Saturday, April 4, 2009

Soseh Soseh: Peserta OIAM3 dipuji


RAMAI memuji peserta One In A Million (OIAM3) musim ketiga apabila kebanyakan daripada mereka mampu menyusun dan mengolah kembali muzik yang didendangkan.

Ramai penonton setia meminta SS menyampaikan kata pujian dan syabas kepada artis menyertai rancangan itu kerana menunjukkan kemampuan yang tidak pernah terfikir oleh mereka.

Rata-rata walaupun masih muda, ada antara penyanyi ini menunjukkan bakat di luar dari zon selesa mereka terutama Ridzuan atau Rizu, Tomok dan Amylea yang mampu menjadikan lagu dipopularkan penyanyi lain kedengaran seperti karya sendiri.

Begitupun, teman SS yang bertugas mengendalikan peserta yang menyertai rancangan OIAM3 menjelaskan, mereka berhak menerima pujian terbabit atas usaha keras dalam memberikan yang terbaik kepada peminat dan penonton setia rancangan itu.

Katanya, mengambil contoh Amylea yang bakatnya pernah diketengahkan dalam rancangan Akademi Fantasia sebelum ini, menggunakan masa terluang sebaik mungkin dengan mencipta lagu terbaru atau menyusun beberapa kali lagu yang mahu didendangkan agar ia kedengaran jauh lebih baik.

Kadang-kadang di hotel tempat peserta menginap, dia turun ke lobi atau di tempat yang agak sunyi bersama gitarnya untuk melaksanakan tugas diberikan. Biasanya, dia akan duduk sehingga jam 2 pagi. Ibaratnya selagi tidak berpuas hati selagi itu Amylea akan duduk dan menggubah lagu mahu dinyanyikan.

Patutlah kebanyakan peserta ini apabila muncul saja di pentas, nyanyian mereka kedengaran baik kerana sepanjang tempoh enam hari diberikan ia digunakan peserta ini sebaik mungkin.

Apapun, SS mengharapkan usaha baik mereka ini akan terus dipanjangkan selepas pertandingan ini tamat. Mana tahu selepas ini mereka boleh mengikut jejak langkah Faizal Tahir dengan menghasilkan lagu sendiri.

Malah Amylea sudah membuktikan dia mampu melakukannya menerusi lagu didendangkan minggu lalu iaitu Satu Dalam Sejuta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: