MUNGKIN agak pelik apabila melihatkan gandingan tiga pelakon hebat ini iaitu Sean Penn, Jim Carrey dan Benicio del Toro membawakan watak ikonik trio terkenal, Moe, Larry dan Curly yang popular menerusi siri The Three Stooges.
Apatah lagi melihatkan nama Sean dan Benicio yang dikatakan bakal membawakan watak Larry dan Moe dalam versi filem itu nanti kerana kedua-dua pelakon berkarakter ini sememangnya cukup dikenali sebagai pelakon serius.
Malah, kedua-dua aktor Gred A ini juga merupakan pemenang Oscar.
Sean pernah memenangi Oscar bagi Pelakon Lelaki Terbaik dua kali iaitu pada tahun 2004 dalam filem Mystic River dan terbaru menerusi filem Milk, Februari lalu.
Benicio pula memenangi Oscar pertamanya pada tahun 2001 menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi filem Traffic.
Jim pula usah dipertikaikan kerana dia sememangnya cukup sinonim dengan filem komedi yang merupakan makanan rujinya.
Kehebatan Jim sebagai pelakon juga pernah diiktiraf apabila memenangi anugerah Golden Globe bagi kategori Pelakon Lelaki Filem Terbaik dua tahun berturut-turut menerusi filem The Truman Show (1999) dan Man On The Moon (2000).
Tetapi, itulah hakikatnya apabila pengarah filem The Three Stooges, Bobby dan Peter Farrelly mengesahkan ketiga-tiga pelakon berkenaan sudah pun bersetuju untuk membintangi filem itu nanti.
Sesuatu yang cukup menarik sebenarnya untuk melihat gandingan ketika-tiga aktor ini dalam membawakan watak-watak popular itu.
Namun begitu, filem ini kelak bukanlah sebuah filem autobiografi tentang kehidupan ketiga-tiga pelawak itu tetapi ia adalah sebuah filem komedi yang mempamerkan lawak-lawak yang sering ditonjolkan oleh Moe, Curly dan Larry.
Bukan itu sahaja, Jim juga dikatakan sudah bersedia untuk menambahkan berat badannya semata-mata untuk menghidupkan watak Curly.
Apa pun, filem ini pastinya akan menjadi sebuah filem yang ditunggu-tunggu dan penggambarannya dijangkakan akan bermula pada musim luruh ini untuk tayangan tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: