Monday, April 20, 2009

Saya bukan tidak terima kenyataan'...Amylea Azizan


BAGAIKAN tidak percaya diumumkan tersingkir, Amylea Azizan (Amylea), 22, usahkan tergamam, malah dia hampir rebah di pentas One In A Million (OIAM), Jumaat lalu.

Mujurlah, ketika detik cemas itu berlaku pengacara, Marion Counter sempat mendakap tubuh pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 3 (AF3) itu.

Namun, dalam perasaan yang bercampur-baur Amylea masih gagah meneruskan persembahan terakhirnya menerusi lagu I'm Yours, dendangan asal Jason Mraz dan mengucapkan maaf kepada peminat kerana menghampakan harapan mereka. Andai rakyat Malaysia memberikannya satu lagi peluang, pastinya penonton masih berkesempatan menyaksikan persembahan gadis berasal dari Perlis itu melagukan Yesterday Once More daripada Carpenters, Fallin (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

"Memang tadi saya terasa hendak pengsan, tapi cuba kawal perasaan. Bukan saya tidak boleh terima kenyataan malah setiap minggu pun memang tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan dan selalu ada perasaan akan tersingkir.

"Cuma, ia tidak sehebat apa yang saya rasakan malam ini. Terus-terang, saya amat terkilan bukan kerana tewas apabila sedar sesiapa pun boleh tersingkir dalam program realiti seperti ini.

"Perasaan terkilan terbit kerana tidak berpeluang membuat persembahan pada malam ini yang bertemakan 'In Concert'. Sudah lama saya nantikan peluang seperti ini untuk menunjukkan kemampuan kepada peminat.

"Mujurlah, saya sempat merakamkan persembahan ketika menjalani latihan semalam (Khamis). Tambah menyedihkan, seluruh ahli keluarga, sepupu, kawan dan saudara-mara hadir pada malam ini untuk memberi sokongan.

"Malangnya, hari ini mereka datang untuk melihat penyingkiran saya. Banyak pengorbanan sudah dilakukan untuk berada di sini dan sepanjang lima bulan saya tidak mengambil sebarang 'show' selain terpaksa berjauhan dengan keluarga," katanya.

Penyingkiran ini menyedarkan Amylea, betapa besar tanggungjawab dan serius pembabitannya dalam bidang muzik. Sedih rasanya tidak dapat melakukan persembahan sedangkan dia sangat teruja untuk menyanyi malam itu.

Dengan penuh yakin, Amylea menambah jika diberikan satu lagi peluang untuk bertahan, persembahan malam itu akan dipastikannya sebagai yang terbaik.



Malah, hal ini turut diakui pengkritik tetap, Paul Moss yang sempat meninjau sesi latihan peserta dan menyifatkan persembahan Amylea amat bagus. Sehinggakan, Paul meluahkan rasa terkilan dan terpaksa mengatakan segelintir penonton masih kurang bijak menilai.



Sebagai persiapan melakukan persembahan yang bertemakan 'In Concert' itu, Amylea mengakui pelbagai usaha dilakukan.

"Menerusi konsert mingguan sebelum ini, kami cuma diberikan masa dua minit untuk membuat persembahan bagaimanapun kali ini setiap peserta mempunyai masa tambahan dua minit sekali gus menjadikan persembahan keseluruhan empat minit.

"Justeru malam ini saya ingin menggunakan peluang sebaik mungkin membuktikan kemampuan kepada rakyat Malaysia. Setiap kelemahan yang pernah dilakukan diperbaiki dalam persembahan kali ini.

"Jika tersingkir di akhir-akhir rancangan mungkin perasaan saya tidak sekecewa sekarang. Rasa seperti ditipu promoter apabila konsert dibatalkan saat akhir," katanya.

Habuan RM1 juta yang ditawarkan cukup besar ertinya buat Amylea kerana dia merancang melanjutkan pelajaran di Berkeley College of Music, Amerika.

Ditanya, di antara empat peserta yang masih bertahan iaitu Tomok, Nine, Esther dan Aweera, siapakah pada pandangannya layak digelar juara OIAM 3? Tanpa ragu, Amylea memilih Tomok kerana dia bekerja keras untuk mendapatkannya.

"Tomok antara peserta yang rapat dengan saya dan banyak menceritakan pengalaman yang dilalui sejak kali pertama bergelar artis. Pelbagai tohmahan dihamburkan kepadanya dan hari ini Tomok membuktikan dia adalah penyanyi dan pemuzik yang patut dihormati. Atas pengorbanan, kesungguhan dan usahanya, dia layak memenangi hadiah lumayan itu," katanya.

Semakin hampir melangkah ke peringkat akhir yang cuma tinggal kurang dari dua minggu (1 Mei) Tomok mengakui bimbang dan gementar meskipun setakat ini dia belum pernah berada di Bottom 3. Pada malam itu, Tomok memilih menyampaikan himpunan lagu hits Alleycats iaitu, Jika Kau Bercinta Lagi, Sekuntum Mawar Merah dan Kerana Kau.

"Saya tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan saya bahkan berasakan setiap minggu saya yang akan tersingkir. Tambahan pula sejak dua minggu lalu, imuniti dimansuhkan.

"Paling penting bagi saya adalah untuk membuat persembahan terbaik. Ketiadaan imuniti membuatkan semua peserta harus tampil dengan persembahan lebih baik, menambahkan lebih banyak rencah agar penonton dan juri terhibur.

"RM1 juta jumlah yang besar dan untuk mendapatkannya peserta perlu bekerja keras. Sebagaimana disarankan pengkritik (Syafinaz) yang mahu melihat lebih banyak kejutan daripada saya insya-Allah akan dilaksanakan menerusi konsert seterusnya," katanya.

Syafinaz selaku pengkritik berpendapat, persembahan secara keseluruhan amat baik namun, masih terdapat beberapa kekurangan.

"Saya memilih persembahan Tomok sebagai yang terbaik malam ini. Kalau ikutkan semua peserta pun sudah melakukan yang terbaik. Cuma masih ada beberapa kekurangan. Misalnya Aweera yang berani menyahut cabaran dengan pemilihan lagu yang lain dari kebiasaan, tetapi masih berlaku masalah 'pitching'.

"Manakala Nine pula, pengawalan vokalnya bagus dan nampak banyak peningkatan cuma lagu yang dipilihnya kurang menarik jika digunakan untuk pembuka atau penutup persembahan," katanya.

Menyingkap persembahan malam itu, Nine membawakan lagu Keroncong Untuk Ana dendangan asal M Nasir, manakala Aweera melakukan percubaan berani dengan memilih Tak Ada Logika (Agnes Monica) dan Emansipasi (Republic Of Brickfields) dan Eshter (Semua Jadi Satu, One Night Only dan Keep Getting Better).

1 comment:

  1. Ameylea dari perlis ke?setahu saya,amylea dari kedah..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: