BARU-BARU ini rakan SS bertemu kenalan yang menetap di Thailand. Orang yang rakan SS kenalkan sebagai M itu sebenarnya berasal dari Malaysia dan jiwanya masih Melayu sekalipun sudah lama bermastautin di Thailand dan fasih berbahasa Thai. |
Kata rakan SS, M tetap setia mengikuti perkembangan industri hiburan di Malaysia termasuk drama yang disiarkan di televisyen tempatan sekarang. Seperti pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan. Nak dijadikan cerita, kata rakan SS, M yang sering ke Malaysia untuk menziarahi kaum keluarganya di sini berpeluang menonton drama bersiri Matahari yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang di TV3.
Apa yang mengejutkan M ialah drama itu menciplak 80 peratus daripada drama popular Thai, E: Pring yang mendapat sambutan hangat penonton satu ketika dulu.
Katanya, cuma di bahagian akhir cerita itu saja yang diubah suai. Malah, lebih teruk lagi watak utama Ariana yang disifatkan Matahari lakonan Lis Dawati juga nampak tidak kena untuk membawa watak utama wanita penggoda bernama Pring kerana Lis sebenarnya lebih sesuai bawa watak gadis kampung.
Katanya lagi kepada rakan SS, pengusaha drama tempatan (Malaysia) boleh mengadaptasi cerita dari luar, tapi bukan meniru bulat-bulat seperti itu seolah-olah mereka sudah kekeringan idea.
Kalau menciplak untuk menghasilkan karya yang lebih bagus, tidak apa juga ini sebaliknya kualiti cerita itu kata M, lebih teruk dan jauh beza jika dibandingkan dengan mutu drama asal. Katanya, buat malu saja kalau orang luar dapat tahu kelemahan orang kita.
Jika ia berterusan, kata M, ia tidak sihat untuk masa depan industri seni tempatan. Sampai bila-bila pun drama dan filem tempatan di takuk lama jika orang kita ghairah menciplak karya orang luar.
Pada pandangan SS, pengusaha drama tempatan boleh buka mata sikit dengan isu ini dan lihatlah kritikan orang luar dari sudut yang positif.
Malah SS dapat tahu, E: Pring akan disiarkan di Astro Prima tidak lama lagi dan bolehlah penonton membuat perbandingan selepas ini.
Bagi SS isu ini bukan baru kerana sebelum ini filem, Persona Non Grata lakonan Erra Fazira dan Hans Isaac juga pernah dikatakan menciplak filem Thailand berjudul February.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: