BERBANDING filem, rezeki pelakon jelita Julia Ziegler lebih pada drama. Kebelakangan ini wajahnya kerap menghiasi drama TV. Akuinya, dia banyak terima tawaran berlakon walaupun filem baru lakonannya, Jangan Tegur masih ditayangkan di pawagam. |
Kata Julia, jadual aktiviti seninya kian sibuk dan dia baru selesai menjalani penggambaran drama Bisikan Suaka arahan Darmawati. Dalam drama itu, dia menjadi pelakon utama di samping Aaron Aziz, Ruminah Sidek dan A R Badul.
"Drama ini mempunyai persamaan dengan Jangan Tegur kerana membabitkan hantu. Jika dalam Jangan Tegur saya menjadi hantu, kali ini saya mempunyai kelebihan untuk melihat hantu. Mungkin ini rezeki saya kerana banyak ditawarkan dengan cerita hantu atau seram.
"Pada saya, tidak salah untuk buat cerita sebegini dan sepanjang berlakon, saya bersyukur kerana tidak dirasuk. Untuk Jangan Tegur pula, saya berpuas hati dengan lakonan dan respons yang diterima daripada peminat juga menyukai lakonan saya.
"Antara filem dan drama, kedua-duanya memberi peluang kepada saya untuk belajar mendalami bidang lakonan. Sebelum ini, saya tidak mempunyai asas lakon dan atas sebab itu, saya tidak segan bertanya dan menimba pengalaman orang lain.
"Saya tidak kisah jika pandangan penonton sebelum ini menganggap lakonan seperti kayu, tetapi saya berusaha untuk perbaiki kelemahan diri. Sebagai pelakon, saya berpendapat belajar lakon adalah proses yang berterusan," katanya.
Dalam kesibukan berlakon, Julia, 25, menyatakan dia mahu berehat seketika daripada lakonan. Katanya, dia akan berangkat ke Amerika Syarikat pada malam ini dan berkemungkinan ingin berehat selama setahun.
"Saya ke sana atas tujuan urusan keluarga. Sebenarnya, sudah lama saya tidak bertemu dengan anggota keluarga saya yang tinggal di Kentucky dan Georgia. Bukan niat saya untuk merajuk atau membawa diri, tetapi saya juga manusia biasa yang ingin berehat seketika dan menenangkan fikiran daripada tekanan kerja.
"Dalam tempoh ini, saya bercadang untuk sambung belajar dalam bidang seni persembahan di sana. Dulu, saya pernah belajar di Savannah College Of Art And Design, Georgia dalam bidang arkitek dan mungkin saya belajar di tempat yang sama.
"Walaupun saya berada di sana tetapi hati saya tetap di Malaysia. Saya tetap akan pulang ke sini dan pilihan jodoh saya tetap orang Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: