Tuesday, April 14, 2009

Artis raikan Sentuhan Tenun


JIKA sebelum ini Anugerah Bintang Popular Berita Harian mengetengahkan Batik Glam sebagai tema ABPBH07, kali ini Sentuhan Tenun yang melambangkan kehebatan budaya Melayu diangkat sebagai tema.

Atas dasar tanggungjawab memartabat dan mempopularkan kembali pemakaian kain tenun yang tercatat dalam sejarah sebagai persalinan golongan istana, Berita Harian selaku penganjur mengambil inisiatif mempopularkan kembali warisan ini. Untuk memeriahkan lagi tema ini, Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) turut diadakan menjelang ABPBH08.

Majlis yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang, malam kelmarin menyaksikan artis dan selebriti popular bergaya hebat mengikut tema. Ia dipermudahkan lagi dengan bantuan pereka fesyen yang sudah dimaklumkan lebih awal mengenai tema tahun ini.

Antaranya Datuk Siti Nurhaliza nampak memukau dengan rekaan Riezman Ruzini, Maya Karin (Albert King), Sazzy Falak (Anizam Yusuf), Jaclyn Victor (Khairi Sufi), Atilia (Butik Puri Pesona) dan Iqram Dinzly (Michael Shu).

Maya yang merampas trofi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dimenanginya pada 2005, mengatakan cukup teruja dengan keunikan rekaan yang dipilih kebanyakan selebriti wanita malam itu.

"Siapa kata songket dan tenunan tidak boleh dijadikan 'high fashion'. Pada malam ini, saya lihat busana yang diperagakan kebanyakan artis cukup menarik dan hebat," katanya.

Apa yang menarik, ada dalam kalangan selebriti yang tidak mendapat tajaan, namun membuat percubaan berani melalui hasil kreativiti sendiri.

Penampilan Zizie Ezette memperagakan busana rekaan Siti Nur Syuhada Shaharuni menarik perhatian juri terdiri daripada editor fesyen, sekali gus diiktiraf Pakaian Wanita Terbaik manakala perincian dan keunikan sentuhan Hatta Dolmat untuk kot panjang digayakan peserta One In A Million, Iz mengungguli Pakaian Terbaik Lelaki.

Pemenang, artis dan pereka fesyen berkongsi hadiah barangan kemas tajaan Rafflesia bernilai RM10,000.

Zizie berkata, dia hadir untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai penyampai yang diamanahkan penganjur. Selebihnya, mahu berseronok dan memberi sokongan kepada semua artis yang terbabit sama ada yang membuat persembahan, calon akhir mahupun pemenang.



"Justeru, saya sangat terkejut apabila diumumkan Pakaian Wanita Terbaik kerana saya lihat ramai selebriti yang hadir malam ini melaram sakan dan rekaan mereka hebat-hebat semuanya.



"Sebenarnya, ini kali pertama saya memakai baju Sya selepas diperkenalkan Bill Bora. Jika kebanyakan artis lebih tertumpu kepada pereka fesyen yang sudah ada nama, saya pula gemar mencuba rekaan pereka fesyen muda kerana bagi saya idea mereka lebih segar dan kreatif," katanya.

Rekaan untuk Zizie, Syuhada memilih biru tua kerana ia adalah warna sedang menjadi ikutan sekarang. Rekaannya juga tidak terlalu tradisional atau terlalu moden, tetapi mengekalkan ciri-ciri kemelayuan tenunan itu dengan rekaan sopan, tetapi praktikal.

Bagi Hatta, kejayaan seumpama ini bukan pertama diraihnya di ABPBH kerana sebelum ini gaun yang diperagakan Erra Fazira tiga tahun lalu muncul Pakaian Terbaik Wanita. Tahun lalu, Hatta menerima pengiktirafan cukup peribadi sepanjang pembabitannya dalam industri fesyen apabila dianugerahkan gelaran Pereka Fesyen Paling Popular menerusi pakaian diperagakan model dan pelakon muda, Julia Ziegler.

Kali ini Hatta lebih teruja kerana pertama kali hasil rekaannya untuk selebriti lelaki mendapat pengiktirafan di ABPBH.

"Orang sering menganggap fesyen untuk lelaki sangat terhad dan dapat kita lihat di majlis anugerah seperti ini kebanyakan selebriti lelaki tertumpu pada tuxedo mahu pun sut yang pada saya terlalu biasa.

"Disebabkan itu, tahun ini saya tampil kelainan dengan mengetengahkan konsep bercirikan antarabangsa, moden dan terkini iaitu kot 'trench' atau kot panjang. Kemudian digabungkan sedikit songket pada bahagian tertentu untuk menyerlahkan gaya si pemakai.

"Ditambah dengan perincian aksesori seperti manik dan batu untuk kelihatan 'blink blink'. Jika menggunakan songket sepenuhnya, ia tampak sarat dan terlalu tradisional," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: