BAGI peminat yang mengikuti perkembangan band popular, Sweet Charity pasti mengetahui anggota, Rosli Mohalim yang bermain gitar bass kembali aktif dengan pelbagai aktiviti lewat kebelakangan ini. Biarpun tanpa kelibat bersama kumpulan berkenaan tetapi ia tidak menghalang untuk terbabit dengan aktiviti seni seperti membuat persembahan di gerai Harian Metro sempena Karnival JomHeboh dan menjadi juri untuk acara Bintang Idola Berita Harian sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) baru-baru ini. |
Dalam kesibukan memenuhi jemputan, Rosli menyatakan dia masih berminat untuk menghasilkan album baru. Menariknya, album baru yang turut menggunakan namanya sebagai judul menampilkan dia bersama penyanyi jemputan seperti vokalis kumpulan Spring, Ameng, Zamani (Slam), Yabang (Jinbara) dan penyanyi baru, Nura bergabung tenaga untuk menjadikan impian menghasilkan album ini satu kenyataan.
Kata Rosli, minat untuk terus bermain muzik dan muncul dengan album baru suatu yang dinantikan. Untuk album baru kali ini, ia hanya memuatkan empat lagu single ciptaannya iaitu Di mana Salahku nyanyian Ameng, Aku Ingin Berkata (Zamani), Satu Malam (Yabang) dan Terasa (Nura). Sejak tiga bulan album berkenaan berada di pasaran, dia menyatakan sambutan yang diterima daripada peminat juga positif.
"Promosi album ini masih rancak dijalankan dan saya merasakan promosi perlu dilakukan agar peminat tahu dengan kemunculan album ini. Bagi merancakkan promosi, persembahan berbentuk showcase turut diadakan. Buat masa ini, cuma beberapa lokasi yang dipilih untuk showcase.
"Showcase yang diberi nama Rosli Mohalim & Friends ini akan menampilkan pemuzik jemputan lain seperti Hairul Ahmad yang bermain gitar, Mohd Afiq Rosli (gitar), Sham (bass) dan Shamil (dram). Selain itu, beberapa penyanyi baru turut diperkenalkan antaranya Fazlin dari Pulau Pinang, Zzati (Pahang), Nursyuhada Hasmir, Amy dan Erin (Johor).
"Saya bersyukur kerana sambutan yang saya terima untuk album ini menggalakkan. Mereka yang mengikuti muzik Sweet Charity sejak 1970-an kenal saya bila tampil membuat persembahan. Walaupun generasi baru tidak kenal tetapi bila saya buat persembahan, mereka juga suka dan terhibur.
"Matlamat untuk terbit album dan adakan showcase ini adalah kemunculan semula saya dalam bidang muzik tempatan selain mengambil peluang untuk bertemu peminat dengan lebih dekat. Jika suatu ketika dulu, peminat mengenali saya menerusi Sweet Charity tetapi kini saya berdiri atas nama saya sendiri.
"Selepas mengadakan showcase ini, saya berhasrat untuk memasarkan album penuh saya, Rosli Mohalim 30 Tahun tidak lama lagi. Dalam album ini pula, ada enam lagu baru ciptaan saya sendiri dimuatkan," katanya.
Untuk lokasi showcase akan datang, Rosli bersama sembilan anggota lain akan mengadakan persembahan di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 27 April ini diikuti, Handle Bar, Permas Jaya, Johor Bahru (16 hingga 17 Mei), Stadium Hang Jebat, Melaka (13 Jun) dan No Black Tie, Jalan Mesui, Bukit Bintang Kuala Lumpur (23 hingga 24 Jun).
Menariknya, acara showcase ini turut menyaksikan Rosli dan rakannya mendendangkan kembali lagu popular Sweet Charity seperti Kamalia, Teratai, Hilang Gelap Terbit Terang, Musibah, Ribut 10:59 dan Penunggu. Untuk setiap persembahan dijangka berlangsung selama hampir dua jam. Sambil berhibur, peminat juga berpeluang mendapatkan cenderamata istimewa edisi terhad Rosli Mohalim iaitu baju T dan gitar pick yang dijual pada harga RM30 setiap satu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: