Friday, July 8, 2011

4 remaja maut berlumba haram


ORANG RAMAI melihat mayat empat remaja yang terlibat dalam kemalangan di Banggol Chicha, Pasir Mas kelmarin.


PASIR MAS – Empat remaja termasuk dua pelajar dipercayai berlumba haram terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Banggol Chicha dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, keempat-empat mangsa, Mohd. Fikri Mat, 19, dari Kampung Banggol Stol, Rantau Panjang, Abdul Muhaimin Makhtar, 21, dan Raja Ahmad Muzzammil Raja Mansor, 18, dari Kampung Kubang Panjang serta Mohamad Amirul Afiq Baharon, 17, dari Kampung Kubang Pak Amin mati di tempat kejadian selepas dipercayai cedera parah di kepala dan badan.

Mohamad Amirul merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong di sini, manakala Abdul Muhaimin pula pelajar Politeknik Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kemalangan itu berlaku ketika Mohd. Fikri yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 berlumba haram dengan motosikal lain tiba-tiba kenderaan itu meletup dan terbakar.

Menurutnya, pada masa sama, dua motosikal lagi yang masing-masing datang dari arah bertentangan dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung antara satu sama lain.

“Akibat pertembungan itu, keempat-empat mangsa dikatakan tercampak ke jalan raya dan mati di tempat kejadian. Keempat-empat mereka disahkan mati selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

“Kejadian tersebut berlaku di sebatang jalan raya berhampiran Banggol Chicha yang belum siap dibina sepenuhnya. Jarak jalan raya tersebut yang digunakan untuk berlumba sepanjang satu kilometer,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment