Tuesday, April 21, 2009

Suara Fazley tak lagi bergetar


SELEPAS mendirikan rumah tangga dengan Azrene Soraya Abdul Aziz, penyanyi dan pakar motivasi, Fazley Yaakob, 31, seakan-akan menyepikan diri. Tidak banyak perkembangan mengenai kerjaya seninya dilaporkan selain perniagaan baru diusahakan iaitu Fazley International Collection (FIC).

Kali terakhir, penyanyi yang turut berbakat dalam bidang lakonan dan pengacaraan itu menghasilkan album iaitu Lain, dua tahun lalu. Waktu itu lagu Kerna Asmara berjaya mengekalkan namanya dalam industri muzik tempatan.

Ditemui baru-baru ini, sewaktu sesi pradengar single terbaru di studio Wake The Baby. Fazley menjelaskan keputusan untuk mendiamkan diri diambil kerana mahu memberikan tumpuan kepada anak sulungnya, Ahmad Fariedz Shah, selain menyelesaikan beberapa urusan peribadi.

"Waktu sama saya banyak mengadakan ceramah motivasi. Begitupun, sepanjang tempoh dua tahun ini, masa terluang yang ada saya gunakan untuk menghasilkan lagu album terbaru.

"Sekarang saya sudah mempunyai 10 lagu apabila sebahagian besar lirik dan lagunya dihasilkan sendiri.

"Mengenai Ajai sebagai penerbit, sebenarnya kami sudah bersama sejak dulu. Sepanjang tempoh itu kami berjaya menghasilkan lima album.

"Kami serasi dan biasanya Ajai tahu apa yang saya mahukan dan begitulah sebaliknya. Saya turut meminta Ajai menghasilkan dua lagu yang bakal dipilih untuk diketengahkan sebagai single utama," katanya.

Sewaktu mendengar dua lagu terbabit iaitu Super Heromu dan Bila Ada (turut dihasilkan dalam versi Inggeris, When Ever), ternyata usaha terbaru Fazley bakal menjanjikan kejutan kepada peminat setianya.

"Tiada lagi sambungan lagu Asmara dan Asmara Ini. Apa yang kami persembahkan ini benar-benar berbeza. Saya cuba menampilkan lagu berkonsepkan pop yang agak rancak.

"Persembahan vokal turut terkawal dan bersahaja. Kalau peminat dengar lagu yang saya dendangkan ini tiada lagu suara bergetar seperti sering dilakukan dalam album sebelum ini.



"Bukan tidak mahu, tetapi sebenarnya suara bergetar tidak lagi sesuai dengan keadaan pasaran muzik sekarang di mana peminat lebih senang mendengar lagu yang penyampaiannya ringkas dan mudah," katanya.



Sesuai dengan konsep lagu, jelas Fazley lirik ditulis menggunakan perkataan mudah dan senang difahami. Begitupun apabila ada perkataan Indonesia yang diguna pakai ia pasti menimbulkan perasaan kurang senang kepada pendengar tempatan.

Menjelaskan mengenai perkara itu kata Fazley, ia tidak dapat dielak memandangkan dia yang membesar di seberang sudah terbiasa dan berasakan ia sesuai dengan penyampaian dan 'suasana' lagu itu sendiri.

Sementara itu Ajai selaku penerbit berkata dia tidak menghadapi masalah untuk bekerja dengan Fazley menghasilkan album terbaru ini kerana sudah faham kemampuan penyanyi itu.

"Bekerja dengan Fazley juga mudah. Walaupun sudah hampir dua tahun tidak merakam album baru, dengan disiplin kerja tinggi proses untuk memasukkan vokal dapat dilakukan dengan cepat dan mudah.

"Biasanya saya akan memberikan lagu kepada Fazley seminggu lebih awal bagi membolehkannya berlatih dan menghafal. Apabila masuk studio untuk rakaman vokal, ia dilakukan tidak sampai satu jam. Pada saya Fazley masih tidak hilang sentuhannya dan persembahannya semakin baik," katanya.

Jelas Ajai lagi, dalam album terbaru Fazley yang dijadualkan menemui peminat pertengahan Jun ini ada lagu berentak balada, namun konsep diubah. Dalam erti kata lain jelasnya, album dihasilkan kedengaran lebih muda dan memenuhi cita rasa semasa.

Turut terbabit dalam pembikinan album ini bekas anggota kumpulan Ruffedge iaitu Mod yang turut menyumbangkan lagu dan diterbitkan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: