SETELAH hampir tiga tahun tertangguh, kumpulan rock Search akhirnya merealisasikan impian mereka mengadakan siri konsert bergerak ke seluruh negara mulai 2 Mei ini bermula di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Siri konsert yang meliputi 11 lokasi konsert dengan lokasi terakhir pada 1 Ogos depan di Kuala Lumpur disokong oleh pelbagai pihak.
Celcom merupakan penaja utama yang akan menggerakkan konsert kumpulan legenda yang dianggotai oleh Amy (vokalis), Yazit (dram), Din (gitar), Nasir (bass) dan Hillary (gitar) itu.
Tajaan konsert tersebut bukan sahaja menggembirakan Search, tetapi juga sebagai hadiah istimewa buat para peminat setia kumpulan rock yang telah ditubuhkan pada tahun 1981 itu.
Ini kerana beberapa tahun lalu, Search yang berasal dari Johor Bahru itu pernah meluahkan rasa kecewa apabila tiada penaja yang sudi menaja konsert sempena ulang tahun ke-25 penubuhan mereka.
Senario itu secara tidak langsung menggambarkan nasib yang terpaksa dilalui oleh artis-artis di negara ini khususnya dalam usaha mereka untuk mendapatkan tajaan bagi menganjurkan sesebuah konsert.
Kalaulah Search yang sudah dianggap sebagai sebuah kumpulan rock legenda di negara ini pun sukar untuk mendapatkan tajaan, bagaimana pula dengan nasib artis-artis baru kita yang lain?
Dalam isu ini, ia bukan setakat menagih pemahaman yang tinggi tidak sahaja di kalangan penaja atau pun artis-artis terbabit, tetapi juga oleh para peminat yang akan menyaksikan sesebuah konsert itu.
Pihak penaja berhak memilih siapa juga artis yang mereka fikirkan sesuai, layak serta mampu memberi pulangan setimpal dengan jumlah tajaan yang telah mereka laburkan.
Sementara, para peminat pula tentunya hanya akan sanggup mengeluarkan duit untuk membeli tiket apabila mendapati berbaloi untuk menyaksikan konsert artis-artis yang ditawarkan kepada mereka.
Bagaimanapun, yang paling penting sekali ialah reputasi dan kredibiliti yang perlu ditunjukkan oleh seseorang penyanyi atau pemuzik itu sebelum mereka mampu meyakinkan pihak penaja serta menarik para peminat menyaksikan konsert mereka.
Selain kekuatan lagu-lagu, penampilan imej serta gimik, seseorang penyanyi dan pemuzik itu juga seharusnya membina hala tuju perjuangan yang jelas dalam muzik yang mereka ketengahkan.
Perjuangan yang jelas terutamanya dalam genre muzik yang diketengahkan oleh seseorang artis itu mampu membina reputasi, keyakinan serta apresiasi tinggi dalam karier mereka untuk jangka masa panjang.
Dalam erti kata mudah, seseorang penyanyi atau pemuzik itu harus fokus dan komited dalam memperjuangkan apa-apa juga genre muzik yang mereka ketengahkan, tidak kiralah ia pop, rock, nasyid, dangdut dan sebagainya.
Agak sukar untuk seseorang artis itu menjadi versatil dalam memperjuangkan beberapa genre muzik pada satu-satu masa kerana senario itu jarang berlaku dalam industri muzik yang telah maju seperti di Barat.
Mungkin terdapat kebenarannya apabila ada pihak sebelum ini yang secara sinis mengatakan 'kalau kita mahu menjadi serba boleh, pada masa sama kita sebenarnya mungkin serba tidak boleh'.
Malah, ada juga pepatah Melayu yang mengatakan, 'jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran' di mana ia sebagai menguatkan lagi ungkapan tersebut.
Sebagai contohnya, kita belum pernah mendengar penyanyi reggae Bob Marley merakamkan album lagu-lagu country, pemuzik heavy metal seperti Metallica menyanyikan lagu-lagu pop atau penyanyi Britney Spears beralih arah kepada irama rap.
Bagaimanapun, senario sebaliknya berlaku apabila terdapat pelbagai kecelaruan genre muzik yang diketengahkan oleh penyanyi dan pemuzik di negara ini yang sentiasa berubah-ubah mengikut trend semasa.
Adalah sesuatu yang janggal apabila ada di kalangan artis nasyid kita cuba mengetengahkan elemen hip hop dalam lagu-lagu nyanyian mereka selain penyanyi rock yang tampil dengan imej nasyid dalam persembahan mereka.
Perkara-perkara seperti itu bukan setakat mengelirukan para peminat, malah apresiasi mereka terhadap artis-artis terbabit juga mungkin berkurangan pada masa depan.
Selain itu, teori yang mengatakan 'kecenderungan kepada sesuatu perkara itu mudah untuk menjurus kepada nilai profesionalisme' termasuklah dengan mengaitkannya dalam bidang muzik juga ada kebenarannya.
Selepas ini, kita mungkin akan lebih faham mengapa artis-artis di negara ini sukar untuk mendapatkan tajaan daripada pihak-pihak penaja bagi menjayakan konsert-konsert yang ingin mereka adakan.
Ataupun kalau penonton tidak ramai yang memberi sokongan pada sesebuah konsert itu, kita mungkin juga boleh bertanya, adakah artis yang akan mengadakan konsert itu serba boleh atau yang serba tidak boleh?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: