Saturday, April 18, 2009

Tribute To Sudirman di Istana Budaya


(Dari Kiri) Yuma R, Mohamed Juhari Sha'arani, Rahhim Omar, Haziq, Andy dan Atilia yang hadir pada sidang media Tribute To Sudirman di Bora Ombak, Ampang, Selangor baru-baru ini.


Milik Siapakah Gadis Ini, Pelangi Petang, Balik Kampung, Salam Terakhir dan Merisik Khabar, pastinya mengingatkan kita kepada penghibur yang bernama Sudirman Haji Arshad.

Memegang gelaran sebagai Penghibur Nombor Satu Asia setelah memenangi Anugerah Muzik Popular Asia pada 1989, cukup membuktikan kehebatan anak jati Temerloh, Pahang ini.

Bukan itu sahaja, 'aset' (penghibur serba boleh dan berpendidikan) yang dimiliki oleh Sudirman banyak dijadikan inspirasi kepada para peminatnya serta mereka yang bergelar artis.

"Atas rasa tanggungjawab untuk mengenang jasa-jasa Allahyarham Sudirman, Bintang Emas Pictures Sdn. Bhd. (BEP) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Konsert Tribute To Sudirman pada 5 hingga 7 Jun ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

"Bagi kami, anak seni yang satu ini, tidak ada galang gantinya, sentiasa mekar di kotak fikiran kita apabila lagu-lagu dendangannya berkumandang,'' ujar penerbit konsert, Rahhim Omar.

Rahhim berkata, idea untuk mengadakan konsert tersebut tercetus ketika penganugerahan Datuk kepada pelakon popular Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan tahun lalu.

"Bukan hendak menafikan usaha tersebut, tetapi saya sedikit tersentuh apabila sehingga kini, tiada usaha untuk menghargai Allahyarham Sudirman seperti itu (pemberian anugerah).

"Hakikatnya kita mengetahui sumbangan besar yang telah diberikan olehnya,'' katanya kepada pihak media.

Bercerita mengenai konsert tersebut, menariknya ia bakal menampilkan beberapa artis tempatan terkenal tanah air dan mengambil masa lebih kurang dua jam persembahan yang melibatkan semua lagu-lagu hits Sudirman.

"Atilia, Andy Floop Poppy dan Haziq adalah antara mereka yang akan membuat persembahan.

"Beberapa artis lagi akan diumumkan tidak lama lagi apabila semua proses dan persetujuan dicapai," kata Rahhim pada sidang media konsert tersebut yang dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, Pengarah BEP, Yuma R di Bora Ombak, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Bercerita mengenai persembahan pada malam itu, Rahhim menjelaskan bakal menampilkan persembahan nyanyian dengan diselitkan beberapa sketsa yang berkaitan dengan peribadi dan perjalanan hidup penghibur negara itu.

"Ini selaras dengan konsep konsert tersebut Stories In His Songs dimana kebanyakan lagu-lagu dendangan Allahyarham berkisar tentang pengalamannya sendiri dan masyarakat sekeliling, selain unsur-unsur nasihat.

"Lebih istimewa apabila skrip konsert tersebut disediakan oleh orang yang rapat dengan Allahyarham semasa hayatnya iaitu Habsah Hassan,'' ujarnya.

Enggan mengumumkan jumlah kos konsert tersebut, Rahhim menjelaskan sehingga kini, pihaknya masih lagi mencari beberapa penaja yang sudi bekerjasama dengan BEP bagi menjayakan konsert tersebut.

Baginya, apa yang penting bukan duit atau keringat yang pihaknya keluarkan untuk menganjurkan konsert tersebut, tetapi lebih berbentuk penghargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: