|
 |
| DUA tahun lalu, model dan pengacara, Xandria Ooi, 26, tampil dalam program majalah Urban, Life!Session di ntv7. Kini bagi membuka lembaran dalam porfolio seninya, Xandria kini bukan saja mengacara malah menerbitkan program majalah terbaru ntv7, Xandria's Weekend Discovery. |
Di bawah produksi sendiri, XO Production Sdn Bhd, dia menghasilkan program pengembaraan yang memaparkan destinasi menarik di samping makanan yang terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia.
Program berkenaan yang turut mendapat kerjasama Esso Malaysia Berhad dan ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd disiarkan setiap Khamis jam 7.30 malam bermula 7 Mei ini.
Bercerita lanjut mengenai program itu, Xandria memaklumkan projek pertama di bawah produksinya itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama kru yang cukup kuat dan usaha gigih daripada ibu, Susan Ooi yang juga penerbit eksekutif dan orang penting dalam menguruskan karier seninya.
"Ini projek pertama saya yang dijual kepada ntv7. Memang seronok dapat menghasilkan program majalah berbentuk pengembaraan yang boleh dilakukan mana-mana individu tanpa had tertentu seperti faktor kewangan dan jarak perjalanan. Sebelum ini saya hanya terbabit sebagai pengacara dan wartawan penyiaran di ntv7.
"Begitupun untuk program ini saya bukan hanya pengacara malah menerbitkannya. Tujuan utama saya menghasilkan program seperti travelog ini bukan hanya minat saya kepada rancangan berbentuk pengembaraan sebaliknya mahu berkongsi beberapa destinasi, tradisi dan makanan menarik yang terdapat di Malaysia.
"Menerusi paparan ini saya harap penonton dapat melalui seterusnya melakukan aktiviti sama seperti saya. Memandangkan ada segelintir daripada masyarakat kita yang suka memilih destinasi luar sebagai tempat untuk beristirahat atau melancong," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu di Apartment KLCC baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu Pengarah Perniagaan Runcit Esso Malaysia Berhad, Faridah Ali dan Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul.
Pengalaman sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen ntv7 selain penulis di ruangan akhbar berbahasa Inggeris ternyata banyak membantu Xandria dalam melaksanakan program itu.
"Program ini bukan hanya memaparkan destinasi percutian malah mendedahkan beberapa destinasi yang jarang diketahui oleh individu tertentu. Aktiviti ini juga mampu dilakukan semua golongan berusia 25 tahun ke atas, remaja mahupun percutian keluarga. Setiap episod mengandungi tiga atau empat destinasi berbeza mengikut negeri.
"Selain mencuba buat pertama kalinya menunggang burung unta, saya juga berpeluang mencuba beberapa aktiviti sukan air dan lasak," katanya.
Program berkenaan bukan hanya membawa penonton mengetahui kemudahan penggunaan kad Smiles Driver Reward dan penggunaannya di stesen Esson dan Mobil untuk pengguna jalan raya. Bukan hanya membeli petrol untuk kenderaan, pengguna juga dapat menebus pembelian petrol dengan barangan keperluan seperti milo, kopi dan beberapa barang menarik yang disenaraikan.
Ia bermula dengan episod Melaka Bandaraya bersejarah diikuti, bahagian Pantai Timur semenanjung seperti Pahang, Terengganu, Kelantan diikuti Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor Bharu.
Jika tiada aral, Xandria dijangka menerbitkan program dengan konsep sama tetapi kali ini menjelajah di sekitar Borneo dan luar negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: