"Ya, semestinya saya ingin memberitahu peminat bahawa saya seorang yang versatil tetapi ada yang lebih penting daripada itu saya juga mahu menambat hati peminat-peminat baru" – JAMAL

USAH dipanjangkan kisah gelapnya, usah juga dibangkitkan lagi arus yang mencemarkan kembara nafasnya kerana figura bernama Jamal Abdillah telah melalui sebuah kehidupan yang terlalu bernilai, sebenar-benarnya.
Apa yang masih tinggal dan menjadi darah daging Jamal sehingga ke hari ini adalah bonus buat semua pemuja seninya.
Apa lagi yang hendak ditagih daripada Jamal melainkan suara emasnya bahkan kepada Jamal secara peribadi, hayat yang masih menaruh harapan terhadapnya, sedang digunakan sebaik mungkin agar diri terus dilihat sebagai anak seni yang tidak pernah mengaku kalah.

![]() |
| |
![]() |
| AURA Jamal belum berakhir malah mampu menewaskan banyak artis muda kala bercakap tentang kualiti vokalnya. |
Sebab itulah, menerusi album studio terbarunya yang berada di pasaran bermula 16 April 2009, Jamal tampil dalam transformasi. Perasan atau tidak, single terbaru Jamal, Apa Lagi yang mula kedengaran di corong-corong radio jelas memberi definisi tentang jenama baru yang sedang didendangkan Jamal.
Dalam usia merangkak genap 50 tahun menjelang 7 Mei nanti, Jamal hadir dalam versi yang tidak pernah diterokainya, dia larut dalam emosi retro, muda dan funky namun identiti seorang penyanyi bergelar Jamal masih terserlah.
Bukan dalam lagu Apa Lagi sahaja, Jamal juga mengembalikan zaman remajanya menerusi lagu Terpesona Dusta, sebuah lagu lama yang dikontemporarikan. Menambahkan trend semasa ke dalam lagu berkenaan, Jamal berkolaborasi pula dengan Daly Ahli Fikir.
Tidak salah untuk mencuba kelainan, tetapi legasi yang dicipta juara Bintang RTM 1979 itu rasanya sudah terlalu kukuh untuk dicabar. Terdetik persoalan apa alasan Jamal dengan pembaharuan yang dilakukan untuk kemunculan kali ini.
Apakah Jamal sekadar ingin membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi versatil atau ada harapan lain?
"Ya, semestinya saya ingin memberitahu peminat bahawa saya seorang yang versatil tetapi ada yang lebih penting daripada itu saya juga mahu menambat hati peminat-peminat baru.
"Walaupun saya tahu saya masih diminati peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya, sebagai penyanyi saya juga ingin dikenali di kalangan generasi baru. Saya kena ikut pasaran semasa, tak guna ada bakat dan buat album kalau tidak berjaya di pasaran," jelas Jamal berterus-terang ketika ditemui selepas pelancaran albumnya di sebuah pusat di ibu negara, Selasa lalu.
Ternyata Jamal tidak pernah hilang semangat, seiring dengan judul albumnya Tak Hilang Cinta, Jamal ingin membisikkan kata hatinya bahawa kecintaan beliau terhadap seni tidak pernah dan tidak akan hilang walaupun sehingga ke hari ini, Rumah Pengasih masih menjadi sandaran utama Jamal untuk kekal normal sebagai lelaki 'merdeka' daripada jajahan dadah durjana.
Kesungguhan Jamal memperjuangkan bakat seninya bukan sahaja terzahir menerusi Tak Hilang Cinta yang turut mengangkat Jamal sebagai penerbit bersama, anak kelahiran Ipoh, Perak itu ada perancangan besar menanti menjelang Ogos nanti.
Jika penyanyi wanita tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza bakal tampil dengan konsert solo yang berinspirasikan konsert penyanyi pujaannya Celine Dion di Las Vegas, Jamal Abdillah pula bakal melakarkan konsert solo berkonsepkan muzikal di Istana Budaya (IB) selama lima malam, bermula 5 Ogos nanti.
Jika berjaya direalisasikan, konsert itu bakal melakarkan sejarah sebagai konsert muzikal pertama yang pernah dijayakan oleh artis tempatan di IB.
"Buat masa ini, saya merancang menggelar konsert berkenaan sebagai Kembara Seni Jamal Abdillah. Segala perbincangan bersama pihak IB, pemuzik serta artis yang bakal menyerikan persembahan muzikal itu sudahpun dilakukan.
"Istimewanya, tidak seperti konsert biasa, sebelum sesebuah lagu didendangkan, konsep muzikal itu akan bercerita tentang suasana sebenar atau apa sahaja memori di sebalik penghasilan lagu berkenaan. Semua lagu yang akan disampaikan nanti adalah lagu popular saya," ujar Jamal bersemangat.
Tambah Jamal: "Katakanlah, saya akan menyanyikan lagu Seniman Menangis, mungkin akan ada satu babak menunjukkan populariti saya dan kemudiannya gambaran kepiluan yang saya hadapi, barulah diikuti dengan lagu."
Selain kenangan-kenangan yang melekat difikiran, Jamal turut berhajat mengundang ikon-ikon seni seperti Datuk Dr. Ahmad Nawab yang telah banyak membentuk dirinya menjadi penyanyi.
Sambil meniru lagak dan dialek Ahmad Nawab, Jamal juga tidak ketinggalan menyebutkan beberapa nama seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Datuk David Arumugam, sebagai antara selebriti yang bakal menjadi undangannya menjayakan konsert nanti.
Tidak bekerjasama dengan Box Office, syarikat milik Ali Bakar yang pernah menjadi penerbit konsertnya di IB sebelum ini, Jamal sebaliknya selesa bergerak sendiri.

Paling mengujakan, penyanyi lelaki yang masih menjadi kegilaan ramai peminat wanita itu mengumumkan bakal menerbitkan sendiri konsertnya menerusi syarikat milik sendiri, Bintang Channel Sdn. Bhd. dengan kerjasama pihak IB.
Bukan sahaja memastikan stamina dan vokalnya dapat bertahan sepanjang lima hari konsert berlangsung, sejumlah peruntukan besar juga harus dibelanjakan Jamal menggunakan dana sendiri bagi menjayakan muzikalnya kelak.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: