Monday, April 27, 2009

Tunggu surat rasmi...Ezlynn




Selepas enam tahun bersama KRU Studios, kini mahu tampil dengan identiti baru, lebih segar

SELEPAS kira-kira enam tahun bernaung di bawah label KRU Studios, Ezlynn akhirnya mengucapkan selamat tinggal pada syarikat rakaman yang banyak membantu mengangkat namanya sebaris penyanyi terkenal lain di negara ini.

Bermula dengan lagu Hi Hi Bye Bye dan berakhir dengan Jikalau Aku, lebih setahun yang lalu, KRU memperkenalkan Ezlynn sehingga dia mengukir nama sebagai penyanyi yang mempunyai identiti dan kemampuan tersendiri.

Pada Mei ini, secara rasmi Ezlynn bebas daripada syarikat milik tiga adik beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim itu. Ketika artikel ini ditulis, dia sedang menunggu surat hitam putih untuk mengesahkan perpisahannya dengan jenama KRU.

Pada masa sama, dia sibuk memikirkan pelbagai rancangan untuk memastikan kesinambungan kerjaya dalam dunia seni muzik berterusan. Antaranya, penyanyi ini berbelah bagi antara penghasilan album atas perbelanjaan sendiri atau menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman lain, yang sudah pun mengintai-intai peluang meminang dirinya.

"Jika diberi peluang menghasilkan album sendiri, iaitu menerusi syarikat saya Ezlynn Entertainment, sudah tentu pemilihan lagu dan konsep album dilakukan sendiri oleh saya.



“Saya mahu idea saya diberikan tempat sewajarnya. Begitu juga saya terfikir untuk menukar imej sempena episod baru dalam karier," kata wanita berusia 27 tahun ini.

Tidak mahu muncul dengan album penuh, Ezlynn lebih selesa seandainya single demi single diterbitkan terlebih dulu. Daripada himpunan single berkenaan, barulah sebuah album akan dikeluarkan apabila tiba waktu bersesuaian.

"Saya mungkin menerbitkannya dengan kemudahan muat turun atau sebagai lagu nada dering, sesuai dengan minat penggemar muzik ketika ini," katanya yang cuba mengelak daripada merakamkan lagu berbentuk rock tegar, sebaliknya menginginkan bentuk muzik bersifat ringan, indie serta catchy.

Katanya, jika seseorang penyanyi mahu memikat khalayak yang lebih ramai, muzik yang bersifat massa haruslah dihasilkan.


Terima lamaran kumpulan indie

MENYAMBUNG cerita, penyanyi yang turut bergelar pelakon dan pengacara ini berkata, baru-baru ini dia menerima lamaran daripada sebuah kumpulan indie, Sorganina, untuk berduet bersama mereka menerusi lagu yang dihasilkan sendiri anggota kumpulan terbabit.

Menurutnya, kumpulan berkenaan berasakan, suaranya mempunyai keserasian dengan konsep lagu yang mereka ilhamkan.

"Sebagai penyanyi, saya tidak keberatan bekerja dengan penyanyi atau kumpulan baru. Saya harus memberikan sokongan kepada mereka, sebagaimana penyanyi lebih senior membantu pembabitan saya dalam dunia seni satu ketika dulu.

"Apabila kita memberikan kerjasama kepada penyanyi baru, ia seumpama balasan kita terhadap apa yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Lagipun, tujuan kita semua hanya satu, untuk sama-sama meningkatkan industri muzik. Seandainya mereka berjaya, kita juga turut tumpang berbangga dengan pencapaian itu," katanya.

Menyentuh kelangsungan kariernya tatkala kegawatan ekonomi melanda, Ezlynn mendedahkan, dia tetap bernafas biarpun dalam suasana kurang memberangsangkan ketika ini, berikutan kepelbagaian bakat yang ditawarkan olehnya kepada pihak penganjur. Begitu juga dia mempunyai budi bicara apabila mereka mahukan kepastian soal harga.

Di samping menyanyi, Ezlynn tidak kekok untuk mengendalikan majlis. Justeru, dia selalunya menghulurkan khidmat berbentuk pakej - nyanyian dan pengacaraan sekali gus. Begitu juga Ezlynn mampu mengendalikan pelbagai permainan sewaktu persembahan, serta berkeupayaan menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, yang membolehkannya terus mendapat undangan daripada pelbagai syarikat korporat dan sebagainya.

Muncul dalam Suara Hati di Astro Prima malam ini

MINGGU lalu, penyanyi ini diperkenalkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara baru yang akan sama-sama memeriahkan program hiburan popular, Muzik Muzik.

Hakikatnya, rancangan berkenaan bukanlah asing bagi Ezlynn kerana dia pernah beberapa kali menggantikan Cheryl apabila pengacara itu tidak dapat menunaikan tanggung jawabnya, ketika dia masih mengendalikan Muzik Muzik secara berseorangan. Beberapa tahun lalu pula, Ezlynn muncul antara pengacara bersama program Anugerah Juara Lagu.

"Sudah tentu saya menerimanya kerana Muzik Muzik ialah antara program paling diminati di negara ini. Saya sendiri, sejak dari kecil lagi memang setia menonton rancangan Muzik Muzik. Tidak disangka, hari ini, saya menjadi sebahagian daripada keluarga program itu pula," katanya yang mengaku mempunyai keserasian bersama dua pengacara asalnya, Cheryl dan Faizal.

Begitupun, katanya, sudah tentulah mereka duduk berbincang sebelum sesuatu episod dirakam, bagi mengelakkan pertindihan pengucapan atau perebutan berbicara sewaktu mengendalikannya. Maklum saja, kata penyanyi ini, masing-masing adalah pengacara yang boleh digelar ‘bermulut bertih’.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Ezlynn berpesan, peminat boleh menonton lakonannya menerusi drama bersiri Suara Hati, yang menemui orang ramai setiap Isnin, jam 10 malam di saluran Astro Prima. Dalam siri berkenaan, dia berlakon di samping Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

"Ada juga beberapa tawaran berlakon filem yang tiba ke riba, tetapi jadual penggambaran pula tidak mengizinkan saya menerimanya. Mungkin jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa depan, kena pula dengan masanya, saya pasti menimbangkan undangan berkenaan," katanya.

EZLYNN

  • Nama: Azline Ariffin
  • Tarikh Lahir: 27 September 1981
  • Asal: Ulu Kinta, Perak
  • Profesion: Penyanyi, Pelakon, Pengacara
  • Album: Ehmm.... (2003), Pssst... (2004)
  • Filem: Diva Popular, Bilut, Zombie Kampung Pisang
  • Drama: Suara Hati
  • Program TV: Mentor, Muzik Muzik
  • Duta: Produk kecantikan Shurah.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: