|
|
SETELAH sekian lama, industri perfileman negara ketandusan filem-filem yang mampu diangkat sebagai sebuah filem Malaysia, Kehadiran filem Talentime arahan pengarah tersohor, Yasmin Ahmad dilihat hadir pada tepat masanya.
Memulakan tayangannya sejak 26 Mac lalu, filem Talentime mendapat perhatian yang cukup meluas dan apa yang membanggakan, filem ini berjaya mengumpulkan pelakon pelapis yang mewarnai industri perfileman tanah air.
Mungkin Yasmin boleh dianggap sebagai 'gila' kerana begitu berani mempertaruhkan muka baru untuk menerajui filemnya kali ini. tetapi mengenali Yasmin, dia sentiasa berfikiran positif serta optimis dengan segala tindakannya.
Lihatlah sahaja bagaimana dia berjaya menjadikan dan membentuk Sharifah Amani sehingga menjadi seorang aktres yang cukup disegani di negara ini.
Lantaran itu, Amani terus dilabelkan sebagai anak emas Yasmin ekoran namanya tidak pernah terpinggir daripada membintangi filem-filem Yasmin.
Begitu juga dengan Mohd. Syafie Naswip yang dipertaruhkan Yasmin untuk menjadi hero filem Mukhsin sehingga mampu meletakkan remaja itu sebagai pelakon muda yang tidak harus dipandang enteng.
Sekali lagi, Syafie menjadi taruhan Yasmin dalam filem Talentime dengan membawakan watak Hafiz. Pengarah kelahiran Muar, Johor itu tidak pernah henti memuji kredibiliti Syafie yang begitu disanjunginya.
Bukan sekadar itu, kali ini, dua lagi pelakon baru juga diperkenalkan Yasmin dalam filem terbarunya itu dan mereka dilihat cukup berpotensi untuk melengkapkan lagi senarai pelakon pelapis negara yang mampu dibanggakan.
Mahesh Jugal Kishor dan Howard Hon Kahoe telah memberikan lakonan yang cukup berkesan dalam Talentime dan hubungan antara mereka bertiga tidak berhenti setakat di lokasi sahaja.
Sebaliknya, persahabatan mereka terjalin hingga kini dan meskipun masih muda, mereka menyedari kaum, agama dan latar belakang bukanlah satu halangan untuk mengukuhkan ikatan persahabatan mereka.
Alasannya cukup mudah. Mereka dilahirkan di bumi bertuah Malaysia yang sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
Sudah menjadi tanggungjawab mereka kerana mereka merupakan pewaris negara yang dipertanggungjawabkan untuk terus memelihara perpaduan dan integriti kaum agar terjalin dengan baik di negara ini.
Monumen negara yang terletak di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi saksi ukhuwah yang terjalin antara mereka yang begitu menyerlahkan persahabatan sejati mereka sehingga kelihatan pula seperti adik-beradik.
Usai fotografi, masing-masing diajak untuk membicarakan tentang Talentime yang disifatkan sebagai sebuah karya yang cukup membanggakan mereka sebagai anak Malaysia.
Cabaran baru Syafie
Bermula dengan filem Mukhsin, Syafie membina namanya perlahan-lahan sehingga dia mampu menjadi salah seorang pelakon yang disegani di negara ini.
Ditambah pula trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 dan Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin Ke-9, tiada siapa yang mampu menidakkan bakat luar biasa anak muda ini.
Syafie sememangnya menjadi kebanggaan Yasmin yang tidak pernah henti memuji kehebatannya dalam membawakan apa sahaja watak yang diberikan kepadanya.
Begitu juga dengan kecemerlangan Syafie yang membawakan watak Hafiz dalam filem Talentime yang begitu bersahaja. namun dalam masa yang sama, emosinya mampu mengerakkan penonton untuk berasa simpati dengan musibah yang melanda dirinya.
"Talentime sebuah filem yang cukup berat buat saya. Apatah lagi, saya perlu bercakap dalam bahasa Inggeris, bermain gitar buat pertama kalinya serta mempelajari bahasa isyarat, menjadikan saya begitu gementar untuk beraksi di depan kamera selain daripada skripnya juga.
"Saya mencuba sedaya upaya untuk memuaskan hati Cik Min (panggilan untuk Yasmin) menerusi lakonan saya dan ternyata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan lakonan saya.
"Tetapi, itu bukanlah satu isyarat untuk saya terus berasa puas hati kerana jujurnya, istilah itu belum ada dalam kamus hidup saya. Malah, untuk memenangi anugerah juga bukan agenda utama saya kerana apa yang lebih penting saya mahu menonjolkan bakat saya," katanya penuh jujur.
Berbicara tentang dua sahabatnya pula, Syafie yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mengakui, masing-masing berkenalan sebaik sahaja dipertemukan kali pertama di lokasi.
"Mahesh dan Kahoe tidak pernah menyisihkan saya walaupun pada mulanya memang saya malu untuk mendekati mereka kerana sifat pemalu saya. Mereka banyak membantu dalam pertuturan saya untuk dialog berbahasa Inggeris. Kiranya, masing-masing membantu antara satu sama lain setiap masa," ujarnya yang digelar Hafiz oleh dua rakannya itu.
Anak muda yang dilahirkan pada 2 Ogos 1992 ini juga memberitahu, Talentime merupakan karya Yasmin yang cukup berbeza dengan apa yang telah dipersembahkan sebelum ini.
Katanya lagi, realisme yang lahir daripada naskhah Talentime menjadikan filem ini begitu dekat di jiwa penonton sementelah ia memaparkan kehidupan realistik masyarakat Malaysia.
"Jika diperhatikan dalam filem mahupun drama, selalunya kehidupan masyarakat Melayu sahaja yang sering ditonjolkan. Menerusi Talentime, semuanya sama rata.
"Kita dapat melihat kisah yang berlaku dalam kehidupan kaum lain yang mungkin selama ini kita tidak tahu. Itu uniknya Talentime dan ia wajar ditonton oleh semua," jelasnya yang mahu mengurangkan aktiviti seninya tahun ini kerana mahu memberi fokus kepada SPM.
Syafie turut memberitahu dia tidak kisah seandainya Talentime tidak mampu membuat kutipan box-office kerana apa yang penting baginya adalah untuk memuaskan hati pengarah.
Mengenai pandangan yang mengatakan dirinya adalah anak emas Yasmin, sambil melemparkan senyuman yang menampakkan barisan giginya yang jarang itu, Syafie pantas menggelengkan kepalanya.
"Saya bukan anak emas Cik Min. Semua pelakon yang berlakon di bawah arahannya adalah anak emasnya kerana dia bersikap adil kepada semua yang bekerja dengannya," jawabnya tulus.
Mahesh yang bertuah
Diperkenalkan oleh pengurus artis terkenal, Vernon Kedit-Jolly kepada Yasmin, anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak pernah menyangka akan terlibat dalam filem Yasmin.
Apatah lagi, dia dan keluarganya merupakan salah seorang peminat dan pengikut filem-filem Yasmin yang disifatkannya nafas baru dalam sinema tempatan.
Bukan mahu bersikap bias katanya, tetapi, Talentime bagi pemuda berusia 19 tahun ini memberi dimensi baru kepada penceritaan filem yang memaparkan wajah sebenar filem Malaysia itu sendiri.
"Apa yang ingin ditonjolkan Yasmin dalam filem ini adalah warna kulit, bangsa mahupun agama bukanlah penghalang untuk membina sebuah perhubungan cinta mahupun ikatan persahabatan. Ia adalah tentang diri kita untuk mengikut apa kata hati.
"Dengan itu, Talentime dilihat sebagai sebuah karya yang berjaya menterjemahkan maksud perpaduan dan integriti kaum yang menjadi bahan perdebatan ketika ini.
"Adalah satu kerugian jika rakyat Malaysia tidak mengambil peluang untuk menonton filem ini. Bukan kerana saya pelakonnya, tetapi ia sebuah karya yang bagus," katanya yang kini menuntut di Asia Pacific Institute of Information Technology dalam Diploma Teknologi Maklumat.
Meskipun Yasmin berpuas hati dengan lakonannya, bagi anak bongsu daripada dua beradik ini memberitahu, jika mampu diundurkan waktu, dia mahu memberikan lakonan yang lebih baik lagi.
Membawakan watak seorang remaja bisu, bukanlah mudah baginya kerana masa yang diperuntukkan begitu singkat iaitu hanya 10 hari sahaja untuk dia membawakan watak Mahesh.
Namun, berlakon di samping Jaclyn Victor dan Sukania Venugopal yang menjadi kakak dan ibunya dalam filem berkenaan, memberikannya seribu rahmat yang tidak terhingga.
"Jac seorang yang cukup profesional kerana sebaik sahaja pengarah menyebut 'action', dia boleh mentransformasikan dirinya daripada seorang yang berperwatakan gila-gila dan terus menyelami karakter Bhavani.
"Bagi Sukania pula, saya bertuah kerana dapat berlakon di sampingnya kerana dia memberikan satu kuasa yang cukup luar biasa. Malah, pernah juga saya dimarahinya," ceritanya sambil ketawa.
Mahesh juga dengan bangganya memberitahu dia telah membeli tiket dan menonton Talentime sebanyak tiga kali bersama keluarga dan rakan-rakannya sejak Talentime ditayangkan pada 26 Mac lalu.
.
Kahoe tidak mahu disalah tafsir
.
Beraksi buat pertama kali di layar lebar, Kahoe yang memulakan kariernya sebagai pelakon iklan, ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila dilamar oleh Yasmin untuk membintangi Talentime.
Hanya dengan menonton iklan Silky Girl yang dilakonkannya sekitar dua tahun lalu, Yasmin sudah melihat karisma yang ada di dalam dirinya itu. Lantas tanpa ragu, pengarah itu menawarkannya membawakan watak juga bernama Kahoe kepada anak muda ini.
Apatah lagi, Kahoe juga merupakan antara peminat hasil seni Yasmin dan mengakui mempunyai koleksi DVD filem-filem Yasmin dari Sepet hingga Mukhsin.
Bagi mereka yang sudah menonton filem ini, watak Kahoe yang dilakonkan oleh anak muda ini sememangnya cukup berkesan meskipun peranannya tidak sebesar Mahesh dan Syafie.
Apatah lagi apabila melibatkan babak konfrontasinya bersama Hafiz memandangkan dia mempunyai perasaan benci dan bersikap rasisme kepada orang Melayu
Tidak mahu penonton dan peminat melihat dirinya sebegitu dalam dunia realiti, Kahoe memberitahu apa yang dibawanya adalah sebagai menuntut kehendak skrip dan pengarah.
Namun, dia tidak menafikan watak Kahoe yang dibawakannya dalam filem berkenaan sememangnya wujud di kalangan sesetengah bangsa Cina di negara ini.
"Realitinya, saya adalah seorang yang suka berkawan tanpa ada perasaan prejudis mahupun memilih latar belakang seseorang itu.
"Ini adalah Malaysia dan saya bertuah dilahirkan di sini kerana mempunyai pelbagai kaum yang memberi peluang untuk kita menyelongkari adat resam dan budaya mereka," jelas Kahoe yang dilahirkan pada 24 Mac 1992 itu.
"Begitu juga dengan terjemahan Talentime yang mahukan kita hidup dalam aman damai dan harmoni bersama semua kaum yang ada di negara ini.
"Saya mahu Talentime memberi impak yang besar kepada penonton tempatan kerana mesej di dalam filem ini ," jelas Kahoe yang mempunyai darah campuran Cina dan Korea ini.
Berbicara tentang persahabatannya bersama dua sahabatnya itu, dia bertuah kerana dipertemukan dengan Syafie dan Mahesh.
"Persahabatan yang terjalin antara kami menjadikan kami bertambah akrab meskipun selepas tamat penggambaran. Saya dan Mahesh selalu keluar bersama tetapi dengan Syafie agak jarang kerana dia tinggal jauh dari kota.
"Namun, itu bukan penghalang untuk saya dan Mahesh untuk berhubung dengan dia," jelasnya yang juga akan menduduki SPM tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: