Sunday, July 3, 2011

Artis menziarahi Orang Asli


Suami isteri, khai dan rosma sibuk mengagihkan nasi bungkus kepada tetamu.


KEHADIRAN golongan artis biasanya menjadi ‘penambah perisa’ yang cukup bermakna kepada kejayaan sesuatu acara.

Dengan aura glamor artis, majlis yang sendu boleh berubah dalam sekelip mata menjadi ceria dan bermaya.

Kehadiran beberapa selebiti ke acara pelancaran Jelajah Sihat Orang Asli di Kampung Jeram Kedah, Ulu Beranang, Negeri Sembilan minggu lalu juga menyuntik emosi harmonis tidak terhingga.

Majlis yang semulajadi meriah, menjadi tambah bermakna apabila melihat wajah-wajah popular seperti Fizo Omar, Julia Ziegler dan Abby Abadi di depan mata.

Turut muncul ialah Khai dan isteri, Rosma, serta pelakon yang meningkat naik, Zain Saidin. Tidak ketinggalan Ana Rafalli yang muncul sekejap membuat persembahan dua lagu popularnya.

Acara ini diuruskan oleh Universal Credential dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk masyarakat orang asli di lokasi berkenaan.

Ia bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat yang lebih terjamin kepada masyarakat di daerah berkenaan dan dirancang perlaksanaannya ke seluruh negara selepas perasmian ini.

Kehadiran artis ini disambut dengan ratusan pahlawan Orang asli dengan pelbagai hiasan kreatif, selain sumpit dan anyaman daun kelapa yang dijadikan sebagai hiasan di kepala.

Artis lelaki membonceng dengan motorsikal yang disediakan oleh beberapa pemuda Orang asli, dibawa terus ke tapak pesta acara yang disebelahnya mengalir sungai kecil. Sementara artis perempuan berkonvoi menaiki kereta.

Lalu tidak hairanlah, ada sebab untuk artis-artis ini berasa bahagia sekali, seharian berada di Kampung Jeram Kedah.

Pelakon Zain Saidin misalnya, tidak sama sekali menyangka sambutan yang diterima begitu mengalakkan.

“Saya menganggap pembabitan ke kampung orang asli ini sebagai satu kerja amal. Seronok hidup di Kuala Lumpur, sesekali menjengah daerah orang lain, ia adalah satu proses yang sangat penting untuk kita sebagai seorang insan,” kata Zain.

Zain turut memuji acara yang dilaksanakan yang dianggap memberi kelebihan kepada penduduk setempat apabila ia bukan hanya menghidangkan hiburan semata-mata.

Apa yang penting, penduduk di sini mendapat khidmat untuk pemeriksaan kesihatan yang disediakan sempena program ini, selain mendapat maklumat pelbagai kempen terkini anjuran kerjaan.

“Ini adalah peluang untuk mereka mengambil tahu soal kesihatan diri, anak-anak dan keluarga kerana pasukan pemeriksaan kesihatan dibawa khas ke tempat mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, pelakon Fizo Omar menganggap pertemuan pertama dengan masyarakat di Jeram Kedah adalah sesuatu yang cukup ternilai.

“Ini pengalaman yang sangat ‘mahal’ harganya. Biasanya artis terlibat dalam acara yang glamor, gilang-gemilang, kali ini masuk ke kampung orang asli.

“Bila dijemput oleh penganjur, saya tidak melepaskan peluang. Pengalaman yang sangat hebat dan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk mencipta keharmonian sesama kaum di dalam negara yang kita cintai ini,” katanya.

Sementara itu, pelakon Julia Ziegler pula mempunyai pandangan berbeza terhadap pengalaman yang dikutip.

Harapan Julia semoga anak-anak orang asli yang ditemui akan meraih kejayaan yang baik pada kehidupan masa depan mereka.

“Harap sangat kehadiran kami dapat menghiburkan anak-anak kecil itu, selain membakar semangat mereka dalam semua bidang terutamanya pelajaran.

“Walaupun hanya beberapa jam, ia sangat bermakna. Saya menjadi sangat sedih apabila terpaksa meninggalkan mereka walaupun baru saja bersua,” kata Julia.

Sementara itu Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merakamkan penghargaan kepada artis-artis yang terlibat.

Kehadiran golongan selebriti ini diharap dapat membawa bersama tauladan yang baik, selain memeriahkan lagi acara yang diadakan.

Menurut Rosnah, peranan selebriti dan artis sangat penting didalam menggerakkan sesuatu kempen yang dilaksana. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek.

Selain sesi pemeriksaan kesihatan, pelbagai acara lain turut berlangsung acara sukan dan persembahan kesenian daripada kalangan orang asli sendiri yang begitu menghiburkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: