![]() |
| ARORA SALWA pertaruhkan Ahmad sebagai sandaran untuk menyerlahkan namanya sebagai penyanyi baru. |
PUCUK hijau ini belum dikenali umum. Menggunakan nama pentas Arrora Salwa, pemilik nama sebenar Salwa Md. Razak ini baru bergelar artis bawah payung Sony Music Entertainment. Demi cinta terhadap nyanyian, wanita bertubuh langsing serta tinggi lampai wanita berusia 26 tahun ini sanggup menanggalkan uniform seragam yang menjanjikan pendapatan tetap buatnya.
Belum meraih banyak publisiti, Arrora khabarnya sedang angau terhadap seorang jejaka bernama Ahmad. Tanpa segan-silu nama itulah yang seringkali dilontarkannya di hadapan pendengar. Baginya, jejaka bernama Ahmad sungguh istimewa.
Tatkala diajukan soalan itu kepadanya, Arrora hanya tersenyum. Katanya, Ahmad sebenarnya merupakan lagu single pertamanya yang dipilih syarikat untuk mencari kelainan.
"Selama ini, kebanyakan lagu sering memuja nama wanita. Tetapi kali ini, saya pula yang memuja lelaki.
"Ahmad dipilih kerana ia merupakan nama yang banyak digunakan di dalam masyarakat Melayu," ujar Arrora.
Tambahnya, lagu berkenaan dicipta oleh komposer Indonesia iaitu Panji Sakti yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu hit untuk dua penyanyi Aliff Aziz dengan lagu Sayang-Sayang dan Alif Satar, Jangan Nakal.
Besar hati berpeluang merakamkan lagu Ahmad, kata Arrora, lirik Ahmad mudah menerjah ke kotak fikiran sesiapa sahaja.
"Ia mengenai wanita yang mencintai jejaka bernama Ahmad dan dalam masa yang sama cintanya itu disambut baik oleh sang jejaka.
"Lagu Ahmad ini boleh didapati dalam album kompilasi Keunggulan Wanita 2 keluaran Sony Music," kata penyanyi berasal dari Kota Tinggi, Johor itu senyum ramah.
Selain lagu nyanyian Arrora, album kompilasi berkenaan turut memuatkan lagu-lagu popular penyanyi hebat termasuklah nyanyian Datuk Sheila Majid, Jaclyn Victor, Ziana Zain, Siti Sarah, Francissca Peter, Shima dan Misha Omar.
Mendekati Arrora, sebelum terlibat dalam industri nyanyian dia asalnya berkhidmat sebagai anggota polis selama tujuh tahun, tetapi, disebabkan minat mendalam dalam bidang nyanyian, Arrora meninggalkan bidang itu menyanyi sepenuh masa.
Cerita penyanyi berzodiak Cancer itu juga, dia mula menyanyi sejak di bangku sekolah lagi. Ketika berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), dia turut menyertai kombo PDRM dan terlibat dengan pelbagai persembahan sepanjang bertugas.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: