|
| AKSI lawak mengajuk gaya percakapan orang lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri S Samy Vellu mengingatkan peminat kepada pelawak veteran, Yusof Chong dengan sketsanya yang sinis dan mencuit hati. |
Namun, peredaran masa dan perkembangan bidang hiburan kini lebih memberi tumpuan pada muzik, filem dan teater hingga bidang lawak makin disisihkan. Peranan pelawak veteran makin dilupakan sedangkan mereka memerlukan wang untuk menyara kehidupan.
Yusof atau nama sebenar, Yusof Mat Said, 62, tidak lagi aktif seperti dulu selepas menghidap sakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu. Namun, Yusof mengakui masih bersemangat menerima jemputan mengadakan persembahan, tetapi bergantung kepada keadaan kesihatan.
Katanya, hingga kini dia masih menjalani rawatan susulan di Hospital Selayang, Selangor dan pernah dimasukkan ke wad sebanyak lapan kali tahun lalu manakala dua kali tahun ini. Dia juga perlu membelanjakan RM2,000 sebulan untuk kos rawatan dan ubat.
"Keadaan saya bertambah sihat walaupun selalu keluar masuk hospital setiap minggu. Ada ketika saya sesak nafas dan jika terlalu tertekan, penyakit saya akan jadi lebih teruk. Buat masa ini, saya masih mengadakan persembahan sebagai pelawak dan pengacara majlis tetapi tidak banyak seperti dulu.
"Dalam hati, sebenarnya sedih mengenangkan bayaran diterima pelawak veteran seperti saya tidak seimbang berbanding artis lain. Pada 2002, saya pernah mengadakan persembahan di Hong Kong sempena Malam Malaysia di sana dan saya lihat bayaran diterima artis undangan lebih tinggi daripada artis biasa.
"Berbeza dengan nasib artis veteran sama ada pelawak, pelakon dan penyanyi, kami semua menerima bayaran menyedihkan. Saya berpandangan kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk membantu nasib artis veteran supaya kami mempunyai sumber pendapatan untuk terus hidup," katanya.
Katanya, pelantikan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan diharap dapat melakukan tindakan drastik untuk memberi bantuan kepada artis veteran.
"Sebelum ini, saya menerima bantuan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menerusi skim pencen dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Ada rakan artis seperti Datuk Yusof Haslam yang prihatin dan menghulurkan sumbangan pada saya.
"Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kini dikenali Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan juga pernah berjanji memberi sumbangan kepada saya, tetapi belum diterima.
"Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada mereka yang pernah memberi sumbangan, tetapi bantuan diberikan kepada saya dan artis veteran yang lain sebenarnya belum cukup.
"Sepatutnya persatuan artis yang ada lebih mengambil berat terhadap artis veteran kerana kami bukan hanya kurang mendapat sumbangan wang, tetapi tidak banyak jemputan persembahan," katanya.
Yusof berpandangan kebanyakan persembahan pentas atau TV pada masa kini lebih memberi keutamaan pada artis muda. Akibat senario itu, artis veteran jarang mendapat peluang kerja dan secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan.
"Saya berharap peluang untuk artis veteran lebih banyak diberikan termasuk mewujudkan program istimewa yang mengumpulkan ramai artis veteran.
"Jika boleh, kerajaan mengatur aktiviti untuk artis veteran. Di sebalik pelbagai aktiviti dianjurkan, saya mencadangkan program yang menjurus pada perpaduan kaum. Mungkin boleh menjemput artis berbilang bangsa tampil dalam satu program TV dan ini boleh merapatkan perpaduan antara kaum.
"Tidak salah jika artis veteran dijemput berkongsi pandangan atau menjadi juri untuk sesebuah pertandingan. Saya sendiri buat persembahan pentas bukan niat untuk mengejek orang lain, tetapi berusaha menampilkan bakat dalam diri. Saya suka lihat penonton ketawa apabila saya berlawak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: