Cari keserasian dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana pada 22 April bersama 20 selebriti popular
DALAM keadaan pasaran muzik yang tenat dek kelembapan ekonomi yang melanda seluruh negara hingga ada syarikat rakaman yang terpaksa 'bungkus' daripada terus beroperasi dan menjana pendapatan sektor itu, penyanyi berstatus janda, Azharina Azhar tegar untuk meneruskan hasrat mengeluarkan album mini yang diterbitkan syarikat miliknya.
Mengendalikan Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment, dia yang mesra dengan sapaan Nina kini dalam perkiraan untuk melancarkan single sulungnya berjudul Rawan di negara seberang. Bukan omong kosong kerana single itu bakal diedarkan menerusi sebuah syarikat bernama Lima Dua Belas.
Syarikat yang menguruskan beberapa nama besar seperti Rossa itu menjadi pilihan Nina selepas beberapa perbincangan sejak awal Mac lalu. Pertemuan serampang dua mata itu juga memberikan ruang baru kepada Nina apabila penyanyi Rio Febrian menyatakan keinginan untuk berduet.
Sebagai permulaan, Nina dan Rio akan berduet buat julung kalinya menerusi persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Istana yang menampilkan 20 selebriti lelaki popular pada 22 April ini.
“Nina sendiri tak menyangka yang Rio menyatakan hasrat untuk berduet ketika pertemuan kami di sana. Semuanya masih dalam perancangan dan Nina anggap itu semua bagaikan rezeki terpijak. Nina sedar keadaan pasaran memang mungkin membantutkan hasrat penyanyi untuk membikin album penuh. Pendekatan melahirkan album mini atau menerbitkan single antara pendekatan selamat yang diguna pakai kini.
Azharina dan Rio Febrian |
“Tapi Nina sedar setiap usaha yang dilakukan berbalik kepada tuah dan rezeki. Lagipun selepas empat tahun tidak muncul dengan album, Nina berasakan 2009 sebagai permulaan yang baik untuk kembali melancarkan kerjaya nyanyian.
“Untuk projek istimewa di Indonesia itu, judul lagu dan perkataan Rawan akan ditukar kepada perkataan lain. Ini kerana tafsiran rawan di sana membawa maksud yang lain iaitu sebuah daerah yang tidak selamat dan merbahaya. Di Indonesia pun penjualan single lebih cenderung kerana penjualan album penuh tidak mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di Hotel Istana minggu lalu.
Nina lepas geram terhadap lelaki
SELEPAS meledak dengan lagu Rawan ciptaan komposer Hazami, Nina kini mempertaruhkan Rasa ciptaannya sendiri dibantu sepupunya, Keyneed. Selain itu, antara lagu yang bakal diisi di dalam albumnya seperti Hey Lelaki, Primadona, Sakarat dan lagu lama yang diberi nama baru dipetik daripada filem Do Re Mi berjudul Gitar Berbunyi. Istimewa juga sebagai hadiah kepada peminatnya, Nina menyelitkan enam lagu yang sama dalam versi karaoke.
Klip video dihasilkan sendiri menerusi syarikatnya dan ada beberapa lagu yang diilhamkan daripada pengalamannya sendiri, rakan dan pengamatannya dalam menjalani kehidupan. Katanya, ada lagu yang begitu dekat dengan dirinya dan boleh dikaitkan dengan orang lain.
“Lagu itu adalah karya yang dihasilkan berdasarkan apa yang dirasa. Ia sekadar lagu yang mungkin kebetulan dirasai orang lain, yang mungkin mengalami perkara yang sama. Lagu Hey Lelaki contohnya saya bawakan dalam versi hip hop dan berkemungkinan akan menampilkan kolaborasi dengan Mimi daripada One Nation Emcees. Lagu itu lebih kepada arah sinikal terhadap golongan lelaki dan lepas geram. Lagu Primadona pula Nina tujukan kepada semua insan yang bergelar lelaki yang pernah mendekati diri ini,” katanya.
Ungkapnya lagi, album mini itu didedikasikan kepada bekas suaminya seorang usahawan, Datuk Shukri Mohamed. Biarpun sudah berpisah sejak Februari tahun lalu, hubungan mereka masih erat seperti tiada apa yang terjadi. Malah, Nina memberitahu tahun lalu dia, bekas suami dan pekerjanya ada makan malam pada 26 Jun tahun lalu.
Mengakui kecewa dengan perpisahan yang berlaku, Nina sendiri tidak menyangka persahabatan yang terjalin selama sembilan tahun dan tiga tahun untuk ikatan perkahwinan berakhir tanpa diduga. Enggan terus dihimpit kenangan lalu, Nina menjelaskan belum bersedia mencari pengganti, malahan cukup bahagia melewati kehidupan bersendiri.
“Dia (Datuk) sendiri bertanya kenapa Nina tidak membikin album. Atas alasan itu, ia membakar semangat Nina untuk muncul setidak-tidaknya dengan album mini. Single Rawan pun sebenarnya membabitkan campur tangannya kerana ia adalah luahan hatinya kepada Nina mengenai apa yang sudah terjadi kepada kami. Apa juga takdir yang sudah tertulis, Nina tetap menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kongsi.
“Dugaan hidup menjanda cukup berat dan hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan Nina berdepan dengan cacian, tohmahan dan kritikan orang luar. Bagaimanapun, ia tidak terus menjadi kudis, Nina harus memandang ke depan dan tetap bahagia biar apa juga orang kata. Nina pun tak selalu mengkelaskan diri sebagai janda dan menganggap diri masih solo.
“Kehidupan Nina kini cukup baik, apa lagi yang Nina boleh harapkan selain mendapat rahmat-Nya. Rezeki Nina juga semakin murah dan perniagaan yang dijalankan turut berkembang maju. Mungkin ada rahmat di sebalik apa yang Nina hadapi, ia ibarat azimat yang terus menguatkan Nina menghadapi masa mendatang. Kalau kenang perkara lalu pun tiada guna, buat sakit hati saja,” kata Nina yang belum terbuka pintu hatinya untuk mencari pengganti.
Petikan menarik:
Info Minggu Setiausaha Hotel Istana membabitkan 20 Selebriti Lelaki Popular
Tarikh: 22 April ini
Di mana: Ballroom Grand Mahkota
Masa: 11 pagi hingga 4 petang
Harga sekepala: RM350 dan RM290
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: