|
PELAKON Norish Karman, 34, tidak suka main sembunyi soal lelaki yang hadir dalam hidupnya kini, sebaliknya memilih untuk lebih terbuka apabila sering kelihatan bersama jejaka kacak, Luqman Mohamed Amir, 27, yang juga abang penyanyi dan pelakon Farahdhiya.
|
Dalam beberapa majlis sebelum ini, Norish hadir bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris itu ketika tayangan perdana filem Talentime di Cathay Cineleasure, Damansara kemudian menyaksikan konsert mini Anggun dan terbaru, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) di Genting Highlands, Ahad lalu.
Norish mengakui berkawan rapat dengan Luqman dan menyifatkan teman istimewanya. Malah keluarga Luqman juga rapat dengannya, begitu juga anak-anaknya, Haqiem Armany, 9, Hardy Amieran, 5, Putri Hanyz Amanda, 4, mesra dengan Luqman.
“Saya bukan jenis yang suka sembunyi apabila keluar dengan teman lelaki kerana takut timbul gosip atau memberi istilah teman tapi mesra seperti artis lain.
“Selain Luqman, saya juga keluar dengan kawan lain, Dean Daud tapi nampaknya orang hanya memperkatakan saya dengan Luqman. Sebenarnya apabila keluar, saya suka mengajak teman-teman dan saya pula lebih ramai teman lelaki berbanding perempuan.
“Selalunya saya tidak keluar berdua tapi ramai-ramai. Contohnya masa tayangan Talentime, saya juga membawa dua lagi teman lelaki selain Luqman. Begitu juga ketika konsert Anggun, saya mendapat lima tiket dan membawa teman-teman lain.
“Bagaimanapun untuk ABPBH2008, saya hanya mendapat dua tiket walaupun sudah cuba meminta tiket tambahan daripada Berita Harian supaya boleh membawa kawan lain tetapi tidak dapat. Akhirnya, saya naik Genting berdua dengan Luqman.
“Dah saya pakai cantik-cantik dengan gaun rekaan Zery Zamry, apa salahnya saya membawa teman mengiringi saya ketika acara permaidani merah. Masa post party selepas majlis anugerah, saya juga tidak takut kalau ada jurugambar merakamkan gambar kami.
“Saya sudah lama mengenali Luqman. Dia lelaki yang baik dan banyak menyokong dan membantu saya. Begitu juga keluarganya sangat memahami kesusahan saya sebagai ibu tunggal. Apabila memerlukan bantuan untuk membawa saya ke satu tempat, saya meminta tolong kawan-kawan,” katanya ketika dihubungi.
Norish yang bercerai dengan Datuk Hashimuddin Abdul Rahim, 60, Julai tahun lalu, belum berfikir soal pengganti. Katanya, hidup harus diteruskan dan waktu sama keluar dengan teman-teman tetapi untuk berkahwin, belum lagi buat masa ini.
“Saya sudah tahu makna kahwin dan belum terfikir untuk berkahwin lagi. Sebaliknya, saya mahu memantapkan kerjaya lakonan, nyanyian dan juga bidang lain yang boleh mendatangkan pendapatan seperti pengacaraan dan perniagaan untuk menyara diri saya dan anak-anak.
“Bagaimanapun, saya kesal apabila ada akhbar melaporkan saya mendapat setengah juta daripada bekas suami menyebabkan saya tiada kerja sejak tiga bulan lalu. Selepas selesai penggambaran Spa Q 2 akhir tahun lalu, saya tidak ada tawaran lain.
“Ada juga saya bertanya penerbit, mereka kata tiada projek buat masa ini. Ada juga yang berkata, buat apa saya berlakon kerana sudah kaya dengan wang diberikan bekas suami. Kata mereka, lebih baik mereka ambil pelakon yang hidup susah terutama zaman gawat ini.
“Hakikatnya, kalau saya ceritakan berapa yang saya terima setiap bulan daripada bekas suami untuk belanja tiga anak-anak, memang mengejutkan. Malah, kereta yang saya gunakan sebelum ini juga sudah diambil menyebabkan saya susah hendak ke mana-mana hingga perlu meminta bantuan kawan-kawan,” katanya.
Waktu sama, Norish kecewa apabila hubungannya dengan Luqman mengundang gosip dan sedar ada satu gosip disiarkan Harian Metro dalam ruangan soseh-soseh ditujukan kepada dirinya.
Akui Norish, dia tidak membaca gosip Berpeluk, cium tak hirau sekeliling yang disiarkan pada 1 April lalu tetapi rakan-rakan memaklumkan kepadanya dan bertanya adakah cerita itu mengenai dirinya berdasarkan pembayang yang disebutkan.
“Saya hanya mampu mentertawakan cerita itu. Sebelum ini, saya sudah maklumkan kepada teman-teman saya yang mereka mungkin terpalit gosip apabila keluar dengan saya. Nampaknya mereka tidak kisah tapi untuk gosip ini, Luqman kurang selesa kerana ia berkaitan maruah.
“Kami bukan pasangan remaja tetapi sudah dewasa dan matang. Takkan kami buat perkara tidak senonoh di tempat terbuka dan ramai orang. Lagipun saya ada anak-anak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: