|
| ORANGNYA dah cantik molek, tinggi lampai dan SS rasa tiada satu pun yang kurang pada artis itu. SS boleh katanya artis ini memiliki ciri-ciri wanita Melayu terakhir. |
Pandang sisi kiri lawa, pandang sebelah kanan pun lawa, tetapi rupa-rupanya artis itu belum berpuas hati dengan apa yang ada pada dirinya.
Baru-baru ini, rakan SS terserempak artis itu di negara yang sangat terkenal dengan pembedahan plastik dan harga pun murah berbanding pembedahan sama di negara lain. Kebetulan rakan SS turut bercuti di negara itu sambil membeli-belah.
Betullah kata orang, bumi Allah ini kecil saja. Pusing kiri, pusing kanan lambat laun akan terjumpa juga orang yang sama. Selepas puas membeli-belah, rakan SS singgah di satu restoran untuk mengalas perut yang sekian lama menjerit minta diisi. Dia terlihat kelibat tiga gadis turut memesan makanan di restoran itu.
Mulanya rakan SS tak ambil kisah pun mereka bertiga kerana biasalah orang zaman sekarang, suka berbelanja di luar negara. Kadangkala kita boleh terserempak jiran setaman membeli-belah di luar negara.
Selama ini duduk dalam kawasan perumahan yang sama jarang berjumpa kerana sibuk dengan tugas masing-masing, tetapi boleh pula bertemu dan berbual mesra di negara orang. Hidup ini memang aneh.
Berbalik kepada kisah tiga gadis itu tadi, rakan SS perhatikan seorang daripada mereka berjubah dan berpurdah. Rakan SS boleh nampak sepasang matanya saja. Pun begitu, sebaik makanan yang dipesan sampai ke meja mereka, tiba-tiba rakan SS yang sedang mengunyah nasi bersama tom yam yang sememangnya pedas tersedak macam nak terkeluar anak tekak melihatkan paras gadis berpurdah itu yang terpaksa membukanya ketika hendak makan.
Masakan rakan SS itu tidak terkejut kerana wanita yang cuba berselindung di sebalik purdah itu adalah artis pujaannya. Dia sempat melihat hidung artis itu seperti bertampal plaster dan mukanya sembab. Selepas puas diamati, sahlah artis itu baru 'membuat' muka terutama pada hidungnya.
Ternyata telahan rakan SS itu benar kerana seminggu selepas itu dia terserempak artis itu di pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur. Hidungnya mancung dan tirus daripada biasa. Wajahnya juga lebih jelita daripada sebelumnya.
Sebelum ini artis itu pernah menyuntik botoks ke wajahnya, tetapi selepas keluar fatwa yang ia haram, katanya bahan terlarang pada wajahnya itu sudah dibuang. Bab ini SS susah hendak percaya kerana SS tengok wajahnya sama saja.
Pada SS, artis itu tidak perlu menambah apa-apa pada wajahnya lagi kerana dia sudah cantik. Nanti kalau kerap sangat diubah suai, yang cantik bertukar jelik. Ada seorang lagi artis itu, SS tengok wajahnya dah macam tak serupa muka orang kerana kerap sangat mengubah kejadian Allah. SS tengok sekarang bibirnya dah bengkak sebelah.
Orang kata, kalau dah biasa buat (muka) lama kelamaan jadi ketagih. Hilang wajah asli, terpamer yang palsu belaka. Sesuailah, sekarang pun ramai yang senyum palsu dengan kita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: