Thursday, April 16, 2009

Sketsa sinis Zaid dalam Alamak!


BARISAN superhero Alamak! yang pasti mencuit hati.

INGIN menyaksikan aksi superhero dalam bentuk kelakar? Jika anda seronok menyaksikan babak lucu berdasarkan karakter yang sudah sekian lama dikenali, maka usah lupa menonton rancangan Alamak! terbitan Ritzh Channel Sdn Bhd.

Menurut penerbitnya, Zaid Zahari, program komedi berbentuk spoof itu adalah yang pertama seumpamanya diterbitkan untuk siaran televisyen tempatan.

"Ia mirip program Jangan Ketawa yang dicampur dengan Scary Movie," kata Zaid memberikan sedikit gambaran terhadap program sulung keluarannya, yang sebenarnya diusahakan sejak bertahun-tahun lalu.

Bakal disiarkan selama 30 minit setiap episod, program berkenaan akan menemui penonton di saluran Astro Ria, mulai Mei nanti.

"Lebih kurang lima tahun saya mengumpul idea untuk menghasilkan projek musim pertama ini,” katanya yang mengarahkan Alamak bersama Woo Ming Jin.

Zaid berkata, kebanyakan sketsa yang dipaparkan dalam rancangan terbabit adalah daripada ideanya sendiri, hasil pemerhatian, pengalaman sendiri, tontonan dan bacaan sejak beberapa tahun.

Alamak! mempunyai 15 sketsa berbeza yang dirakam menggunakan kamera Sony EX5 dengan lensa. Lalu, proses pembikinannya dikatakan seakan penghasilan sebuah filem, bagi memberikan penonton persembahan yang penuh kualiti.

Ketika menunjukkan sedutan program itu di Balai Berita baru-baru ini, nyata visual hasil rakamannya agak menarik, membuatkan rancangan itu sendiri nampak cantik. Selain itu, sketsa yang dimuatkan juga boleh dianggap cukup menggelikan hati.

Siapa yang tidak akan ketawa melihat bagaimana Zaid dan pelakonnya melakonkan semula watak-watak popular di kalangan selebriti tanah air. Maka wujudlah adegan seorang tukang masak menunjukkan cara menyediakan makanan, wartawan terkemuka menjalankan tugas serta banyak lagi.

Daripada watak popular filem Barat seperti Wolverine, Werewolf, Hulk, Tarzan, Crocodile Hunter dan karakter klasik dalam filem Melayu seperti Orang Minyak, maka lahirlah insiden menggeletek jiwa daripada Zaid dan teman-temannya yang bukan saja berlawak, malah menyuntik sindiran sinis.

Antara pelakon lain yang menjayakan babak kelakar ini ialah Ellie Suriaty, Pian Cecupak, Azura Zainal, Sham Sunder dan Radhi Khalid.

"Sebahagian besar pelakon yang muncul dalam program ini terdiri daripada bakat baru. Masih ramai pelakon yang bagus, cuma ruang untuk mereka menunjukkan bakat saja tidak tersedia," katanya.

Ditanya apakah dia tidak risau sekiranya watak yang dipaparkan dalam Alamak! akan membuatkan sesetengah selebriti berasa hati, Zaid berkata, pihaknya memang menyedari kemungkinan berkenaan. Justeru, Alamak! tidak sesekali menggunakan nama sebenar selebriti yang cuba ditiru itu bagi mengelakkan insiden seperti itu terjadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: