Sudah beberapa kali ada pihak yang berusaha mengembalikan kumpulan pop 70-an Carefree ke persada seni, Bukan mahu membawa mereka kembali merakam album sebaliknya mengadakan persembahan istimewa atau lebih tepat kalau dikatakan persembahan reunion.
Setiap kali berbincang usaha itu akhirnya melalui jalan buntu kerana ada perkara yang tidak boleh dikompromi. Jay Jay tegas dengan pendiriannya mahukan kesemua lapan anggota bersama-sama sekiranya mahu mengembalikan Carefree. Kalau tidak dapat digabungkan kesemuanya, dia berasa sesuatu yang tidak sempurna.
Usaha itu hampir menjadi kenyataan apabila mereka mendapat undangan mengadakan konsert yang dinamakan Konsert Untukmu Ibu-Black Dog Bone & Carefree pada 8 hingga 10 Mei 2009 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Namun semasa hujan lebat pad ahari Ahad 5 April 2009 lalu, mereka menerima tamparan apabila terpaksa menarik diri atas sebab-sebab yang sukar dijelaskan oleh Jay Jay. Apatah lagi pengunduran itu terpaksa dilakukan kurang daripada 24 jam dari tarikh sidang akhbarnya.
"Saya anggap perkara ini sebagai satu kerugian yanag besar kepada Caferfee. Ibaratnya benda itu dah ada dalam genggaman dan kita lepaskannya, " kata Jay Jay sambil menahan sebak semasa sidang akhbar konsert tersebut.
Konsert tersebut akhirnya menjadi Konsert Black Dog Bone Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan dengan Undangan Istimewa Jay Jay dan Rahim Othman (bekas anggota Carefree)
"Memang saya terkilan, sedih dan malu apabila perkara ini terjadi. Saya meminta maaf kepada semua pihak yang mengalami masalah dengan keputusan ini," kata Jay Jay.
Daripada menjadi pemain utama konsert itu akhirnya Jay Jay dan Rahim hanya menjadi pelakon undangan sahaja.
Teruja... sedih
Jay Jay akui sudah beberapa kali ada pihak yang cuba membawa Carefree bergadung dalam satu persembahan, tetapi usaha itu gagal.
"Memang boleh kalau kita nak muncul dengan tidak cukup anggota atau menggunakan khidmat pemuzik undangan, tapi rasa tak manislah.
"Kalau nak kembali dengan khidmat pemuzik undangan, sudah lama saya boleh melakukannya, malah kawan-kawan lain juga boleh membuat persembahan dengan nama Carefree dan guna khidmat pemuzik undangan.
"Bagi saya, kalau benar-benar nak bawa Carefree kenalah ada semuanya sebab semua bekas anggota masih ada, kalau sudah tak ada lain cerita," jelas Jay Jay.
Jay Jay menceritakan semasa proses pertemuan mereka, ada anggota yang sangat teruja dah sudah membuat contoh t-shirt khas menggunakan logo dan wajah anggota Carefree.
"Semasa mahu membuat keputusan itu memang mengalir juga air mata kerana mengadakan persembahan ini ibarat satu penghargaan.
"Ada artis lain yang datang ketuk pintu Istana Budaya untuk mendapat tempat, tapi kita diundang, ini satu penghargaan dan peluang yang tak patut dilepaskan, tapi nak buat macam mana kalau ada orang yang menolak rezeki," katanya merujuk kepada segelintir anggota Carefree yang tidak boleh memberi komitmen pada saat-saat akhir.
Utusan akhbar rasmi
Sementara itu konsert tersebut turut mendapat kerjasama Kumpulan Utusan yang bertindak selaku media rasmi. Sinar FM pula jadi radio rasmi.
Kerjasama ini memberi ruang kepada Utusan untuk menaikkan lagi martabat kesenian tanah air ke peringkat yang lebih tinggi. Ia juga menunjukkan komitmen Utusan dalam memainkan peranan yang lebih positif ke arah membantu karyawan seni tanah air dalam membudayakan acara seni untuk dihayati oleh rakyat Malaysia.
Sekarang tiket berharga RM65, RM85, RM155 dan RM205 sudah mula dijual dan mendapat sambutan menggalakkan. Tempahan tiket konsert yang dibawakan oleh Box Office Malaysia boleh dibuat melalui www.ticket2u.biz. Boleh juga hubungi talian 03-4149 8600 untuk sebarang pertanyaan.
Selingkar Bayangan Carefree
Kumpulan Carefree adalah salah sebuah kumpulan yang sangat popular pada akhir tahun 1970-an. Album sulung mereka berjudul Kebebasan yang memuatkan lagu Rindu Bayangan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Tak salah kalau dikatakan sejak tahun 1979, apabila album sulung mereka dipasarkan, sehingga ke hari ini lagu itu tak pernah lekang dari stesen radio. Bukan sahaja di Malaysia, malah lagu Carefree juga mendapat sambutan di Singapura dan Brunei.
Sememangnya lagu Rindu Bayangan sebagai titik tolak kepada kejayaan Carefree mencipta nama gemilang sehingga ke hari ini. Walaupun dah berpecah, namun nama dan lagu-lagu mereka masih segar.
Carefree dianggotai oleh Ahmad Fauzi Darus (Jay Jay), Simon Justin Leo, Charles Paira (Charlie), Raja Rahman (Boy), Raja Rashid (Wan), Nana Pawan Chik, Lokman dan Rahim Othman sebenarnya sebuah kumpulan yang muncul dari kelab malam.
Selain menyanyi, Jay Jay adalah pemain gitas bass, Simon pula bermain gitar utama, Charlie (keyboards), Boy (drum, percussion, penyanyi latar), Wan (alto saksofon, flute, percussion, penyanyi), Nana (tenor saksofon, trombone), Lokman (trumpet, flugelhorn, penyanyi latar) dan Rahim (tenor saksofon, flute, percussion).
Pada pertengahan tahun 1970-an banyak kumpulan muzik yang diangkat dari kelab sebelum diberi kepercayaan merakam album. Demikianlah dengan kumpulan Carefree. Mereka mengikat kontrak dari kelab ke kelab. Carefree terbentuk pertengahan tahun 1970-an lagi, sekitar lima tahun sebelum menjadi artis rakaman.
Malah semasa album Kebebasan dipasarkan, Carefree masih lagi bermain muzik di kelab. Mereka juga menerima undangan mengadakan persembahan lain. Namun kontrak di kelab masih tidak luput.
Malah semasa lagu Rindu Bayangan sedang meresap ke jiwa peminat muzik, Carefree tidak bergerak bersama penjualan kaset dan piring hitam mereka. Pada masa itu mereka terikat dengan Hotel Merlin, Pulau Pinang selama dua bulan.
Ruang duduk kelab di hotel itu sentiasa penuh dengan pengunjung. Carefree diberi kepercayaan untuk mengikat kontrak dalam tempoh yang panjang. Laziamnya kontrak sesebuah kumpulan di kelab pada masa itu sekitar sebulan sahaja. Malah ada kumpulan yang terikat kurang sebulan.
Carefree mengikat kontrak sebagai atis rakaman dengan syarikat antarabangsa EMI. Mereka sempat merakan tiga buah album iaitu Kebebasan, Kebebasan II dan Kebebasan III.
Carefree boleh diklasifikasikan sebagai sebuah kumpulan pop. Album mereka juga memuatkan lagu-lagu berkonsep tradisional dan dangdut. Itulah kelainan kumpulan muzik pada masa itu yang mampu mempersembahkan pelbagai konsep muzik.
Jay Jay mengakui lagu Rindu Bayangan memainkan peranan besar dalam melonjak namanya dan nama Carefree ke puncak pada tahun 1979.
“Ini kejayaan bagi kami sekumpulan yang masing-masing menyempurnakan tugas. Tanpa kerjasama tak mungkin Rindu Bayangan lahir begitu baik,” kata Jay Jay dalam satu temu ramah pada masa itu.
Album Kebebasan dianggap album kumpulan muzik paling laris. Pada masa itu tak banyak kumpulan muzik menghasilkan album. Tumpuan lebih kepada penyanyi solo.
Kebanyakan kumpulan yang ditawarkan merakam album berpengalaman luas sebagai pemuzik kelab. Sebab itulah muzik yang mereka tampilkan berbeza di antara satu sama lain.
“Carefree dah aktif sekitar lima tahun dari kelab ke kelab sebelum merakam album, sebab itulah apabila merakam album, kami sendiri yang hasilkan muziknya, bukan menampilkan pemuzik undangan,” kata Jay Jay.
Jay Jay bukanlah penyanyi tunggal dalam kumpulan Carefree. Namun lagu-lagu naynyiannya yang lebih popular. Wan dan Simon juga turut menyanyi beberapa buah lagi dalam setiap album mereka.
Misalnya dalam album Kebebasan, Wan menyanyikan lagu-lagu Aku Terpesona dan berduet dengan Simon menerusi lagu Hanya Kita Berdua. Simon pula menyanyi solo lagu Rayuan Kasih dan duet bersama Jay Jay dalam lagu Ke Disko.
Selebihnya, lagu-lagu Rindu Bayangan, Joget Mak Enon, Dendagan Laguku, Anak, Menari, Kenanganku dan Perkelahan dinyanyikan oleh Jay Jay.
Dalam album kedua, Kebebasan II (1979), Jay Jay menyanyikan lagu-lagu Kini Baru Kau Sedar, Tiada Lagi Air Mata, Joget Teruna Dara, Baju Hijau dan Tahniah Dan Ucap Selamat. Selebihnya dianyikan olah Simon dan Wan.
Lagu Belaian Jiwa yang menggunakan vokal Simon antara lagu-lagu yang popular selain lagu nyanyian Jay Jay. Lagu-lagu lain termasuk Esok Masih Ada, Sahabat Pena, Pejamkan Matamu (Mimpikan Wajahku), Bayangan Mesra dan Petang Sabtu (Kau Jadi Temanku).
Lagu Esok Masih Ada adalah lagu tema filem Esok Masih Ada. Kalau album pertama menggunakan khidmat Omar Taib sebagai penerbit, untuk album kedua, Carefree beralih kepada S. Atan.
S. Atan juga diberi tanggungjawab menerbitkan album ketiga, Kebebasan III (1980). Namun Omar Taib tetap menyumbang lagu dan menyusun muzik untuk kedua-dua album Carefree yang diterbitkan oleh S. Atan.
Lagu-lagu nyanyian Jay Jay yang popular ialah Menyesal Tak Berguna, Hentikan Fitnahmu, Joget Anak Gembala. Lagu-lagu lain yang dinyanyikan oleh Wan dan Simon antaranya Sinaga Naga, Kubercinta Lagi, Lagu Rindu dan beberapa lagi.
Kerana memiliki tiga penyanyi, lagu-lagu Carefree pelbagai rentak dan lenggok. Selain lagu-lagi pop. Ada juga lagu tradisional antaranya, Joget Anak Gembala, Joget Mak Enon dan Joget Teruna Dara.
Malah beberapa lagu nyanyian Jay Jay seperti Kini Baru Kau Sedar, Hentikan Fitnahmu dan Menyesal Tak Berguna ada sentuhan dangdut.
Selepas lahir dengan dua buah album, bibit perpecahan mula ketara. Ia mula diperkatakan apabila Nana dan Lokman keluar daripada kumpulan itu. Album ketiga, tidak menampilkan mereka berdua.
Pada masa itu dah ada gosip pasal perpecahan, namun Carefree menafikannya. Akhirnya pada 31 Disember 1982, Carefree terpaksa akur dengan perpecahan. Walaupun ada yang masih sayangkan kumpulan itu, namun mereka tak dapat bersama. Pada tarikh itu Carefree mengadakan persembahan terakhir sempena sambutan tahun baru 1983.
Regent Club, Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan terakhir Carefree sebelum berpecah. Tiada lagi air mata untuk dikesali kerana mereka tidak boleh bersama lagi. Masing-masing membawa haluan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: