Saturday, April 4, 2009

Tak puas dengar dendangan Anggun


KEADAAN seperti ini jarang sekali dapat dilihat melainkan hanya dalam acara konsert mega (membabitkan artis 'kelas A' saja) yang menjadi markas untuk artis ternama berhimpun.

Namun, kerana hebatnya si pemilik vokal elastik, Anggun Cipta Sasmi, 35, showcase diberi nama Anggun Elevation Acoustic yang berlangsung Mahkota 2 Ballroom, Hotel Istana, Jumaat lalu, dihadiri nama-nama besar meskipun durasi persembahan Anggun itu itu mengambil masa kurang 25 minit.

Penghibur terkemuka tanah air yang hadir, antaranya Amy Search bersama isterinya, Norish, Nora serta beberapa selebriti terkenal seperti Faradhiya, Linda Onn, Zizie Ezette, Shila, Nora Danish dan Norish Karman.

Bintang Spa Q itu tidak bersendirian sebaliknya ditemani seorang pemuda dipercayai teman lelakinya juga abang kepada penyanyi Faradhiya.

Jelas sekali, lima lagu terlalu singkat buat penonton. Malah, tidak keterlaluan dikatakan saat menantikan Anggun muncul di pentas lebih lama sehingga mengambil masa 60 minit berbanding tempoh persembahannya.

Justeru, ramai yang tidak puas mendengar vokal gemersiknya dan mengharapkan Anggun akan terus melagukan sekurang-kurang dua lagi lagu apatah lagi, pada persembahan terakhir Anggun mengajak Nurul dan Imran Ajmain melagukan Mantra bersama-sama.

Sudahlah hanya membawakan lima lagu, satu daripadanya dibawakan pula secara duet sekali gus menjadikan persembahan Anggun secara total hanya empat lagu.

Namun, seperti yang dimaklumkan Anggun sebelum ini pada sidang media album Elevation di Songket Lounge, Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu, persembahan lima lagu itu ibarat hidangan pembuka.

Kata-katanya itu, jelas dikotakannya pada malam acara showcase berlangsung tanpa sebarang kompromi.

"Lima lagu cukup kan penonton semuanya. Jika mahu melihat persembahan lebih lama, silalah berhubung dengan teman promoter supaya saya boleh ke sini lagi untuk mengadakan konsert yang lebih besar," ujar Anggun spontan sambil tertawa nakal.



Tampil dengan blaus putih potongan kimono paras peha, Anggun mengenakan kasut tumit tinggi ala 'gladiator' jenama D&G sempat berseloroh dengan penonton.



"Terima kasih kepada penganjur kerana membenarkan saya memakai pakaian seperti ini. Kasutnya bagus, jika baju labuh nanti kesian," katanya disambut tawa penonton.

Lima lagu disampaikan, antara yang pernah memperkenalkan namanya di Malaysia iaitu Yang Ku Tunggu dan Snow On Sahara.

Manakala, dua lagu baru dipetik dari album Elevation turut diperdengarkan secara unplugged, Berganti Hati dan Crazy.

Persembahan vokal Anggun yang memukau di kuatkan lagi dengan petikan gitar solo pemuzik, komposer dan produser, Edrie Hashim serta pemain piano terkenal, Rozario.

Apa yang menarik mengenai ibu kepada bayi perempuan bernama Kirana setahun empat bulan ini, meskipun bergelar penyanyi Asia yang dihormati kerana pencapaiannya menembusi pasaran antarabangsa namun, dia seorang yang sangat merendah diri.

Amy Search ketika ditemubual pengacara majlis Adi Fashlah, mengakui Anggun salah seorang penyanyi wanita yang cukup dikaguminya.

"Saya suka 'tone' suaranya. Dia miliki vokal yang unik dan mantap selain kejayaan karier nyanyiannya di peringkat antarabangsa memberi inspirasi," katanya.

Terdahulu, sebelum Anggun tampil membuat persembahan kira-kira jam 9.30 malam, penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain diberikan penghormatan melakukan persembahan pembukaan .

Dua lagu diperdengarkan salah satunya dipetik dari album terbarunya yang masih dalam pembikinan, Selamat Ulang Tahun Sayang dan On The Breath Of An Angle yang pernah dipopularkan oleh Anggun.

Kehangatan persembahan diteruskan lagi oleh Nurul, tampil menggoda ketika mendendangkan lagu Tika Cinta dan penyanyi berkulit hitam manis ini tidak ketinggalan menyanyi lagu Anggun iaitu Kembali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: