Wednesday, April 8, 2009

Tidak terdapat ‘Unit Kad Kredit Palsu’ di Bank Negara - Waspada panggilan, SMS palsu

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada jika menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta maklumat perbankan peribadi mereka.

Pemanggil dan SMS yang dihantar mendakwa mereka dari bank pusat itu atau bank-bank komersial lain.

Bank pusat dalam satu kenyataan semalam menyebut, tidak ada jabatan yang dikenali sebagai 'Unit Kad Kredit Palsu' di Bank Negara atau nombor telefon 8659-XXXX.

"Berdasarkan aduan yang diterima baru-baru ini, bilangan kes mereka yang tidak bertanggungjawab yang membuat panggilan dan menghantar SMS kepada orang ramai bagi memperolehi maklumat perbankan peribadi mereka dengan tujuan mengeluarkan wang daripada akaun semakin meningkat,'' kata kenyataan itu.

Hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa menerima SMS atau panggilan telefon yang meminta mereka mengesahkan transaksi kad kredit bagi pembelian barangan atau perkhidmatan yang dicaj kepada kad kredit individu.

Apabila mangsa menghubungi nombor telefon yang dicatatkan pada SMS, penipu mengenalkan diri mereka sebagai ejen sebuah bank komersial dan sekali lagi meminta mengesahkan sama ada transaksi kad kredit dilakukan.

Apabila mangsa memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai kad kredit atau melakukan transaksi, penipu berpura-pura prihatin dan menasihatkan mereka supaya membuat laporan kepada 'Unit Kad Kredit Palsu' BNM atau jabatan pengurusan kad kredit bank komersial.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: