Saturday, April 11, 2009

Ghost kisah hantu urban


Barisan pelakon drama bersiri misteri Ghost musim kedua yang turut hadir pada majlis pratonton di Red Box, Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KEBELAKANGAN ini kita sering dilambakkan dengan drama yang berunsurkan kuasa ghaib dan seram. Hampir setiap saluran televisyen tempatan, mesti ada slot drama seram.

Dan kebiasaan juga, apabila menyebut kisah seram yang berkaitan kehidupan orang Melayu, hantunya tipikal, kebanyakannya kisah dari cerita hantu turun-temurun yang hanya diimprovasikan sedikit jalan ceritanya.

Namun, ada kelainan yang ditonjolkan oleh Popiah Pictures yang menerbitkan Ghost musim kedua yang bakal disiarkan di 8TV setiap Ahad pukul 10.30 malam mulai 19 April.

Berlatarbelakangkan bandar raya Kuala Lumpur, hantu di dalam drama bersiri Ghost ini boleh dikatakan jenis yang urban dari segi kehidupan dan pakaian.

Hantu dalam drama ini tidak seperti hantu cerita Melayu biasa yang yang kebanyakannya akan berwajah pucat seperti mayat atau mempunyai muka mengerikan serta hilaian yang membosankan.

Hantu dalam Ghost kelihatan seperti manusia biasa kerana mereka wujud akibat roh terperangkap dan hanya orang tertentu sahaja yang boleh melihat dan berkomunikasi dengan mereka.

Dengan ramuan yang segar, plot menarik dan penuh dengan adegan mendebarkan, tidak hairanlah Ghost musim pertama yang ditayangkan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim berkata, bahang musim pertama masih terasa kerana masih ramai yang menontonnya di Internet.

“Drama bersiri popular Ghost musim kedua kini kembali dengan plot yang lebih menarik dan mendebarkan.

“Musim kedua ini lengkap dengan elemen suspen di bantu watak-watak baru untuk memberikan jalan cerita yang lebih menarik.

“Saya pasti ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan musim kedua ini,” ujarnya pada satu sidang media memperkenalkan drama bersiri Ghost musim kedua di Red Box, Pavilion, Kuala Lumpur ini baru-baru ini.

Seperti musim yang lalu, watak utamanya, Eza, yang diterajui oleh Cheryl Samad, cuba menyelesaikan kes pembunuhan yang terbaru dan terpaksa berdepan dengan hantu baru, Harum, yang dilakonkan oleh pendatang baru, Isma Hanum.

Musim kedua yang dijanjikan lebih 'gelap', suspen dan jalan cerita yang lebih menarik ini turut dibintangi oleh Fairil Emran, Anding Indrawani, Melissa Campbell, Zahiril Adzim dan Colin Kirton.

Hantu kasanova

Menurut pengarah drama bersiri ini, Ng Ping Ho, watak hantu kasanova, Zack Imran yang dilakonkan oleh Nazrudin Rahman turut 'dihidupkan' kembali kerana ada kaitan dengan musim kedua.

“Watak Zack sangat penting kerana dia mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kali ini kerana ia melibatkan kisah silam mereka.

“Selain itu, watak Zack Imran ini kuat dan disukai oleh penonton. Oleh itu kami perlu 'menghidupkan' dia kembali pada musim kedua yang lebih misteri dan menarik,” ujarnya.

Musim kedua ini bermula dengan kehidupan seharian Eza selepas dua tahun kes pembunuhan rakannya, Zack Imran.

Kerjaya Eza sebagai wartawan semakin berkembang dan dia juga bertunang dengan editornya, Fariz.

Eza kemudian terlibat dengan kes misteri kehilangan Alicia Soo, anak seorang peguam terkenal, Edmund Soo, apabila penculik itu sering menghantar gambar dan petunjuk kes itu kepadanya.

Seorang demi seorang mati dibunuh dan berpandukan petunjuk yang diperolehinya, Eza akhirnya bertemu dengan roh Harum yang sudah meninggal dunia dan hanya Eza dapat melihatnya.

Bersama-sama dengan Alam, yang mempunyai kuasa psikik, mereka menyiasat kes ini. Mereka mendapati semua gambar mangsa pembunuhan ini mempunyai satu persamaan iaitu mempunyai ukiran hati di pergelangan tangan masing-masing.

Eza berusaha untuk menyelesaikan kes yang rumit ini dan mendapati semua kes itu berkait antara satu sama lain termasuklah Zack Imran.

Menurut Cheryl, dia begitu teruja dengan skrip musim kedua ini kerana jalan ceritanya yang lebih misteri dan menarik.

“Jika penonton berasa jalan cerita Ghost musim pertama sudah cukup misteri dan konflik, musim kali ini tidak mengecewakan langsung malah lebih misteri dan teliti jalan ceritanya.

“Sehingga kini saya sebagai pelakon utama pun tidak tahu siapakah pembunuhnya kerana kami belum habis penggambaran dan pengarah memberi kami skrip sedikit demi sedikit untuk mengekalkan mood suspen.

“Sama seperti kami, penonton akan tertanya-tanya apakah akan berlaku apabila setiap episod itu habis,” ujar gadis berkulit hitam manis ini.

Tambah Cheryl, watak Eza kali ini lebih matang kerana Eza menjalani hidup sendirian selepas kematian Zack Imran yang dicintainya.

Sama seperti watak Eza, watak Zack Imran juga semakin matang dimana jauh berbeza dengan musim pertama.

“Zack kini lebih merendah diri, praktikal dan lebih telus kerana dia sudah dapat membiasakan diri sebagai roh selama dua tahun,” ujar Nazrudin yang memegang watak Zack.

Bagi Isma yang melakonkan watak hantu bagi musim kedua ini, dia begitu gembira kerana diberi kepercayaan membawa watak yang unik ini.

“Harum adalah gadis yang bermasalah di hayatnya kerana diabaikan keluarga dan bercampur-gaul dengan orang jahat.

“Watak Harum paling tidak ada masalah dengan konti kerana Harum hanya perlu memakai satu baju sahaja sepanjang pengambaran.

“Tetapi jangan risau, saya ada banyak helai baju seperti ini. Tidaklah berbau nanti,” ujar gadis manis persis wajah Amy Mastura sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: