Tuesday, April 21, 2009

Semangat Elly


SEBAGAI pelakon yang semakin mencipta nama, penampilan Elly Mazlein, 27, sentiasa menjadi perhatian. Bakat lakonan gadis kelahiran Slim River, Perak ini sering menjadi taruhan penerbit dan produksi tempatan dalam menghasilkan drama atau karya terbaru mereka.

Bukan hanya berbakat dalam lakonan, Elly juga sudah membuktikan kemampuan dalam dunia seni suara sehingga menghasilkan lima album solo termasuk satu MTV Karaoke Elly Mazlein sekitar 1997 hingga 2003.

Pembabitan dalam dunia lakonan ternyata memberikan imbuhan lebih besar buat Elly apabila kerap tampil sebagai teraju utama dalam drama televisyen tempatan. Biarpun berdepan kritikan apabila lakonan yang dikatakan keras dan tidak berkembang daripada satu watak ke watak yang lain dalam drama yang dijayakan.

Biar apa pun kesimpulan yang dilemparkan, dia tetap menganggap ia sebagai cabaran yang perlu dilalui seseorang artis sepertinya. Malah dia sendiri menerima setiap kritikan dan komen yang dilemparkan mengenai lakonannya dengan hati terbuka.

"Saya juga manusia dan tidak lari daripada melakukan kesilapan. Saya terima apa saja komen atau pandangan masyarakat mengenai lakonan dalam drama lakonan saya. Kritikan itu perlu bersifat membina dan jangan sampai membunuh karier atau 'periuk nasi' saya. Walaupun sudah berlakon lebih tiga tahun, saya tetap menganggap masih baru dan masih belajar dalam bidang ini.

"Saya sentiasa meneliti watak yang diberikan supaya perkembangan karakter dalam setiap drama yang dilakonkan berkembang. Setiap watak yang ditawarkan ternyata mempunyai kelainan tersendiri," katanya.

Elly ditemui ketika menjalani penggambaran telemovie terbitan Asia Media Content Production, Sampai Syurga arahan Along Kamarudin di pejabat Harian Metro, Balai Berita, baru-baru ini.

Menerusi telemovie yang akan disiarkan dalam slot Cerekarama TV3 pada Julai ini, Elly membawa watak Saniah seorang gadis normal yang berdepan kemelut untuk menjadi penyanyi terkemuka.

Bercerita lanjut mengenai watak itu, Elly memaklumkan watak berkenaan ternyata menagih emosi yang tinggi dan mencabar.

"Watak dalam telemovie ini memerlukan saya bermain emosi yang kuat. Jalan ceritanya juga agak berat berbanding drama lakonan saya sebelum ini. Kali pertama membaca skrip yang ditulis Maizurah Ederis saya cukup seronok menghayati penceritaannya.



"Ini juga kali pertama saya bekerja dengan Along (Kamarudin). Saya tidak berdepan banyak masalah untuk bekerja dengan Along malah mana-mana pengarah sekalipun. Along juga banyak membantu dan bertolak ansur ketika penggambaran," katanya.



Katanya, membawakan watak Saniah yang berperangai tidak normal selepas impian untuk menjadi penyanyi terkenal berjaya amat mencabar. Saniah mula lupa asal usul dan mengamalkan aktiviti tidak sihat seperti kerap berkunjung ke kelab malam dan mengamalkan seks bebas.

Paling memilukan apabila Saniah sendiri melupakan jasa bapa yang banyak berkorban untuk memastikan anaknya berjaya dalam bidang seni.

Apabila ditanya sama ada watak berkenaan tidak sukar dibawakan memandangkan sebelum ini, dia sendiri pernah bergelar penyanyi, Elly menganggap ia hanya sebagai tuntutan watak menerusi drama itu.

"Saya tidak pernah menganggap watak yang dilakonkan itu membabitkan diri sendiri. Sebaliknya saya hanya menjiwai watak serta memenuhi tuntutan pengarah.

"Drama ini menampilkan mesej yang tersendiri. Memberi pengajaran kepada individu yang terlalu taksub dengan dunia glamor. Memang sukar membawakan watak dalam drama ini. Setiap skrip yang saya terima sememangnya mencabar. Saya bersyukur kerana mempunyai pengarah dan pasukan yang bagus untuk menyelesaikan penggambaran," katanya.

Mengenai nyanyian pula, Elly mengakui masih aktif memenuhi undangan persembahan di majlis tertentu. Malah, terbaru dia turut dijadualkan menjayakan sambutan Hari Ibu di Singapura bulan depan.

"Setakat ini saya masih menyanyi untuk program tertentu. Begitupun untuk merakamkan lagu baru belum ada perancangan lagi memandangkan pasaran album dan ekonomi yang tidak menentu.

"Buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan. Jika tiada aral dan dimurahkan rezeki saya akan kembali merakamkan album pada masa akan datang," katanya.



Profil

NAMA: Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi

NAMA KOMERSIAL: Elly Mazlein

TARIKH LAHIR: 17 Disember 1980

TEMPAT LAHIR: Slim River, Perak

FILEM: Janji Diana, Tangkai Jering dan Gerak Khas 3 The Movie

DRAMA: Bulan Yang Pertama, Gerak Khas, Sembilu Kasih, Spa Q, Bella,

Amanah Karmila, Cinta Batu Belah, Cinta Seorang Penoreh Getah, Kasih

Berbunga Lalang, Keliwon dan Semanis Janji

ALBUM: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), MTV

Karaoke Elly Mazlein (2001), Best Of Elly Mazlein (2002) dan Atas Nama

Cinta (2003)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: