalam jangka masa panjang.
“Antara yang diperjuangkan adalah bantuan kewangan untuk artis yang mengalami masalah kesihatan, royalti artis dan peraturan wajib siar bagi lagu-lagu baru,” katanya.
Selain itu, Freddie berkata, antara kejayaan terbesar Karyawan adalah mewujudkan Skim Pencen dari 2004 hingga 2010.
“Dalam tempoh itu, seramai 30 artis veteran menerima wang pencen sebanyak RM500 sebulan bagi meringankan beban mereka yang tiada punca pendapatan lain.
“Malangnya skim itu terpaksa diberhentikan kerana kekurangan dana, tetapi Karyawan akan cuba mengembalikannya jika dana sudah kukuh,” katanya.
Melihatkan begitu banyak persatuan yang ditubuhkan, Freddie yang juga bekas Pengerusi Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP), turut mencadangkan agar kesemua persatuan bergabung di bawah satu persatuan induk.
“Kurangnya penglibatan artis dalam persatuan adalah kerana banyak persatuan yang mengelirukan dan mempunyai kepentingan peribadi.
“Jika semua bergabung, kebajikan artis lebih terbela dan persatuan artis dapat memberikan khidmat terbaik kepada ahli mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: