Wednesday, April 22, 2009

Rezeki Jamal Abdillah

PAPA rasa belum terlewat untuk ucapkan tahniah kepada penyanyi lelaki tersohor negara, Jamal Abdillah di atas pengiktirafan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterimanya pada malam ABP2008 yang lalu.

Mungkin ada yang berpendapat terlalu awal untuk Jamal menerima anugerah setinggi itu tetapi apabila memikirkan tempoh tiga dekad dia mengabdikan diri sebagai seorang penghibur, sememangnya dia layak untuk diiktiraf.

Biarpun ramai penyanyi baru datang dan pergi, Jamal masih lagi berdiri dan terus diminati.

Semuanya kerana faktor aura dan vokal yang dikurniakan Allah kepadanya yang berada di dalam kelas tersendiri.

Lihatlah sahaja persembahan Jamal pada malam ABP2008 saat dia mendendangkan lagu Nasib Diriku sehingga seluruh dewan menjadi senyap sunyi. Meremang bulu roma mendengarkan alunan indah Jamal.

Selain terlibat dengan rangka promosi album terbarunya, Tak Hilang Cinta, Jamal juga kini sedang sibuk dengan persiapan teater muzikal yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada bulan Ogos nanti.

Bukan itu sahaja, Papa juga dapat tahu ada pihak yang mahu membawa Jamal ke Singapura untuk mengadakan konsert istimewa di sana sebaik sahaja pementasan teater muzikalnya berakhir.

Untung menjadi penyanyi seperti Jamal. Masih lagi menjadi rebutan walaupun dah 30 tahun menyanyi. Itulah penangan seorang penyanyi yang berkualiti.

Kalau dah terbaik selama mana menyanyi pun, orang akan tetap sanjung dan menghargai kita.

Tahniah Abang Jamal!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: