SYAMSUL paparkan pelbagai isu remaja dalam filem terbaru yang akan ditayangkan mulai 23 April. |
Filem kedua anak Datuk Yusof Haslam diadun mengikut cita rasa remaja zaman sekarang
WALAUPUN isu yang dipaparkan dalam filem ke-24 terbitan Skop Productions Sdn Bhd berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah isu lapuk namun ia masih relevan untuk dibahaskan memandangkan masalah sosial itu masih menjadi duri dalam daging.
Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah buah tangan kedua Syamsul Yusof selepas Evolusi KL Drift yang berjaya mengutip RM4.5 juta. Filem genre drama/aksi ini sarat dengan aksi yang sentiasa membuatkan penonton ingin mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.
Melalui pemikiran Syamsul sendiri sebagai pengarah, pelbagai isu semasa yang dibangkit dalam filem ini hanya berlaku kepada remaja di bawah lingkungan 20 tahun ke bawah.
Dalam usia sebegini, ratanya remaja yang sedang dalam delima mencari identiti diri sering dibelenggu dua pilihan hitam atau putih. Lalu penyelesaiannya adalah hukum karma yang pastinya tidak akan terlepas.
Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, filem kedua arahan Syamsul adalah filem yang menepati cita rasanya sebagai remaja.
YUSOF bangga dengan hasil kerja Syamsul. |
“Bagi saya ini adalah filem dia yang ingin menunjukkan ekspresi anak muda sendiri dalam membuat filem mewakili generasinya.
“Saya sebenarnya cukup berbangga dengan hasil kerjanya selama ini kerana berani untuk membuat filem yang sememangnya dekat dengan dirinya sendiri. Saya sendiri mengakui dan menghargai karya anak muda ini agar tidak dipandang sepi.
“Kadang kala kita terlupa masa sudah berubah, ada kalanya pemikiran anak muda ini tidak boleh diramal. Ini adalah zaman mereka dan idea yang dikeluarkan menepati cita rasa masa kini.
“Saya juga memuji pengarah muda hari ini seperti Syamsul sendiri, Pierre Andre, Norliana, Farid Kamil yang cukup kreatif dalam berkarya,” katanya mengenai filem itu yang akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh tanah air pada 23 April ini.
NABILA sebagai pelakon wanita utama dalam filem Bohsia. |
Turut hadir menyaksikan pratonton filem itu ialah Tan Sri Jins Shamsuddin, Ahmad Puad Onah, Mawi, Ekin dan semua pelakon Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.
Syamsul yang mengambil masa selama 40 hari sebagai tempoh pembikinan filem ini bagaimanapun tidak banyak menghadapi masalah sepanjang penggambaran.
“Alhamdulillah semasa tempoh penggambaran semuanya berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia saya dapat melakukan kerja dengan sempurna.
“Selain itu, juga saya cukup berbangga dengan pelakon filem ini kerana dapat memberi komitmen yang tinggi sepanjang penggambaran terutama Nabila, Salina, Shaheizy, Aaron dan semua yang memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.
“Mengenai sasaran hala tuju filem ini, pertamanya saya hanya mensasarkan penonton dapat menyelami dan mengambil iktibar dari apa yang ingin saya sampaikan dan kedua adalah dari segi kutipan agar dapat menampung kos pembikinan kerana jika tidak tentu saya akan dimarahi ayah,” katanya.
Bagi Nabila yang memegang watak utama sebagai Tasya dia juga menganggap Bohsia memiliki cabarannya yang tersendiri.
“Saya cukup seronok sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana kebebasan yang diberikan pengarah dalam membentuk watak tidak dihalang. Semuanya selepas bergaul dan mengenali geng mat rempit dan gadis bohsia untuk mendapatkan karakter sebagai Tasya.
“Memang ada pengalaman yang sukar untuk saya lupakan apabila diminta untuk membonceng di belakang mat rempit dan motor itu dibiarkan berjalan dengan menggunakan tayar belakang saja.
“Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya, apa yang saya fikirkan adakah saya akan jatuh selepas ini,” katanya.
INFO
Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd & Grand Brilliance Sdn Bhd
Penerbit: Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Puad Onah
Arahan: Syamsul Yusof
Genre: Aksi/Drama
Mula Tayangan: 23 April 2009
Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.
filem dan cd yang berunsur ketuhanan dan mempunyai gambaran alam kubur serta bukti kekuasaan allah s.w.t dilarang di malaysia namun filem yang memaparkan unsur2 lucah dibenarkan.tidakkah itu pelik.
ReplyDeletemengapa faizal tahir yang mendedahkan pusat iaitu salah satu aurat lelaki di band namun artis wanita yang menayangkan jutaan helaian rambut mereka itu tidak di band malahan ada sesetengah artis wanita yang melebihi had seorang muslim sehingga boleh terpesong akidahnya
ReplyDelete