Tuesday, April 14, 2009

Saya minta maaf...Nabil




Kerana terkejut dan terlalu gembira, Nabil tanpa disengajakan terpeluk pula kekasih, Irma Hasmie

"Terima kasih kepada abah dan emak di kampung yang sedang buat bekam," adalah antara kata-kata lucu tetapi sebenarnya spontan dan jujur daripada Nabil ketika menerima trofi Pelakon Komedi Lelaki Popular.

Malahan, apabila diumumkan sebagai Bintang Popular, Nabil naik ke pentas untuk mengajuk ucapan Jamal Abdillah yang sebelumnya menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat menyebabkan penonton di Arena of Stars Genting ketawa bagaikan nak pecah perut, sekali gus menunjukkan dia seorang yang agak 'gila-gila'.

Namun itulah Nabil, bakat baru dalam dunia komedi yang meminati Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki. Lawaknya yang bersahaja membuatkan peminat dunia hiburan bukan sekadar pelakon komedi popular tetapi juga Bintang Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) pada Ahad lalu.

Sememangnya menggenggam trofi Bintang Paling Popular pada ABPBH tidak pernah terlintas dalam fikiran jejaka kelahiran Mambau, Seremban ini.

Malah, ketika menanti detik siapa yang bertuah bakal diumumkan sebagai pemegang trofi itu, Nabil sangat yakin keputusan itu akan berpihak kepada Mawi.

NABIL segera memohon maaf kepada Irma di atas 'ketelanjurannya' yang tidak disengajakan.

Ketika diusik oleh rakan-rakan media supaya berhati-hati membawa turun kereta Nissan Sylphy dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur, Nabil bersungguh-sungguh mengatakan tidak mungkin sama sekali dia boleh dipilih sebagai Bintang Popular.

Nalurinya kuat mengatakan Mawi akan memenangi kategori itu. Malahan Nabil sanggup bertaruh kalau menang sebagai Bintang Popular kali ini, dia akan memberi sejumlah wang kepada kawan baiknya.

Namun pada Ahad lalu, semuanya berubah dan siapa sangka kehadirannya ke persada seni memberi angin baru hingga dipilih sebagai Bintang Paling Popular ABPBH edisi ke-22.

Dek terkesima saat diumumkan, Nabil tidak semena-mena 'terpeluk' kekasih hatinya, Irma Hasmie yang kebetulan berada di sebelah tempat duduknya.


Menyedari aksi yang tidak disengajakan itu ditonton penonton di Arena Of Stars dan di rumah, Nabil segera memohon maaf di atas kesilapannya itu. Katanya, ia luar kawalan dan kebetulan Irma antara insan yang disayanginya hadir sama memberi sokongan.

"Saya minta maaf. Semuanya berlaku secara spontan. Saya harus akui ia silap saya, orang tersayang, cuma tidak kena tempatnya," katanya di awal bicara yang sama sekali tidak menyangka keputusan kemuncak itu menjadi miliknya.

Sebagai pemenang Bintang Popular ABPBH 2008, Nabil menerima barang kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM150,000, kereta Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000, perabot tajaan Empire Classic Furniture dan pakej penginapan tiga hari dua malam di Hotel Palace Of Golden Horses di Seri Kembangan, Selangor.

Terdahulu, Nabil sudah diumumkan sebagai Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular. Kebangkitan Nabil memberi penanda aras bahawa tanah air kita tidak pernah kekeringan bakat baru yang berpotensi untuk diserlahkan.

Pada Mac lalu, genap setahun usia pembabitannya di arena seni dan janjinya sewaktu awal kemunculan untuk sentiasa berpijak bumi nyata masih utuh dipegang.

"Saya tak akan lupa diri dan saya masih seperti Nabil yang dulu. Cuma bezanya sekarang, saya sudah bergelar artis dan terus mencari rezeki kurniaan-Nya. Saya masih membeli pakaian terpakai dan sepatu koyak pun masih digunakan. Malah, saya juga tidak kisah menunggang motosikal Kawasaki Z150 biarpun sudah ada kereta.

"Saya bersyukur di atas limpahan kurnia rezeki dan anugerah yang diterima ini. Ia simbolik bahawa ada orang yang menyokong saya dari belakang yakni peminat. Kemenangan ini juga sebagai alasan untuk saya terus maju berusaha memberikan prestasi yang baik pada masa depan," katanya yang hadir melintas di permaidani merah ABPBH 2008 beriringan dengan Irma.

Sementara itu, Irma yang tampil anggun dengan potongan rambut baru turut menjadi perhatian rakan media sewaktu majlis post party ABPBH 2008. Berbangga dengan kejayaan yang dilakar Nabil, Irma berkata, dia berterima kasih kepada Nabil kerana menganggapnya sebagai antara faktor kekuatan kepada kejayaan lelaki istimewa miliknya itu.

"Kejayaannya dpada ABPBH 2008 bukan tiket untuk kami ke gerbang perkahwinan. Setakat ini belum ada apa-apa lagi perancangan ke arah itu. Lagi pun, dia masih terlalu baru berada dalam bidang ini. Biarlah dia puas dengan hasil kerja dan capai apa yang dihajati," katanya

Mengenai adegan 'terpeluk' itu, Irma memberitahu yang Nabil ada memohon maaf di atas 'keterlanjurannya' yang tidak disengajakan itu. Kata Irma, dia turut terkejut hingga kaku badan ketika dipeluk Nabil.

Info menarik mengenai Nabil

  • Walaupun dipilih sebagai Artis Komedi Lelaki Popular, Nabil tidak berasakan dia mengalahkan Saiful Apek. Malahan dia berpendapat Saiful pasti gembira dengan kejayaannya.

  • Nabil berharap selepas menang tiga trofi itu, tidak ada pihak yang menganggap dirinya mula meminta-minta atau demand. Katanya, sekarang ini pun sudah mula ada pihak yang menganggap dirinya sudah meletakkan harga yang tinggi.

  • Dia pernah menerima tawaran kerja semurah RM500, malahan tidak pernah meletakkan harga lebih daripada RM10,000 apatah lagi keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan. Paling mahal pun bayaran yang diterima setakat tahun ini ialah RM5,000.

  • Sering mencabar dirinya untuk melakonkan watak serius dan tawaran daripada Jinggo sebagai tiket menguji kemampuan dirinya.

  • Ada membuat penampilan khas dalam sebuah lagu dendangan Imran Ajmain yang tidak diingati judulnya.

  • Cuba mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian. Nabil kini dalam proses merakamkan suara untuk album pelbagai konsep melalui khidmat komposer Ajai.

  • Filemnya yang sedang menunggu tayangan ialah Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee... Hantu, Momok The Movie dan Pisau Cukur.

  • Kerana gugup, Nabil terlupa mengucapkan terima kasih kepada Berita Harian dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada akhbar rasmi ABPBH 2008 yang begitu setia menyokongnya.

  • Imej rambut kerinting yang digayakan sewaktu kemuncak ABPBH 2008 dilakukan sempena promosi awal filem arahan KRU berjudul Bangladesh pada Oktober ini.

  • Pada November atau Disember ini, Nabil akan terbabit dalam pementasan Cicakman 3 yang akan dipentaskan di Istana Budaya.

  • Merancang pada tahun depan untuk menghasilkan program permotoran atau ekspedisi seperti program Jom Ronda

    PROFIL: Ahmad Nabil Ahmad
    Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik
    Umur: 25 tahun
    Asal: Mambau, Seremban, Negeri Sembilan
    Idola: Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki
    Program kegemaran: <Jerry Seinfeld Show, Raja Lawak
    E-mel: nabiw_tx@yahoo.com dan amatnabil@gmail.com
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: