|
|
KERJAYANYA dalam dunia seni mungkin bermula sejak menyertai Pertandingan Bintang Irama Malaysia peringkat Pahang pada 2001. Walaupun penyertaan itu hanyalah secara kebetulan ketika menuntut dalam jurusan komputer di Institut Pengajian Pahang.
|
Biarpun rezeki belum berpihak kepada pendatang baru dunia seni suara tanah air, Mohd Hefni Mohamed, 28, atau Elfie Hefni, dia belum berputus asa. Minat pemuda tinggi lampai yang berasal dari Johor Bahru ini tetap menebal walaupun kerap berdepan pelbagai ujian dan cabaran. Apatah lagi berdepan saingan artis baru serta peserta program realiti yang cukup sengit.
Bermula sebagai artis budaya untuk Yayasan Warisan Johor, Elfie pantas menyusun langkah. Malah pengalaman terbabit dalam tarian, nyanyian dan seni teater dijadikan asas persediaan paling kukuh untuk terbabit dalam dunia seni.
Pengembaraannya menuntut ilmu tidak terhenti di sana. Anak ke-10 daripada 11 beradik ini mencuba nasib pula sebagai artis di Istana Budaya (IB) sekitar 2005.
Pengalaman dalam bidang seni selama dua tahun sebagai artis budaya mendorong Elfie menghasilkan single, Fahami Cinta yang mula diterbitkan sejak pertengahan tahun lalu.
Elfie menyifatkan minat dalam bidang seni berputik sejak kanak-kanak lagi. Selain minat, dia mempercayai bakat yang dimiliki mendorongnya menyahut cabaran bergelar penyanyi.
“Saya banyak menyertai aktiviti nyanyian sejak sekolah rendah lagi. Selain nyanyian saya turut mengambil bahagian dalam pertandingan fesyen, teater dan tarian. Minat ini turut mendapat dorongan kakak dan keluarga. Bermula ketika menyertai pertandingan Bintang Kanak-kanak RTM peringkat Johor Bahru ketika berusia lapan tahun.
“Selepas tamat sekolah saya tetap aktif menyertai beberapa pertandingan menyanyi. Antara pertandingan yang saya sertai ialah pertandingan karaoke, program realiti antaranya Malaysia Idol musim pertama selain melangkah ke pusingan 40 teratas Akademi Fantasia musim ketiga.
“Tidak dinafikan sepanjang di IB banyak ilmu yang saya pelajari. Pengalaman itu sebagai pendidikan untuk saya menyesuaikan diri dalam dunia seni. Begitupun, banyak perkara yang perlu dipelajari malah saya sendiri menganggap masih mentah dalam bidang ini,” katanya.
Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat Dariustar Entertainment serta pengurusan oleh The Conbolbulus Entertaiment kini dalam rangka mempromosikan mini album yang mengandungi lagu Kekal Bersama senikata ditulis Ahmad Fedtri Yahya dan lagu oleh Nur Fatima, lagu Aljar atau Al Jihad Al Akhbar ciptaan Dior dan Fahami Cinta karya Aesar Mustafa.
Menurut Elfie, memilih konsep pop fushion yang baginya memberi cabaran tersendiri dalam menghasilkan album mini berkenaan. Jika tiada aral, album penuh yang mengandungi lapan lagu dijangka dipasarkan penghujung tahun ini.
“Setakat ini saya mempertaruhkan tiga lagu yang mempunyai kekuatan tersendiri. Album mini yang turut mengandungi tiga minus one dijangka berada di pasaran Mei ini. Sebagai permulaan saya akan menumpukan kepada penjualan menerusi Internet dan tempahan melalui telefon.
“Pada saya, tiga lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri. Malah saya sendiri bangga kerana dapat bekerja dengan Fedtri dan Nur Fatima yang cukup terkenal dengan karya hebat selain memberi ruang kepada komposer muda seperti Dior serta Aesar.
“Saya juga meletakkan satu cabaran kepada diri sendiri untuk membawa lagu berentak fushion. Malah lagu Aljar ternyata sangat istimewa. Di samping menyanyi secara solo lagu berkenaan turut dirakamkan secara duet bersama Rafikconcept,” kata Elfie yang pernah mewakili negara menyanyikan lagu Bahtera Merdeka diiringi paluan muzik Kalintang di Muzim Negara pada 2001.
Selain berbakat dalam nyanyian, Elfie turut terbabit dalam menjayakan persembahan teater seperti Mimpi, Hang Li Po dan Suzana @ 60-an di IB. Selain itu, dia tampil menjayakan watak tambahan dalam drama keluarga antaranya Ayah, Ayahku Kahwin Lagi (RTM), Jalan Untuk Mustakim, Spa Q musim pertama (TV3).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: