Monday, April 27, 2009

Gemuruh jejas persembahan Nine


SAINGAN antara empat peserta One In A Million musim ketiga (OIAM3) pada minggu ke-10, Jumaat lalu nyata sengit hingga sukar meramalkan siapa disingkirkan.

Namun, undian SMS penonton menjadi penentu apabila Zulqarnain Jaafar atau Nine terpaksa melupakan hasrat untuk menang RM1 juta. Status Nine sebagai artis dan vokalis kumpulan Coco bukan jaminan mampu terselamat daripada penyingkiran.

Sebelum ini, nasib sama menimpa Amylea Azizan, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (Rizu) dan Norafizah Mohd Yasin (Pija).

Nine mengakui, masih mempunyai kelemahan diri yang menjadi faktor menjejaskan persembahannya setiap minggu. Katanya, dia sering nampak gemuruh ketika membuat persembahan hingga memberi kesan pada penonton untuk mengundi. Bagaimanapun, dia sebenarnya tetap yakin ketika beraksi di pentas.

"Ramai memberi komen sebegitu apabila selesai membuat persembahan. Mungkin gemuruh memberi kelemahan pada saya hingga mendapat undian SMS terendah.

"Dari aspek pemilihan lagu yang sesuai untuk persembahan, saya percaya ia suatu yang penting tetapi pada saya, ia tidak memberi masalah. Sebagai peserta, saya harus bersedia menyanyikan apa jua lagu yang diberikan," katanya.

Juri profesional, Syafinaz Selamat mengakui Nine kelihatan tidak selesa ketika di pentas. Katanya, persembahan Nine ketika pemilihan Top 12 pada peringkat awal lebih rileks.

"Saya percaya pada potensi Nine sebagai penyanyi dan mungkin dia lebih selesa untuk menyanyi bersama kumpulan Coco. Mungkin menyanyi secara individu membuatkan dia nampak gemuruh dan jika dia bekerja keras selepas ini, pasti dia akan lebih berjaya," katanya.

Sebelum Nine mengundur diri pada malam itu, dia diberi peluang membuat persembahan terakhir menerusi lagu Karma (Cokelat) yang dipilih penonton.

Bagi tiga peserta yang layak ke final, Elizabeth Applunius Chin atau Esther, Shah Indrawan Ismail (Tomok) dan Nasharul Aweera Noriyissham (Aweera), kali ini mereka diberi ujian menyampaikan dua lagu setiap seorang.



Menariknya, pada cabaran mingu lalu, Syafinaz dan Paul Moss bertanggungjawab memilih satu lagu manakala penonton pula berpeluang memilih lagu peserta menerusi undian di laman web 8TV.

Tomok, 24, yang menyampaikan lagu Crazy In Love nyanyian asal Beyonce untuk persembahan pertama diikuti lagu Cuba (Faizal Tahir), dilihat paling menyerlah dalam penyampaian lagu mengikut cara sendiri.

Paul berpendapat, vokalis kumpulan New Boys ini mempunyai kelebihan untuk memikat penonton dengan persembahannya yang begitu menarik hingga berjaya membezakan gaya penyanyi asal.

Syafinaz pula memberi pandangan, Tomok menghayati lagu dengan baik dan tidak menafikan kata ramai peminat OAIM3, mereka lebih suka penampilan baru penyanyi ini.

Untuk persembahan Esther menerusi lagu Better In Time (Leona Lewis) dan Won't Go Home Without You (Maroon 5), penyanyi ini dikritik masih menyampaikan persembahan menghiburkan.

Sama ada Paul dan Syafinaz, mereka mengakui Esther mempunyai kekuatan vokal yang tidak perlu disangkal. Syafinaz berpesan Esther tidak memerlukan gimik dalam persembahan kerana dia mampu menyampaikan lagu dengan baik dan menyentuh perasaan.

"Sebagai penghibur, anda berjaya. Mungkin aspek tarian boleh diperbaiki dan anda mempunyai harapan untuk pergi jauh," katanya.

Berbanding Tomok dan Esther, persembahan Aweera dilihat tidak terlalu mencabar apabila sekali lagi juri memilih lagu Gemilang dinyanyikan semula. Lagu itu pernah mengangkat bakat Aweera hingga layak menang imuniti.

Untuk lagu pertama itu, Paul masih menyukai persembahan Aweera sambil Syafinaz berharap penyanyi ini dapat mengulangi kehebatan yang sama untuk lagu lain.

Kritikan lagu kedua, Aku Dah Bosan (Amy Search), Paul menyatakan persembahan Aweera kali ini seperti dejavu dan tidak menjadi manakala Syafinaz percaya penyanyi ini mempunyai tenaga tetapi perlu berhati-hati pada aspek pitching dan bagaimana mahu mempelbagai lagu agar berbeza.

Sungguhpun, persembahan Tomok lebih menyerlah, mengikuti undian SMS pada malam itu, Esther mendahului dengan 32.4 peratus diikuti Aweera 31.6 peratus manakala Tomok 24.2 peratus.

Bagi Esther, dia masih tidak berpuas hati dengan tahap persembahan yang ditunjukkan pada setiap minggu. Biarpun nampak sempurna, dia mengakui mengalami masalah sakit tekak yang turut menjejaskan persembahan.

"Mungkin sebab banyak membuat latihan untuk capai kepuasan dalam mutu persembahan, saya alami sakit tekak. Sebenarnya sejak persembahan minggu lalu, saya sudah rasa sakit tekak sebelum persembahan bermula.

"Untuk persediaan persembahan akhir nanti, saya fikir aspek koreografi iaitu tarian perlu diberi perhatian. Saya sememangnya tidak sangka bila diberi peluang untuk ke peringkat akhir tetapi untuk persembahan malam ini, saya masih mempunyai keyakinan untuk beri yang terbaik," katanya.

Saingan peringkat akhir yang dijadualkan Jumaat ini (1 Mei) di Stadium Malawati, Shah Alam, pengacara Awal Shaari dan Marion Caunter memaklumkan penonton berpeluang mengundi SMS sama ada tiga peserta layak bertanding atau seorang peserta akan disingkir sebelum saingan sebenar bermula.

Jika tiga peserta dipilih bertanding ke akhir, markah dikira selepas persembahan minggu ke-10 yang lalu dan jika ada peserta yang disingkir awal nanti, markah undian dua peserta yang bertanding hanya dikira pada hari pertandingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: