PFM mahu peratus perkongsian kutipan kasar penayangan filem tempatan dengan pemilik panggung dikaji semula. |
Peratusan hasil kutipan kasar tayangan filem tempatan membebankan produser
PERSATUAN Pengeluar Filem Malaysia (PFM) meneruskan perjuangan untuk mendapatkan perkongsian hasil kutipan filem yang lebih baik daripada pemilik panggung.
Ini penting kerana kos penerbitan, pemasaran dan promosi filem semakin meningkat sedangkan peratus perkongsian masih ditakuk lama sehingga membebankan syarikat penerbitan filem tempatan.
Itulah ada agenda utama yang akan diperjuangkan oleh barisan kepimpinan baru PFM yang masih mengekalkan Ahmad Puad Onah sebagai Presidennya bagi Penggal 2009/20011 dalam Mesyuarat Agung persatuan itu, minggu lalu.
“Memang jumlah panggung sekarang bertambah, tetapi itu tidak bermakna kutipan filem tempatan juga meningkat. Sebaliknya kos yang ditanggung oleh produser tempatan sebenarnya semakin meningkat.
“Kadang-kadang pihak pemamer mahu kita menayangkan filem untuk 60 dewan tayangan bermakna produser perlu membuat 60 salinan filem. Kos satu salinan filem ialah RM4,000. Kalau 60 salinan bermakna RM240,000 bersamaan dengan dengan 10 hingga 15 peratus kos penerbitan filem.
“Ia sangat besar jumlahnya sedangkan peratus perkongsian daripada kutipan filem antara pihak pemamer (tauke panggung) dengan produser masih ditakuk lama,” katanya kepada Hip.
Mengikut perkongsian sekarang, produser filem tempatan memperolehi 50 peratus kutipan kasar pada tayangan minggu pertama; 45 peratus di minggu kedua; 40 peratus pula untuk tayangan minggu keempat dan sekiranya boleh ditayangkan pada minggu keempat, penerbit hanya dapat 35 peratus saja.
Ahmad Puad berkata, PFM akan mencadangkan supaya pada tayangan minggu pertama, perkongsian itu dapat ditingkatkan menjadi 60 peratus untuk kepada produser.
“Jumlah peratus perkongsian itu, kita anggap wajar. Pihak pemamer tidak menanggung sebarang kos. Produser kena tanggung kos segala-galanya seperti promosi dan pemasaran yang semakin meningkat,” jelasnya.
Menurutnya, dakwaan pemilik panggung bahawa produser sudah mendapat kutipan tinggi daripada rebat cukai hiburan juga dianggap sebagai tidak adil kerana ia tidak ada kena mengena dengan isu perkongsian dari segi kutipan filem di panggung.
“Sebenarnya duti hiburan itu dikutip oleh kerajaan yang kemudian dipulangkan kepada produser. Ertinya itu duit kerajaan. Secara purata jumlah kutipan kasar yang diterima oleh produser termasuk dengan rebat dari kerajaan baru 35 peratus saja daripada jumlah keseluruhan.
“Sebab itulah, kita menerusi PFM mahu mencari angka lebih sesuai. Kita bukan hendak mendapatkan peratus yang terlalu tinggi,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Puad berkata, PFM mahu kerajaan supaya dapat memberikan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun daripada jumlah cukai hiburan yang dikutip daripada penayangan filem import kepada industri perfileman tempatan.
“Sebahagian daripada cukai hiburan filem import itu boleh digunakan sebagai dana untuk membiayai kos promosi dan publisiti filem tempatan. Ini dapat membantu meringankan bebanan produser kita,” katanya.
Terus bekerjasama dengan Finas
DALAM pada itu, PFM juga mengalu-alukan penggabungan tiga kementerian di bawah satu bumbung menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana ia memudahkan lagi seluruh karyawan, termasuk pembikin filem mengemukakan masalah dan penyelesaian masing-masing.
“Kembalinya Datuk Seri Dr Rais Yatim menerajui kementerian ini memang cukup wajar kerana beliau amat memahami selok belok dan permasalahan dalam industri perfileman tanah air.
“Kita akan akan membuat perjumpaan dengan beliau. Kita mahu mencadangkan supaya diwujudkan satu pakej khas di RTM untuk mempromosikan filem tempatan. Malahan kita cadangkan RTM wujudkan slot filem Melayu secara mingguan.
“Ketika ini, filem Melayu hanya disiarkan pada musim perayaan saja sedangkan pengeluaran filem tempatan sudah banyak. Sesebuah filem tempatan yang sudah ditayangkan lebih tiga bulan bulan disiarkan menerusi slot ini. Sekurang-kurangnya ini memberikan pendapatan tambahan kepada penerbit filem kita,” katanya.
Ahmad Puad berkata, PFM juga dari semasa ke semasa akan terus meningkatkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebab banyak lagi agenda pembangunan industri perfileman yang boleh dibuat antara kedua-dua pihak.
“Kita juga melihat dengan lebih dekat bagaimana PFM dapat bekerjasama dengan Finas dan Filem Negara apabila kedua-dua agensi kerajaan itu kini sudah berada di bawah satu bumbung,” katanya.
Nafikan kemenangan di rancang
AHMAD Puad menafikan kemenangannya sebagai Presiden PFM bagi penggal 2009/2011 dalam mesyuarat Agung persatuan itu minggu lalu sebagai sudah diatur oleh pihak tertentu.
“Pada peringkat awal, jawatan itu (Presiden) tidak dipertandingkan. Memang ada cadangan supaya Datuk Tengku Anuar Musaddad bertanding untuk jawatan ini tetapi beliau menarik diri.
“Keputusan menarik diri dibuat kerana mengikut penstrukturan semula di Astro, beliau tidak lagi terbabit dengan hal ehwal perfileman. Selepas beliau menarik diri, bermakna tiada pertandingan untuk memilih jawatan itu.
“Tapi pada hari itu, tiba-tiba Mohd Noor Kadir dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden,” katanya.
Tengku Anuar adalah Penerbit Eksekutif di Astro Shaw, manakala Mohd Noor pula Penerbit dari Kuasatek Pictures Sdn Bhd.
INFO: Barisan AJK PFM Penggal 2009/2011
Penolong Setiausaha: Gayatri Su-Lin Pillai (Tayangan Unggul Sdn Bhd)
1. Abdul Latiff Mohaideen (Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd)
2. Ruhani Abdul Rahman (Nizarman Sdn Bhd)
3. Nancie Foo (Produksi Seni 2020 Sdn Bhd)
4. Hans Isac (Tall Order Productions Sdn Bhd).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: