Sunday, April 26, 2009

Respons - Motivasi awal pagi


Fahrin (kiri) mengendalikan rancangan Respons di RTM1.


Pagi sering dianggap sebagai waktu yang seksa bagi mereka yang susah bangun awal. Tapi sebenarnya tidak ramai yang tahu bangun pagi sebenarnya boleh menyihatkan badan selain disebut pembuka pintu rezeki.

Merasakan pagi adalah permulaan sebuah hari baru, RTM menerbitkan rancangan Respons bertujuan memberi motivasi kepada penonton.

Seawal 6.05 pagi, Respons yang ke udara setiap hari selama setengah jam di RTM 1 membawa penonton menimba pengetahuan menerusi topik berbentuk motivasi.

Lebih menarik lagi pengacara Fahrin Ahmad dan Farish Aziz yang selama ini lebih terdedah kepada rancangan berbentuk hiburan diberi peluang mengendalikan sebuah program yang agak serius.

Malah tidak dinafikan kedua-dua pengacara itu mampu mengendalikan rancangan tersebut dengan baik walaupun mungkin ada yang beranggapan golongan artis hanya mahir dalam hal ehwal hiburan sahaja.

Penerbit Respons Norziha Hamsah tentunya mengharapkan seawal pukul 6.05 pagi, penonton yang mungkin sedang menikmati sarapan sebelum keluar untuk bekerja dapat menimba banyak pengetahuan yang dipaparkan menerusi rancangan itu.

Tidak hanya hiburan sebaliknya Respons membawa penonton untuk membicarakan topik-topik seperti pendidikan, moral, kesihatan, wanita, sosial dan juga remaja.

Malah para tetamu yang diundang dalam rancangan itu terdiri daripada mereka yang mahir dalam bidang masing-masing seperti pakar motivasi, ahli akademik, pereka fesyen dan perunding kewangan.

Kata Norziha, objektif Respons ialah untuk memberi suntikan semangat kepada penonton yang kadang-kadang bosan dengan rutin kerja harian masing-masing. Tetapi dengan adanya rancangan itu, ia dapat menjadi dorongan kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Walaupun pada pukul 6.05 pagi sukar bagi sesetengah individu untuk berada di hadapan televisyen tetapi kami percaya topik yang diketengahkan akan dapat menarik minat mereka untuk menonton," katanya.

Malah dengan adanya Fahrin dan Farish yang mana kedua mereka merupakan selebriti popular, ini turut dijadikan sandaran agar rancangan baru itu mendapat sambutan ramai.

Sementara itu Fahrin sendiri turut berbangga apabila diberi peluang mengendalikan sebuah rancangan yang dianggap baru kepadanya.

Bukan kerana tawaran sebagai pengacara tetapi peluang untuk berbicara dengan pakar-pakar motivasi antara lain membantu meningkatkan kemahirannya menjadi pengacara yang lebih versatil.

"Walaupun Respons hanya bersiaran kira-kira setengah jam tetapi dalam setiap topik yang ditampilkan itu akan membantu menambahkan lagi pengetahuan saya tidak hanya terhad dalam bidang hiburan berbanding sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: