|
|
LIMA tahun menyelami hati budi masing-masing, akal dan hati bersatu rasa, lalu termaktub dalam kotak fikiran bahawa jejaka bernama Abdul Mutalib Abdul Shukor itulah yang bakal menjadi peneman hidup si jelita, Yatt.
Bertahun mencipta keserasian di antara mereka, tahun lalu mereka memilih untuk diikat dengan ikatan pertunangan dan akhirnya tanggal 29 Mac lalu menjadi tarikh keramat apabila sah bergelar suami isteri.
Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 29, diijabkabulkan dengan pasangannya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29, di kediamannya di Seremban, dengan mas kahwin RM280.80.
Menyingkap episod persandingan pasangan ini yang diraikan di Dewan Seri Endon Puspanitapuri, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya Sabtu lalu, langkah diatur penuh yakin sambil melantun senyuman manis ke arah tetamu yang hadir memenuhi ruang.
Berseri mengenakan pakaian tajaan Butik Lynda Rahim, sedondon dengan padanan warna putih, bersemayam cantik kedua mempelai di atas singgahsana yang dilatari warna putih dan ungu.
Ketika ditemui pada majlis resepsi tersebut, dengan kegembiraan yang jelas terpancar di wajah, pelakon dan pengacara itu memberitahu bahawa dia mahu membina hidup berkeluarga penuh ceria bersama pasangannya itu.
"Perkahwinan merupakan perkongsian hidup antara kami, kalau boleh selepas ini apa-apa sahaja masalah yang wujud akan cuba kami selesaikan sebaik mungkin," kata pelakon filem Impak Maksima itu.
Diajak berbicara mengenai transformasi dirinya yang kini berstatus isteri, jelas anak sulung daripada sembilan beradik itu, dia begitu seronok menjalani hidup sebagai seorang isteri.
"Memang seronok bergelar isteri sebab saya rasa begitu enjoy dengan kehidupan saya sekarang. Walaupun baru masuk seminggu usia perkahwinan, kami gunakan sepenuh waktu yang ada bersama.
"Maklumlah, dalam tempoh seminggu masa kami agak terhad sebab perlu selesaikan segala persiapan untuk majlis persandingan yang diadakan serentak hari ini (4 April lalu).
"Bagaimanapun, kami anggap ini sebagai ujian dan cabaran buat kami dalam menempuh alam rumah tangga," kata Yatt yang sempat memasak untuk suaminya pada hari pertama dan kedua selepas diijabkabulkan.
Sekilas mengenai detik-detik pertemuan antara Yatt dan pasangannya itu, bibit-bibit percintaan mula berputik apabila Yatt yang gemar bersukan mengunjungi Sports Planet Ampang, untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya.
Biarpun pada awalnya pernah menolak cinta Talib, namun hari demi hari, keikhlasan yang dipamerkan oleh Talib merapuhkan benteng hati yang dibina Yatt yang sebelum itu seakan serik untuk bercinta kerana kecundang di alam percintaan.
Enam bulan mencari keserasian, akhirnya mereka nekad dan berikrar janji sebagai pasangan kekasih.
Bercerita tentang Talib, menurut Yatt, suaminya itu merupakan insan yang begitu memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon biarpun di awal perkenalan, perjalanan kerjayanya baru berputik.
"Bukan itu sahaja, saya menjadi lebih kagum dengannya apabila kesemua adik-beradik saya lebih hormat kepadanya berbanding saya.
"Selain pandai mengambil hati saya dan juga ahli keluarga, dia juga merupakan seorang yang romantik dan kelakar biarpun pada zahirnya dia nampak serius," kata Yatt lagi.
Sementara itu, Talib ketika ditanya tentang aktiviti seni isterinya itu memberitahu bahawa dia tidak akan menghalang minat isterinya itu selagi tahu menjaga batas agama dan maruah sebagai wanita Melayu.
Ingin berbulan madu di pulau
Seperti kebanyakan pasangan pengantin, Yatt dan Talib turut memasang angan-angan ke destinasi impian untuk berbulan madu.
Bagaimanapun, menurut Yatt, di kala ini dia dan suaminya masih belum membuat sebarang perancangan untuk berbulan madu memandangkan kesibukan masing-masing menguruskan majlis persandingan.
"Cuma kalau boleh saya teringin sangat nak ke pulau untuk berbulan madu. Saya suka pulau sebab tempatnya cantik, nampak hijau dan dipenuhi dengan pelbagai hidupan laut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: